Trending
Komentar

Pengaruh 'warlord' masih bayangi proses meremajakan UMNO

Dalam tempoh seminggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas diadakan, pelbagai kritikan diterima parti itu, terutama keabsahan untuk mengadakannya.

Menariknya, kritikan itu datang bukan daripada ahli parti, tetapi orang luar parti atau pemerhati yang 'mengambil berat' isu berkaitan UMNO selepas parti berkenaan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Perkara dibangkitkan, pada dasarnya nampak ada rasionalnya, namun jika diteliti lebih mendalam sebenarnya ia diselesaikan UMNO sebelum hasil PAU Khas diumumkan.

UMNO sudah belajar daripada pengalaman lalu yang menggugat kedudukan parti itu. Dalam hal ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan apa yang dilaksanakan parti itu berlandaskan undang-undang dan peraturan parti serta mengikut tata kelola ditetapkan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Perkara sama ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya ketika perhimpunan tempoh hari yang menyatakan pindaan perlembagaan parti itu mengikut peraturan dengan mengambil kira keperluan situasi semasa politik.

Turut dibangkitkan dan dipersoalkan EGM itu adalah mengenai pindaan perlembagaan parti itu mengenai kuasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dikatakan sebagai caretaker parti.

Mengenai dakwaan pindaan Fasal 10.16 bagi memanjangkan tempoh memegang jawatan pemimpin selepas masa enam bulan sebagai tidak selari dengan hasrat 'meremaja' dan mendemokratikkan parti itu, Ahmad Zahid menjelaskan perkara itu tidak timbul.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan UMNO hampir tersungkur, parti mula melaksanakan pendekatan memberi ruang kepada muka baharu untuk bertanding pada pilihan raya, terutama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

PRN Melaka dan Johor boleh dianggap sebagai bukti UMNO tidak ketandusan pemimpin muda untuk diketengahkan menjadi calon, sekali gus memenangi hati pengundi.

Justeru, boleh diakui pindaan perlembagaan UMNO dalam perhimpunan tempoh hari adalah kesiapsiagaan UMNO untuk memastikan parti itu terus mendapat sokongan dan menerajui negara.

Namun, mampukah UMNO mengatasi masalah warlord yang masih menjadi 'duri dalam daging' parti, terutama apabila tiba masa menentukan calon untuk diketengahkan bagi bertanding pada pilihan raya nanti.

Usaha meremajakan parti dan menampilkan orang baharu atau muda sebagai calon pada pilihan raya mungkin sukar direalisasikan jika isu warlord ini terus menghantui aspirasi UMNO.

Jika hanya soal 'tempoh' dan usaha mengekalkan kestabilan parti berjaya diatasi menerusi pindaan perlembagaan, ia belum cukup kuat untuk membantu mengukuhkan UMNO dari dalam, termasuk mendapat sokongan pemimpin muda.

Memang benar banyak pemimpin UMNO menegaskan pindaan perlembagaan parti bukan hendak mempertahankan pemimpin tertentu sebaliknya demi kestabilan dan strategi bagi menghadapi PRU akan datang tanpa bergelut masalah dalaman, tetapi kelompok warlord tetap mempengaruhi keputusan parti.

Bermakna, orang UMNO perlu walk the talk terhadap apa ditegaskan Presiden UMNO dalam ucapannya bahawa pindaan itu demi kestabilan UMNO untuk menghadapi PRU-15, mengembalikan maruah perjuangan dan mempersiapkan pewaris kesinambungan perjuangan parti.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH

Related Article