Trending
Agama

Keluhuran peribadi Nabi pedoman jadi guru berwibawa

Saban tahun tanggal 16 Mei adalah hari istimewa disambut untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik seluruh Malaysia. Meraikan guru tahun ini, tema ditetapkan ialah 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera'.

Guru adalah insan bertanggungjawab dan memainkan peranan sangat besar membimbing dan mendidik manusia untuk menjadi insan berilmu dan berakhlak mulia.

Tanggungjawab itu bukan suatu perkara mudah, bahkan memerlukan kesungguhan dan komitmen tinggi dalam merealisasikan harapan melahirkan masyarakat bertamadun.

Wahyu pertama berpaksikan falsafah iqra' membuktikan dan menzahirkan Islam sangat mementingkan soal pendidikan bagi memperoleh ilmu bagaimana hendak mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-'Alaq; ayat 1)

Justeru, dalam usaha mendidik manusia mengenal Allah SWT dan pelbagai cabang ilmu lain, ia memerlukan tunjuk ajar daripada seorang bergelar guru.

Sewajarnya guru diletakkan taraf sebagai insan mulia kerana berusaha membimbing dan mendidik manusia.

Islam memandang mulia tugas seorang guru dan kedudukannya diangkat di sisi Allah SWT seperti dalam firman-Nya bermaksud: "Allah meningkatkan orang yang beriman antara kamu dan orang yang berilmu pengetahuan agama beberapa darjat". (Surah al-Mujadilah; ayat 11)

Seterusnya Nabi SAW bersabda bermaksud; "Dunia ini dan seisinya dilaknat kecuali mengingati Allah, iaitu orang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar." (HR Ibn Majah dan Tirmizi)

Kewibawaan guru sangat penting dalam usaha melaksanakan tugas membimbing dan mendidik pelajar secara lebih berkesan.

Dalam hal ini, keunggulan dan keluhuran peribadi Nabi SAW perlu dijadikan contoh dalam setiap diri guru, sekali gus dapat menjadi contoh dan ikutan kepada pelajar.

Terdapat lima komponen menjadi konsep guru dalam Islam iaitu muaddib, murabbi, mursyid, muallim dan mudarris.

Pertama, muaddib berasal daripada kata dasar Arab ta'diban diterjemahkan sebagai pembentuk adab.

Ia bermaksud penyucian atau membersihkan seseorang daripada kekotoran.

Konsep ta'dib adalah proses mengasuh, mendidik, membentuk, membimbing, menanam, menyuci, menitis dan menyuburkan akhlak mulia dalam pembinaan dan pembangunan diri insan.

Ta'dib juga meliputi proses pembentukan akhlak, disiplin, tingkah laku, sahsiah dan seluruh adab sopan seseorang insan.

Kedua, murabbi yang kata Arab adalah tarbiyyah membawa maksud pelihara, ajar atau jaga dengan hati-hati.

Sifat guru yang murabbi membabitkan proses mendidik, memelihara dan membentuk pelajar sehingga wujud rasa kasih sayang serta saling mempercayai antara mereka.

Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "dan 'rendahkanlah' dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah wahai Tuhanku, kasihi mereka keduanya, seperti mereka berdua mendidik aku masa kecil." (Surah al-Isra'; ayat 24)

Berdasarkan ayat di atas, definisi tarbiyyah menjurus kepada maksud mencurahkan kasih sayang, memelihara, mendidik ketika kecil dan mengembangkan.

Ketiga, mursyid. Ia berasal daripada kata Arab irsyad membawa maksud jalan petunjuk, pemimpin memberi petunjuk dan petunjuk ke jalan benar.

Konsep irsyad bermaksud proses memberi arahan, panduan, bimbingan dan petunjuk serta menjaga, mengikuti, menasihati dan memimpin ke jalan benar.

Sifat guru mursyid adalah seorang yang sentiasa bersedia untuk menjadi penasihat ikhlas, bertindak sebagai mentor, iaitu pengajar, penasihat dan pendorong kepada pelajar di bawah asuhannya untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan.

Keempat adalah muallim yang punca katanya adalah ta'lim. Ia membawa maksud suatu proses pemberitahuan, pengajaran, pemindahan dan penyampaian maklumat serta ilmu pengetahuan daripada seorang guru kepada pelajarnya.

Ta'lim merujuk kepada peranan guru dalam pengajaran dan menjalankan aktiviti pendidikan dengan cara memberitahu, mengajar, menyampaikan pelbagai jenis maklumat, disiplin dan ilmu pengetahuan kepada pelajar, sama ada melalui latihan, arahan atau sebarang bentuk pengajaran.

Kelima pula adalah mudarris. Perkataan itu diambil daripada kata dasar tadris membawa maksud ciri pengajar berkesan yang membabitkan aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermula daripada persediaan mengajar, sepanjang proses PdP dan akhirnya penilaian kendiri.

Berikut adalah lima ciri keunggulan guru perlu diamalkan secara berterusan dengan penuh iltizam untuk membawa ke arah merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu menyampaikan ilmu pengetahuan agar dapat membina rohani, jasmani, emosi, intelektual dan sosial pelajar yang seimbang.

Sekali bergelar guru, selamanya akan dimuliakan atas nama guru serta perlu berkeperibadian mulia, berdedikasi dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu.

Justeru, guru perlu menjaga nama baik dan martabat dengan menunjukkan contoh baik kepada pelajar atau masyarakat, sama ada di dalam bilik darjah, di luar kawasan sekolah atau di media sosial.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor

Related Article