Trending
Komentar

Pemimpin perlu terajui inisiatif martabatkan bahasa kebangsaan

Rakyat Malaysia perlu mempertahankan bahasa Melayu sesuai kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

Tanggapan segelintir pihak kononnya menggunakan bahasa kebangsaan memperlihatkan seseorang itu seolah-olah tidak terdidik atau kurang keterampilan, sama sekali tidak benar.

Sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa kebangsaan sejak sekian lama, terbukti melahirkan ribuan cendekiawan, teknokrat dan pemimpin tersohor.

Realitinya, usaha memartabatkan bahasa Melayu khususnya dalam masyarakat era sekarang berdepan cabaran. Antaranya, penggunaan bahasa campuran atau 'bahasa rojak' khususnya melalui media sosial, yang mempengaruhi cara berbahasa dan berkomunikasi dalam kehidupan seharian.

Pengguna media sosial dilihat menekankan kepantasan mesej yang mahu disampaikan, selain cenderung mengikut trend, berbanding memastikan penggunaan bahasa dan tatabahasa betul dalam berkomunikasi. Fenomena sebegini mencetuskan kecelaruan.

Penggunaan bahasa rojak, bahasa singkatan dan slanga mencemarkan martabat bahasa Melayu tanpa kita sedar. Penggunaan media sosial juga menunjukkan bahasa rojak memberi gambaran wujud keadaan kebahasaan tidak stabil dalam komuniti siber.

Keadaan ini berlaku akibat kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai serta ciri unggul bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Apa yang dikhuatiri, lama-kelamaan beberapa ciri bahasa Melayu akan pupus dan digantikan beberapa ciri bahasa Inggeris dan juga bahasa pautan.

Kecelaruan bahasa seperti ini akan menjadi bahasa lazim masyarakat Malaysia sekiranya gejala ini terus terjadi.

Secara perlahan kita mungkin akan melucutkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan melunturkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan.

Kekerapan menggunakan bahasa celaru seperti ini juga memberi tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa Melayu.

Fenomena seperti ini - yang dianggap moden dan seiring peredaran masa - boleh menjejaskan pembelajaran pada peringkat sekolah dan universiti, serta perkembangan komunikasi anak zaman sekarang.

Seharusnya, kandungan media sosial yang mengandungi penggunaan bahasa rojak perlu dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Keupayaan bahasa Melayu bertahan dalam era siber banyak bergantung keupayaan masyarakat penuturnya. Sikap masyarakat terhadap bahasa Melayu menyebabkan kesukaran untuk meletakkannya di persada antarabangsa.

Yang jelas, ketidakyakinan kita sendiri terhadap bahasa ibunda untuk berkembang menjadi bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa mengakibatkan bahasa Melayu terus tercicir dalam persaingan bahasa lain di dunia. Penutur bahasa Melayu lebih senang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa rojak yang kini semakin menjadi ancaman terhadap kemurnian bahasa Melayu.

Mereka menganggap bahasa Melayu tidak setanding bahasa Inggeris, malah berasakan lebih elit menggunakan bahasa Inggeris, walaupun bertutur sesama Melayu. Mereka juga menganggap bahasa rojak lebih santai dan tidak begitu formal.

Hakikatnya, gejala ini perlu segera ditangani dengan menyarankan kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul pada semua peringkat rasmi dalam komuniti. Usaha ini boleh dimulakan menerusi pemimpin, selebriti dan pempengaruh media sosial.

Selaku figura berpengaruh, mereka boleh menunjukkan teladan baik kepada masyarakat. Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan Melayu, begitu juga apabila berbahasa Inggeris.

Sikap pengguna juga perlu berubah. Sikap menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak moden harus dihapuskan dan peranan media sosial amat penting bagi memartabatkan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan sebagai bahasa ilmu kerana bahan ilmu dalam bahasa Melayu berupaya mengisi keperluan negara, khususnya dalam menghasilkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran serta mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Bahasa Melayu wadah sangat penting untuk mengilmukan bangsa kerana pemikiran dan budaya bangsa dilatari bahasa kita.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka

Related Article