Trending
Komentar

Perisian tangkas lonjak prestasi kerja secara digital

Peredaran ke zaman teknologi maklumat pasca COVID-19 menyaksikan betapa besar pengaruh dunia maya. Kemeruapan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan (VUCA) menyebabkan perubahan semakin laju serta tangkas.

Perlumbaan mesin semakin cekap dalam pengurusan menyebabkan pekerjaan manual manusia semakin lapuk dan digantikan teknologi sepenuhnya.

Dari sudut pengurusan, institusi perlu peka perubahan teknologi serta inovasi, manakala sistem pengurusan maklumat lapuk harus diperinci semula. Pelbagai gangguan teknologi dan inovasi yang searus dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) sering menghantui pekerja kerana kurang kemahiran, kesiapsiagaan dan literasi teknologi.

Namun, timbul persoalan kepelbagaian perisian dan kesaratan maklumat menghalang ketangkasan dalam pengendalian serta pemprosesan maklumat efektif kepada pengguna.

Kita sering mendengar alasan dalam talian seperti masalah sistem dan teknikal serta sistem lembap menyebabkan kelewatan dan kelekaan hingga memberi kesan negatif kepada produktiviti.

Tanpa disedari, pengguna hanya mampu mengakses sistem sebagai pengantaraan dan tempat menyimpan maklumat. Jika sistem tergendala, hanya pihak berkemahiran tinggi teknologi maklumat (IT) mampu menyelesaikannya hingga memakan masa serta menyebabkan kerja pengguna tertangguh.

Agile Manifesto ialah konsep gagasan dicanangkan sekumpulan pembangun perisian hampa dengan kaedah lama atau waterfall model, proses pembangunan perisian panjang dan berjela, seterusnya menyebabkan kegagalan sesebuah projek.

Agile ialah kaedah ketangkasan dalam pembangunan perisian cekap menyokong keberkesanan setiap individu berinteraksi dalam talian, bekerjasama dan respons kepada perubahan mengikut pelan.

Menurut Laporan Produktiviti Malaysia 2021, secara purata nilai penurunan 5.5 peratus pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19.

Ini seolah-olah memberi gambaran tugasan manual tidak lagi bersesuaian pada zaman ini. Kelonjakan penggunaan digital semakin ketara. Kesiapsiagaan teleworking dan e-pendidikan masih ketinggalan jauh sejak pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) lagi.

Implementasi bekerja secara digital sering menghadapi masalah kurang kepercayaan daripada majikan, walaupun mempunyai banyak faedah. Ini menyebabkan sistem sedia ada jauh ketinggalan dan 'berat' menyebabkan sukar dikendalikan secara jarak jauh.

Dalam mengamalkan agile dalam pekerjaan, kerangka SCRUM diperkenalkan Hirotaka Takeuchi dan Ikujiro Nonaka pada 1986. SCRUM ialah terma dipinjam daripada sukan ragbi, iaitu formasi pasukan melambangkan semangat kerja berpasukan.

SCRUM ialah rangka ringan, ringkas, berulang, sentiasa diperhalusi bagi membangunkan, menyampai dan mampu mengharungi kompleksiti perisian. Ia dicipta bagi mencabar tradisi lama kaedah membangun perisian dan menggalakkan kerja berpasukan secara dekat dalam talian mahupun berpusat.

Ia menekankan respons tangkas kepada perubahan semasa mengikut peredaran teknologi dan keadaan pasaran. Ketangkasan dalam pengurusan secara dalam talian tidak boleh dilengahkan dan semua lapisan pekerjaan memerlukan latihan semula dalam meningkatkan tahap prestasi serta produktiviti pada era teknologi maklumat.

Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MYDigital) menitikberatkan transformasi digital bagi memacukan aspirasi negara berdaya saing dan cekap IT, seterusnya melahirkan bakat mengamalkan kerangka agile bagi membangunkan ekonomi negara berdigital.

Oleh itu, kerangka agile perlu diterapkan dalam pengurusan sistem terkini dan dinilai semula dari sudut menyelesaikan masalah dengan tangkas.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembinaan, Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Related Article