Trending
Komentar

Gerakan muda, agresif Rafizi beri saingan kepada Saifuddin

Pemilihan PKR 2022 kali ini berlaku dalam keadaan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan tidak menentu, khususnya dalam menetapkan hala tuju politiknya.

Strategi khemah besar yang sering dicanang pimpinan tertinggi PH nampaknya kurang mendapat sokongan daripada akar umbi.

Strategi khemah besar hanya memperlihatkan pimpinan PKR dan PH seolah-olah kembali menerima pihak yang selama ini disifatkan melakukan pengkhianatan kepada PH.

Justeru, pemilihan kali ini dilihat mampu membuka peluang terbaik kepada calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk kembali berada dalam saf kepemimpinan tertinggi PKR, sekali gus menewaskan pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin mempunyai kekuatan tersendiri kerana selama ini menjadi orang kepercayaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berulang kali bertegas usaha memperkuatkan parti menjadi keutamaan perjuangannya.

Beliau juga berjanji memberikan peranan kepada calon yang kalah dalam pemilihan untuk turut sama memperkuatkan parti tanpa meminggirkannya.

Meraikan perbezaan pendapat tanpa mempunyai pasukan khusus turut menjadi kekuatan Saifuddin dalam menyatupadukan parti menghadapi PRU-15. Konsep 'Kita Semua KeAdilan' menjadi kunci kekuatan Saifuddin merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Bagaimanapun, suara akar umbi PKR tidak boleh dipandang sepi. PKR dan PH mengalami kekalahan berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN).

Strategi khemah besar yang cuba diusahakan, walaupun ketika itu belum ada tanda-tanda dapat direalisasikan, menjadikan pimpinan PKR dan PH seolah-olah sudah mati akal untuk mendapatkan kembali sokongan akar umbi.

Pada masa sama, Rafizi pula mempunyai kekuatan ampuh kerana berada di barisan kelompok muda dalam PKR yang turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Rafizi sememangnya mempunyai pengaruh cukup kuat. Meskipun ideanya menolak strategi khemah besar dianggap sebagai pandangan minoriti dalam kepemimpinan parti, kehadiran beliau dalam saf kepemimpinan tertinggi pasti akan mencorakkan pandangan baharu.

Bagaimanapun, PKR perlu mengelakkan perpecahan dalam parti sekiranya mahu kembali berada di landasan tepat mendapatkan kembali sokongan rakyat.

Di sebalik kemenangan UMNO-Barisan Nasional (BN), terutama dalam dua PRN, iaitu PRN Melaka dan PRN Johor, sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah.

Oleh itu, PKR perlu menjadi parti utama menggerakkan PH dengan menumpukan usaha untuk mendapatkan kembali sokongan daripada pengundi atas pagar.

Berdasarkan sentimen peringkat bawah, Rafizi dilihat mampu memenangi pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Rafizi selama ini dilihat banyak membantu PKR dan PH menggoyah keyakinan rakyat terhadap UMNO-BN melalui pendedahan dibuat terhadap kerajaan terdahulu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jangkaan kemenangan Rafizi itu juga berdasarkan gerakan agresif beliau kekal dengan pendirian asal PKR, iaitu meyakini rakyat yang menjadi model kemenangan dalam PRU-14 lalu.

Beliau lantang menolak sebarang kerjasama politik baharu atau jajaran politik baharu dengan mana-mana parti politik khususnya PAS dan BERSATU yang dilihat sebagai punca kejatuhan kerajaan PH.

Gandingan Rafizi bersama saf kepemimpinan muda PKR yang progresif dengan kempen Ayuh Malaysia dilihat mampu memperkuatkan PKR menghadapi PRU-15 dengan pendekatan meyakinkan pengundi atas pagar. Kepemimpinan muda terbabit mampu menjadi barisan pemimpin diyakini.

Bagaimanapun sebarang keputusan pemilihan bergantung kepada kebijaksanaan ahli yang perlu memilih pemimpin muda progresif atau barisan pemimpin dengan 'gaya lama' mengambil pendekatan berbincang merangka strategi parti di bilik tertutup membabitkan elit politik tertentu sahaja.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

Related Article