Trending
Komentar

Legasi pembangunan modal insan dicetus Pak Lah wajar diteruskan

Tun Abdullah Ahmad Badawi menyambut ulang tahun kelahirannya ke-82 pada 26 November lalu. Perdana Menteri kelima itu meninggalkan arena politik negara pada usia 70 tahun, namun legasi beliau ketika memimpin negara lebih 12 tahun lalu akan terus kekal relevan.

Antara individu utama berusaha memastikan kesinambungan  legasi Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah, adalah Datuk Jefridin Atan.

Lebih 20 tahun mengenali Pak Lah sama ada secara peribadi mahupun urusan kerja, mendorong Jefridin yang bertugas sebagai setiausaha sulit dan pegawai khas Pak Lah antara tahun 2000 hingga 2020, menubuhkan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) pada 2016, disusuli Hadhari Global Foundation (HGF) pada 2019.

LEGASI berperanan menganjurkan program bersifat ilmiah dan advokasi berpusatkan kepada legasi utama diilhamkan Pak Lah.

Antaranya Pembangunan Modal Insan, Islam Hadhari, Industri Halal, Pembangunan Ekonomi Koridor dan World Islamic Economic Forun, termasuklah pemerkasaan waqaf melalui penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

Malah, Jefridin turut menjalankan kajian peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk 'Peranan Agama dalam pembangunan modal insan: Analisis daripada sudut kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dari tahun 2004 – 2009'.

Baru-baru ini, Jefridin dijemput menyampaikan syarahan Kursi Sheikh Abdullah Fahim di UKM 'Sumbangan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Pembangunan Modal Insan di Malaysia'.

Pak Lah adalah cucu kepada Sheikh Abdullah Fahim, seorang ahli falak yang mencadangkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kepada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.

Program anjuran Institut Islam Hadhari UKM dengan kerjasama LEGASI dan HGF berlangsung 24 November lalu, dua hari sebelum ulang tahun kelahiran Pak Lah ke-82.

Pak Lah seorang pemimpin unik kerana latar belakang dan pegangan agama beliau sangat dominan dalam mempengaruhi corak kepemimpinannya, terutama dari aspek pembentukan modal insan di Malaysia, sebuah negara Islam yang bersifat progresif.

"Sesuai gelaran Bapa Pembangunan Modal Insan, Pak Lah sangat percaya bahawa sesebuah negara yang maju perlu memiliki tunjang modal insan terbilang. Meskipun banyak perubahan dasar diperkenalkan beliau, legasi Pak Lah semakin terpinggir apabila pemimpin bertukar.

"Saya pasti setiap pemimpin mahukan sebuah negara berdaya saing dan kuncinya tidak lain dan tidak bukan, bermula daripada modal insan." kata Jefridin.

Strategi pembangunan berasaskan prinsip kepimpinan Islam Hadhari berupaya membantu modal insan untuk mengangkat martabat bangsa, menguatkan nilai peribadi, mengukuhkan keseimbangan fizikal, mental dan spiritual serta melahirkan generasi minda kelas pertama.

Melalui prinsip modal insan, masyarakat dapat mengamalkan budaya integriti, menolak amalan rasuah, memenuhi kehendak dan aspirasi negara, menjana pendapatan serta mengamalkan ketelusan dalam pekerjaan.

Dasar dan strategi dilaksanakan bagi  pembangunan modal insan di Malaysia ialah dengan memperkenalkan Prinsip Islam Hadhari berteraskan misi nasional melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9). Tiga strategi utama disenaraikan iaitu penguasaan ilmu pengetahuan, latihan semasa kerja dan kesihatan.

Kepemimpinan Pak Lah ketika itu memperuntukkan dana besar bagi mendukung agenda ini. Asas agama diterapkan berjaya merangka dasar negara yang sudah pastinya menjamin pembentukan modal insan lebih berkualiti.

Pelaksanaan dasar negara antara 2004 hingga 2009 memberi perubahan besar kepada masyarakat, khususnya demi melahirkan lebih banyak modal insan.  

Jefridin melalui syarahan beliau turut berkongsi dapatan jelas memperlihatkan bahawa agama memainkan peranan penting dalam corak kepemimpinan serta pembentukan dasar negara. Agama dapat menjamin modal insan berkualiti merangkumi akhlak dan sahsiah  individu.  

Asas agama yang kuat ini terzahir melalui pengenalan prinsip Islam Hadhari, kepemimpinan Pak Lah sendiri dan dasar negara yang akhirnya menjadi mekanisme pembentukan modal insan di Malaysia ketika itu.

Terdapat 10 prinsip utama dalam Islam Hadhari iaitu Keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT; Kerajaan adil dan amanah; Rakyat berjiwa merdeka; Penguasaan ilmu pengetahuan; Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif; Kehidupan berkualiti; Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita; Keutuhan budaya dan moral, Pemuliharaan alam semulajadi, serta Kekuatan pertahanan. 

Mengenai agama, Jefridin menegaskan, Islam agama terawal mencatatkan sejarah perkembangan dan kemajuan peradaban manusia.

"Contoh dapat kita lihat melalui Zaman Khulafa ar-Rashidin, zaman peradaban Islam. Selepas wafatnya Rasulullah SAW, konsep Islam berasaskan Tauhid iaitu iman, ilmu dan amal terus diguna pakai. Ramai tokoh kepemimpinan Islam mentadbir menggunakan asas ajaran Islam seperti sistem baitulmal dan zakat," katanya

Instrumen kewangan  Islam, program JQAF (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain) serta industri halal dibentuk Pak Lah dengan hasrat membentuk modal insan negara. Sistem kewangan Islam kini muncul komponen berdaya maju dan teguh dalam keseluruhan sistem kewangan, melengkapi sistem kewangan konvensional. 

Isu halal juga sangat sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu negara ini. Sejarah awal industri halal di negara kita bermula apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barang gunaan Islam yang patuh syarak pada 1974. 

Pada 2005, Pak Lah mengangkat industri halal dengan membuka lebih banyak jawatan pelbagai gred baharu di bawah Bahagian Hab Halal. Apa dapat dibanggakan, Malaysia pusat rujukan halal nombor satu dunia. Menjelang 2030, pasaran halal global dijangka berkembang kepada AS$5.0 trilion (lebih RM21 trilion). 

Seterusnya, program J-QAF bukan tertumpu kepada pendidikan Islam sahaja, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan pendidikan Islam.

Agenda utama difokuskan dalam modul pembelajaran menerusi program J-QAF terbahagi kepada empat elemen utama iaitu tulisan Jawi, pembacaan Al-Quran, bahasa Arab dan fardu Ain. 

"Pak Lah yakin melalui empat elemen itu, individu berakhlak mulia dapat dibentuk. Pembentukan rohani dimulakan di peringkat awal, jika dikekal dan diamalkan sehingga dewasa akan menjadikan satu modal insan yang bukan sahaja berakhlak mulia, malah  mampu berfikir secara rasional dalam membantu perkembangan ekonomi negara," katanya.

Dari segi politik, kemenangan besar Pak Lah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 menunjukkan beliau memiliki daya kepemimpinan hebat. Rakyat percaya dan yakin kebolehan beliau sebagai pemimpin yang boleh mentadbir negara.

Apa dapat disimpulkan, seorang pemimpin khasnya dan umat manusia amnya, mestilah berpegang kepada ajaran agama.

Pegangan agama yang kuat akan dapat membentuk keperibadian lebih berakhlak mulia dan berintegriti dalam diri setiap manusia. Pembangunan modal insan adalah berteraskan nilai agama yang sangat penting untuk diberi perhatian oleh kepemimpinan tertinggi negara.

Penulis adalah Perunding Media Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)

Related Article