Trending
Agama

Kenaikan harga barangan tuntut manusia sabar, bertaubat

Fenomena inflasi dapat dirasakan di seluruh dunia ketika ini tetapi apa yang membezakan adalah kadar peratusan inflasi yang bergantung kepada indeks harga pengguna (CPI) setiap negara.

Data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan perang Russia-Ukraine banyak menyumbang kepada kegawatan ekonomi dihadapi kebanyakan negara di dunia sama ada negara maju atau membangun.

Peperangan itu mengakibatkan peningkatan harga komoditi dan berpotensi besar menjarakkan lagi jurang ekonomi antara negara.

Bloomberg News menjangkakan negara Eropah seperti United Kingdom (UK) dan Jerman akan mengalami inflasi sekitar 8.0 hingga 10 peratus pada tahun ini.

Dalam Islam, kejadian inflasi pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW, tetapi sebab dan faktor inflasi berbeza dengan apa yang berlaku pada zaman ini.

Apa yang jelas, kenaikan harga barang adalah ujian Allah SWT. Ujian kesempitan harta adalah sunnatullah dan manusia apabila berdepan dengan ujian wajib bersabar.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan pasti Kami menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan serta berilah berita gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah; ayat 155)

Pada zaman Rasulullah, akibat terjejas dengan inflasi, sahabat memohon kepada Nabi supaya baginda menetapkan harga siling bagi mengawal kenaikan harga tidak terkawal.

Rasulullah SAW menjawab permintaan itu bersabda: "Allah SWT saja Tuhan menetapkan harga, yang Maha Menyempitkan dan Maha Meluaskan, serta Maha Pemberi Rezeki. Aku berharap nanti untuk bertemu dengan Allah SWT tanpa meninggalkan tuntutan sesiapa pun ke atasku kerana kezaliman pada nyawa dan harta". (HR Abu Daud)

Saranan Nabi Muhammad SAW ini bukan menidakkan segala usaha manusia untuk berusaha ketika berlakunya inflasi. Ajaran baginda ini merujuk kepada musibah menimpa manusia itu sama ada dalam bentuk kenaikan harga ini adalah akibat kedegilan dan ketamakan manusia itu sendiri.

Justeru, Rasulullah SAW menggalakkan manusia bertaubat dan memohon ampun kerana sebab kenaikan harga itu berkemungkinan daripada kekurangan hasil, kemarau dan sebab lain.

Khalifah Umar al-Khattab menunjukkan kepada kita bagaimana pihak berkuasa atau kerajaan perlu mengawal inflasi jika difikirkan wajar dan perlu.

Dalam satu kisah, beliau mengarahkan seorang sahabat Nabi, Hatib bin Abi Balta'ah mengurangkan harga jualan kismis di Madinah dengan katanya: "Kamu berniaga di laman kami, di bandar kami dan kampung halaman kami, kemudian kamu ingin mengambil kesempatan dengan menyukarkan kami dengan harga mahal sesuka hati kamu. Jual dengan harga satu cupak, jika kami enggan sila berdagang barangan dibawa masuk dari luar. Kemudian, jual sesuka hati mu".

Islam galak kawal perbelanjaan

Pernah berlaku satu zaman yang mana kenaikan harga melanda Baghdad ketika zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyah. Kejadian itu tidak sama seperti berlaku seperti hari ini yang mana musibah itu memaksa manusia ketika itu memakan bangkai dan anjing demi kelangsungan kehidupan.

Ada yang menjual hartanah semata-mata untuk mendapatkan sepotong roti. Perkara ini jelas menunjukkan kenaikan harga berlaku bukan kerana manipulasi harga atau manipulasi sesetengah pihak, akan tetapi lebih kepada isu alam sekitar mengakibatkan kekurangan bekalan.

Pernah berlaku di Mesir pada ketika itu kenaikan harga mengakibatkan kematian sekitar 31,000 nyawa. Satu peristiwa yang tidak dapat digambarkan dahsyatnya jika dibanding dengan krisis yang dihadapi di kala ini.

Oleh itu, apakah langkah berkesan atau penyelesaian bagi menghadapi inflasi ini. Kawalan perbelanjaan menjadi salah satu etika digalakkan Islam bukan sahaja ketika krisis bahkan ketika dalam keadaan normal.

Imam Ibnu 'Asakir meriwayatkan sebuah kisah dinisbahkan kepada tokoh sufi Islam terkenal iaitu Ibrahim bin Adham. Apabila berlaku kenaikan harga daging di zaman itu, beliau ditanya mengenainya, beliau menjawab: "Jangan membelinya, tunggu sehingga ia murah kembali".

Selain itu, corak berbelanja juga perlu diubah bukan sahaja di peringkat individu malah isi rumah dan industri. Sebagai contoh, pada masa ini Malaysia menghasilkan lebih kurang 38,000 tan metrik sisa pepejal sebulan yang mana 45 peratus daripadanya adalah sisa makanan boleh atau tidak boleh dimakan.

Jelas sekali perkara ini menunjukkan begitu besarnya jumlah lebihan makanan sebahagian besarnya adalah pembaziran. Pembaziran pada skala kecil mungkin tidak membimbangkan tetapi bagaimanakah jika ia berlaku dalam skala besar.

Perkara ini belum lagi melihat corak pembuangan sisa makanan restoran dan hotel di seluruh negara. Hal ini disokong data dari Jabatan Perangkaan pada 2019 mengenai trend berbelanja penduduk negara menggunakan 13.92 peratus dari pendapatan mereka untuk bayaran hotel dan restoran.

Tidak dinafikan ia digunakan bagi keperluan makanan tetapi pada perspektif berskala besar ia dilihat boleh menyumbang kepada pembaziran di pihak penyedia perkhidmatan makanan ini.

Pengawalan inflasi dalam ekonomi moden boleh diuruskan kerajaan. Kerajaan berkuasa penuh di dalam pengawalan inflasi menerusi mekanisme kadar faedah yang boleh mengehadkan pengaliran wang di dalam pasaran sekali gus menggalakkan simpanan di institusi kewangan.

Bagaimanapun kerajaan perlu mengimbangi keperluan industri tempatan kepada pertumbuhan stabil dan mampan dengan memastikan pendekatan pengawalan harga dilaksanakan tidak membantut momentum mereka berkembang dan maju.

Dalam isu ini, inflasi adalah masalah tidak dapat dielak ketika ini. Punca kepada krisis ini bukan kekurangan atau ketidakcukupan rezeki Allah SWT kurniakan di alam ini, sebaliknya ia adalah kesilapan segelintir manusia di dalam penggunaan, pengurusan dan pengagihan nikmat diamanahkan Allah SWT kepada kita.

Oleh yang demikian, galakan Nabi Muhammad SAW supaya umatnya bertaubat ketika berlakunya kenaikan harga adalah wajar bagi memperoleh keampunan Allah SWT, sekali gus diangkat segala musibah dan kesulitan yang melanda kita ketika ini.

Ini selari dengan firman Allah SWY bermaksud: "Sekiranya penduduk di sesuatu negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi." (Surah al-A'raf; ayat 96)

Penulis adalah Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)