Trending
Agama

Usah cerca, tertawakan individu dihukum bersalah

Kita selalu membaca pelbagai tulisan mencerca, menghina atau mentertawakan manusia lain yang menerima hukuman mahkamah di media sosial atau media komunikasi, sekali gus menganggap tindakan itu sebagai patut kerana individu terbabit didapati bersalah atas jenayah atau kesalahan dilakukannya.

Tanpa menafikan kesalahan yang dilakukannya adalah tidak sepatutnya dibuat kerana bercanggah dengan undang-undang termasuk dalam konteks agama, umat seharusnya berdoa agar sesuatu apa berlaku itu memberikan hikmah bukan sahaja kepada pesalah terbabit, bahkan masyarakat dan negara.

Pendakwah, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim, berkata Islam melarang umatnya daripada mencela orang lain secara umumnya apatah lagi mentertawakan individu yang sedang ditimpa musibah atau dijatuhkan hukuman.

Ini kerana, Muhammad Azki mengingatkan sekiranya hukuman dijatuhkan itu adil dan setimpal kepadanya, maka ketentuan itu menjadi hikmah supaya individu terbabit bertaubat dan melakukan amal soleh serta berdoa semoga Allah SWT memberi hidayah kepadanya.

"Oleh itu, kita jangan gunakan peristiwa kejatuhan seseorang sebagai bahan untuk bergelak ketawa. Ini berdasarkan dalam hadis riwayat Imam Muslim: Pada suatu hari, seorang pemuda Quraisy berkunjung kepada Sayidatina Aishah RA, iaitu isteri Rasulullah SAW ketika berada di Mina. Kebetulan ketika itu, sahabat sedang tertawa hingga Aishah hairan, lalu bertanya mengapa mereka ketawa.

"Mereka menjawab: Si fulan jatuh di atas tali khemah hingga lehernya hampir lemas. Sayidatina Aishah RA berkata: Janganlah kalian tertawa terbahak-bahak kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Tidaklah seorang Muslim tertusuk duri atau lebih kecil daripada itu melainkan akan ditulis baginya satu darjat dan akan dihapus satu kesalahannya," katanya.

Muhammad Azki berkata, kita perlu menyedari setiap manusia termasuk umat Islam mempunyai keaiban dan kesalahan masing-masing, namun hal itu masih dilindungi Allah SWT hingga terdedah atau terbuka kepada khalayak umum.

Justeru, beliau mengingatkan adalah lebih baik orang Islam sentiasa bermuhasabah diri dan bertaubat daripada dosa dan salah, sekali gus memperbaiki kelemahan serta kesilapan sendiri.

"Aib yang kita ada masih lagi dilindungi hingga tidak terdedah sana sini. Jadi akhlak sebagai orang Islam, kita perlu menjaga aib orang lain kerana apabila kita memeliharanya, maka Allah akan melindungi aib kita.

"Dalam kes mahkamah contohnya, mungkin kesilapan teknikal boleh berlaku, jadi kita boleh berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk pada 'pintu yang terkunci atau tertutup' tidak dirungkai sebelum ini," katanya.

Beliau memetik firman Allah SWT: "Wahai orang beriman, janganlah sesuatu puak (daripada golongan lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan lelaki lain (kerana) kemungkinan kelompok dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari golongan perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan perempuan lain (kerana) kemungkinan kelompok dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka." (Al-Hujuraat: 11)

Katanya, ayat ini menunjukkan sekiranya seseorang itu didapati bersalah, orang Islam perlu menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT kerana hanya Dia Yang Maha Mengetahui sebarang perkara yang nyata dan tersembunyi.

"Oleh itu, kita seharusnya menjadikan peristiwa seseorang menerima hukuman sebagai iktibar. Ini kerana secara umumnya, apabila berlaku sesuatu musibah, kita perlu mencari hikmah dan berusahalah supaya tidak sampai kita diuji tetapi tidak menemui hikmah.

"Hal ini samalah dengan apabila berlaku pandemik COVID-19, kita perlu mencari apa hikmah berlakunya wabak itu, sekali gus bukan menyalahkan semua pihak termasuk kerajaan, negara itu atau negara ini atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Contoh hikmah kita dapat ketika COVID-19, akhirnya kita dapat solat berjemaah dengan keluarga, itulah hikmah yang kita cari dan inilah konsep ujian hidup orang Mukmin sebenarnya," katanya.

Muhammad Azki turut mengingatkan supaya ketika orang lain dijatuhkan hukuman penjara atau denda, maka kita tidak perlu memuat naik tulisan yang tidak mencerminkan keperibadian akhlak orang Islam hingga menyakiti hati orang lain di media sosial.

Katanya, akhlak sebagai Muslim perlu dijaga dan sebab itulah seperti diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak. (HR Baihaqi)

"Akhlak perlu diletakkan pada nombor satu hingga kita perlu menjaga adab termasuk cara kita bercakap atau menulis di media sosial kerana ia mungkin menyakiti hati termasuk ahli keluarga individu.

"Malah, kadang-kadang cara kita bercakap atau menulis sampai orang lain tidak bersalah (tidak ada kena-mengena pun) tetapi habis kita kaitkan yang sebenarnya itu bukan adab sebagai Muslim.

"Apabila seseorang sudah dijatuhkan hukuman, kita terimalah hukuman itu. Kita yang masih bebas dan tidak dihukum, perlu buat yang terbaik untuk hidup di dunia dan negeri abadi (akhirat)," katanya.