Trending
Komentar

Perkemas sistem sokongan OKU, rapatkan jurang pendidikan

Pembangunan modal insan tunjang pembangunan sesebuah komuniti dan semestinya, komuniti orang kurang upaya (OKU) tidak terkecuali.

Seperti warga negara lain, OKU termasuk kategori masalah penglihatan menerima pendidikan asas meliputi prasekolah, sekolah rendah dan menengah.

Cuma berbeza, kanak-kanak OKU menerima pendidikan prasekolah di sekolah pendidikan khas. Peringkat sekolah rendah dan menengah pula, sebahagiannya dimasukkan ke aliran sekolah integrasi atau inklusif, manakala sebahagian lagi kekal di sekolah pendidikan khas.

Bilangan sekolah integrasi dan inklusif pula kurang dibandingkan sekolah biasa, begitu juga sekolah pendidikan khas. Sekolah swasta dan antarabangsa pula, jarang menyediakan program integrasi dan inklusif untuk pelajar berkeperluan khas.

Masalah sosioekonomi keluarga kanak-kanak cacat penglihatan dan kekurangan kemudahan di sekolah jenis ini menjadi halangan untuk mereka menerima pendidikan di sekolah berkenaan.

Jarak sekolah pula agak jauh. Pemisahan dengan keluarga pada usia awal pula akan menjejaskan hubungan kekeluargaan, selain menambah beban kewangan keluarga.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 148 sekolah akan dibaik pulih Kementerian Pendidikan (KPM), manakala berpuluh-puluh sekolah lagi akan dibina. Dicadangkan, KPM mewajibkan dan memastikan semua sekolah itu mematuhi piawaian digariskan dalam Universal Design dan Malaysian Standard 1184.

Pematuhan kedua-dua piawaian ini bukan setakat memudahkan pelajar berkeperluan khas, tetapi memberi manfaat kepada pelbagai pihak lain.

Jika kedua-dua piawaian dapat dimasukkan ketika baik pulih atau pembinaan bangunan baharu, sudah pasti kos agak rendah dibandingkan mewujudkan kemudahan itu di bangunan sedia ada.

Kemudahan itu juga dapat dimanfaatkan warga sekolah jika mereka kehilangan upaya sementara akibat kemalangan.

Hakikatnya, pembinaan bangunan bebas halangan penting untuk membantu masyarakat kita membentuk Keluarga Malaysia inklusif dan penyayang.

Seperti sedia maklum, aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 berkait rapat pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, terutama dalam sektor teknologi.

Jika tinjauan dilakukan ke atas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pencapaian pelajar bermasalah penglihatan amat membanggakan, namun dalam aliran sains amat mengecewakan. Ini menyebabkan limitasi pemilihan kerjaya golongan itu.

Pada Februari lalu, kerajaan melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0). Melaluinya, pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi akan memperoleh permintaan tinggi.

Namun, kekurangan pembabitan dalam STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) peringkat SPM menyebabkan pelajar OKU penglihatan secara langsung tidak memperoleh tempat belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang itu.

Sedangkan, sektor pekerjaan memerlukan pendidikan STEM ini dikenal pasti asas bagi sektor pekerjaan berkait rapat KEGA dalam WKB 2030.

KPM, Kementerian Pengajian Tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan perkhidmatan kepada OKU penglihatan, perlu mencari penyelesaian bersama, mengatasi cabaran ini.

Tanpa penyelesaian segera, pengangguran golongan terbabit akan bertambah parah selepas berakhirnya WKB 2030.

KPT disaran berperanan sebagai penyelaras membantu pembentukan kerjasama pintar antara KPM dan IPT yang menghasilkan tenaga pengajar dan NGO yang menawarkan perkhidmatan kepada OKU penglihatan bagi menambah bilangan mereka dalam aliran sains di peringkat SPM.

Melalui kerjasama pintar ini, semua kepakaran boleh disatukan untuk membangunkan modul latihan sesuai kepada guru yang mengajar mata pelajaran berkaitan STEM kepada pelajar OKU penglihatan.

Jika perlu, tenaga pengajar berkenaan boleh diundang dari luar negara untuk membangunkan modul latihan kepada guru terbabit.

Kesimpulannya, pendidikan formal laluan kerjaya untuk warga Malaysia, tidak terkecuali mereka berkeperluan khas.

Faktor ketidaksepadanan bidang pengajian, stigma masyarakat dan kekurangan sistem sokongan OKU masih halangan utama golongan ini menjadi sebahagian Keluarga Malaysia yang berkesan.

Felo Pasca Doktoral Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Universiti Sains Malaysia (USM)

Related Article