Trending
Komentar

Guna istilah tepat didik rakyat tangani COVID-19

Sekolah baru sahaja dibuka semula untuk pelajar kelas peperiksaan. Ia membabitkan kira-kira setengah juta remaja belasan tahun.

Pada masa sama, makluman ringkas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berlegar mengenai penjarakan sosial yang menerangkan mengapa amalan itu mesti dilakukan pada kadar satu meter.

Antara sebabnya supaya kita tidak mudah menjangkiti satu sama lain kerana sebaran virus COVID-19 dianggarkan tidak melampaui had satu meter.

Namun, di sesetengah negara Barat - United Kingdom dan Amerika Syarikat - jarak yang mereka amalkan ialah dua meter. Mengapa ia berbeza belum dapat dijawab dengan meyakinkan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengiktiraf jarak penjarakan satu meter sudah mencukupi. Sebab itu saranan penggunaan pelitup muka amat digalakkan, khususnya pada majlis atau perhimpunan sesak yang mungkin berlaku sekolah.

Ketika itu soal betapa berkesannya penjarakan menjadi tanda tanya kerana amalan pergerakan lebih longgar, mungkin juga kurang dipatuhi. Jadi, mulut dan hidung, dua rongga kerap terdedah wajar diselamatkan sebaik mungkin melalui penggunaan pelitup muka.

Apa pun MKN tidak menjelaskan mengapa istilah 'sosial' digunakan. Ukuran satu atau dua meter ialah konsep fizikal (bukan sosial) dan boleh disukat dengan tepat menggunakan alat rasmi tertentu.

Tiada apa-apa keraguan padanya. Satu meter di mana sahaja tetap satu meter. Ini satu konsep yang sesuai mendidik siapa sahaja, terutama pelajar supaya ini menjadi cara hidup berkekalan lagi berdisiplin.

Institut Jantung Negara (IJN) misalnya menggunakan konsep penjarakan fizikal ini dengan jelas dalam bangunan miliknya pada setiap tempat digunakan pihak awam.

Ia satu contoh terbaik bagaimana langkah membanteras virus COVID-19 dapat dilakukan tanpa ragu-ragu. Jadi, bagaimana pula dengan penjarakan sosial? Mengapa istilah 'sosial' diguna pakai, bukan 'fizikal' seperti yang nyatakan di atas.

Mungkin ramai tidak berasakan ini penting (dari sudut keselamatan) atau dikatakan remeh. Namun, kepada pendidik yang bakal menerangkan konsep penjarakan itu, amat penting sebab-musababnya diperjelaskan.

Begitu juga bagi pengamal perubatan yang pasti perlu mendidik contohnya IJN tadi, agar tidak mengelirukan keadaan.

Apakah yang akan mengelirukan? Jawapannya, penjarakan sosial tidak membawa konsep sukatan atau ukuran setepat dan sejitu penjarakan fizikal. Kita tidak boleh membayangkan (apa lagi kepada anak) apakah itu satu meter dari sudut sosial dan bezanya dengan dua meter penjarakan sosial?

Sebaliknya ia amat jelas dari sudut penjarakan fizikal. Malah boleh dibuktikan begitu mudah sekali dari segi mendidik.

Apa yang lebih mengelirukan istilah dan konsep penjarakan sosial mempunyai latar dan sejarah tersendiri. Menyorot semula zaman silam abad ke-5 Romawi apabila ramai menghidap penyakit seakan-akan kusta yang amat ditakuti.

Tiada apa-apa rawatan ketika itu seperti wabak COVID-19 kini. Oleh itu, ramai menjarakkan diri daripada pesakit bukan sahaja secara fizikal tetapi juga sosial, yakni dengan pengasingan diri sehingga menimbulkan prasangka atau cemuhan moral terhadap pesakit.

Mereka dikurung dan diejek, malah dibaling batu bagaikan menghalau haiwan ganas lagi berbahaya. Ini dimaksudkan konsep penjarakan yang tidak membawa maksud ukuran atau sukatan fizikal.

Malah, Sungai Buloh mempunyai sejarah seumpamanya suatu ketika dahulu sebagai langkah pengasingan dan penghindaran. Hanya baru-baru ini ia dinyahkan, apabila kefahaman serta rawatan kusta diperoleh.

Oleh itu, apabila konsep penjarakan sosial diguna dan diamalkan, sekali gus ia menggalakkan satu perasaan atau penghinaan. Apa lagi ia dikatakan berkaitan masalah penjagaan kebersihan (yakni amalan dan tabiat kotor), mahupun dari segi dalaman atau batin, iaitu azab yang dikaitkan atas dosa yang mereka lakukan.

Dalam hal ini, sukatan satu atau dua meter tidak membawa apa-apa maksud. Sebaliknya, membawa keburukan serta cemuhan melulu sehingga menimbulkan kemelut sosial akibat pemencilan sosial, baik dari segi perkauman, agama dan budaya.

Ini akan menimbulkan berbagai kekangan sosial lain, terutama aspek emosi dan mental.

Istilah penjarakan sosial bukan sahaja tidak tepat, tetapi mengeliru lagi mengusutkan. Sudah tentu ia bertentangan dengan niat mendidik apatah lagi membudayakan kefahaman dan amalan kebersihan serta kesihatan yang tertib.

Oleh itu WHO wajar mengiktiraf serta mengesyorkan penggunaan penjarakan fizikal dan bukan penjarakan sosial.

Memandangkan sekolah dibuka semula, paling wajar kita menggunakan istilah dan konsep pendidikan yang tepat dan berkesan dalam menangani jangkitan COVID-19, terutama dalam kalangan pendidik.

Oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak

  • Lagi berita mengenai COVID-19
  • Related Article