Trending
Komentar

Bonggol jalan tak ikut spesifikasi undang bahaya

Kerap juga 'viral' kisah mengenai bonggol jalan yang dibina bagi tujuan meredakan trafik khususnya di kawasan perumahan, dengan pelbagai reaksi dizahirkan.

Ada berasakan ia penting demi keselamatan, khususnya dalam mengatasi masalah kenderaan dipandu laju di kawasan perumahan. Ada pula berpendapat ia menjengkelkan, bahkan mendatangkan bahaya kepada pemandu kenderaan yang melalui kawasan terbabit.

Apa tidaknya, ada kenderaan rosak akibat tersangkut, penunggang motosikal terjatuh atau terbabit kemalangan kecil disebabkan bonggol dibina.

Mengikut Jabatan Kerja Raya (JKR), kaedah redaan trafik menggunakan bonggol sesuai untuk memperlahankan had laju kenderaan apabila menghampiri sesuatu lokasi seperti perumahan, sekolah, hospital dan selekoh bahaya. Ia juga sesuai bagi lokasi tumpuan tinggi pengguna jalan raya khususnya pejalan kaki.

Namun, bonggol bukan satu-satunya penyelesaian. Terdapat kaedah lain boleh dipertimbangkan seperti penyempitan lorong, hadangan dan peralihan lorong, ataupun pengubahan bahan dan penampilan turapan.

Mengikut sudut perspektif kejuruteraan awam dan jalan raya, bonggol jalan sepatutnya menjadi pilihan terakhir. Implikasi negatif pemasangan bonggol, termasuk pencemaran bunyi dan asap ketika kenderaan membrek, meningkatkan kadar kelengahan trafik yang mendorong kesesakan, serta menghalang pengaliran air di atas permukaan jalan.

Apa yang membimbangkan, ada segelintir pihak sewenang-wenangnya mengambil tindakan membina bonggol sendiri. Tindakan ini menjurus kepada bonggol jalan dibina tidak seragam, gagal menepati spesifikasi teknikal dan mendatangkan risiko kemalangan.

Malah, ia dianggap kesalahan di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, sekiranya pembinaan dibina tanpa kebenaran pihak berwajib.

Mengikut JKR, bonggol jalan harus mengikut garis panduan ditetapkan khususnya dari segi ukuran teknikal tinggi/rendah dan lebar. Spesifikasi tidak menepati garis panduan, termasuk terlalu tinggi, tiada warna jaluran dan tiada bantuan pencahayaan.

Mengikut garis panduan ini, tiga jenis bonggol jalan dibenarkan, iaitu bum had laju (speed bump), bonggol had laju (speed hump) dan satah had laju (speed table). Setiap satu mempunyai spesifikasi dan kesesuaian kegunaan berbeza.

Jika bonggol jalan dibina, pelan pemasangan bonggol perlu dirangka sewajarnya. Ia harus disertakan beberapa fasiliti lain bagi memastikan pelaksanaan efektif. Antaranya termasuk pemasangan papan tanda amaran bonggol, jalur rentas kuning dan pemantul cahaya mata kucing sebelum menghampiri lokasi bonggol. Bonggol juga perlu mempunyai garisan berjalur atas permukaannya.

Benar, niat penduduk setempat membina bonggol ada justifikasinya, lebih-lebih lagi apabila membabitkan keselamatan kanak-kanak.

Namun, mereka tidak seharusnya bertindak sendiri, sebaliknya perlu melaporkan aduan dan mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Yang pasti, bonggol jalan seharusnya dibina kontraktor terlatih yang dipertanggungjawabkan PBT. Mengambil tindakan sendiri dengan membina bonggol tanpa mengikut spesifikasi boleh 'memakan diri' dan mengundang bahaya, termasuk berisiko mengakibatkan kemalangan yang besar impaknya.

Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Related Article