Trending
Komentar

Pergiat kempen didik rakyat hargai makanan

Kadar pembaziran makanan di Malaysia didapati masih berada pada tahap tinggi apabila Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan sebanyak 17,000 tan sisa makanan terbuang pada 2021.

Jumlah ini meningkat sebanyak 13 peratus berbanding sekitar 15,000 tan sisa makanan terbuang pada 2019. Kira-kira 20 peratus daripada jumlah itu atau 3,000 tan adalah makanan belum disentuh dan masih boleh dimakan.

Jumlah ini mampu menampung hidangan tiga kali sehari untuk 5.3 juta orang.

Sisa buangan makanan ini menyumbang kepada hampir 40 peratus daripada keseluruhan sisa buangan dilupuskan.
Jumlah ini pula boleh meningkat sehingga 20 peratus pada musim perayaan.

Mengikut kajian dibentangkan bekas Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Hazilah Gumri pada 2015, 40 peratus daripada sisa buangan makanan berpunca daripada sisa harian isi rumah.

Sebanyak 24 peratus sisa makanan ini pula termasuk dalam kategori yang boleh dielak dibuang (makanan yang sepatutnya boleh dimakan, tetapi berakhir dengan dibuang). Nilai ini sekiranya ditukarkan dalam bentuk wang ringgit bernilai RM225 sebulan dan bersamaan RM2,700 setahun.

Mengikut hasil penyelidikan, terdapat dua peringkat pembaziran makanan boleh berlaku dalam isi rumah, yang pertama ialah pada peringkat pembelian dan yang kedua ialah peringkat penyediaan makanan.

Pembelian tidak dirancang dengan teliti boleh membawa kepada stok makanan isi rumah berlebihan. Stok makanan berlebihan yang tidak sempat digunakan sebelum berakhirnya tarikh luput akhirnya terpaksa dibuang begitu sahaja.

Pembelian panik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19 turut menyumbang kepada pertambahan peratusan sisa makanan terbuang pada 2020 dan 2021.

Pada peringkat penyediaan makanan pula, faktor perancangan memainkan peranan penting untuk mengelakkan pembaziran makanan.

Tanpa perancangan teliti, isi rumah cenderung menyediakan makanan dalam kuantiti lebih daripada sepatutnya. Justeru, penyediaan makanan dalam kuantiti berpatutan dan sesuai dengan
jumlah isi rumah adalah penting untuk dilakukan.

Sekiranya ada makanan berlebihan, ia sebenarnya boleh digunakan semula sehingga habis. Namun, banyak yang berakhir dengan dibuang.

Pembuangan makanan ini bukan sahaja menjadi isu pembaziran makanan, malah ia juga membawa kepada isu pembaziran kewangan keluarga, pencemaran alam dan juga peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan yang mana kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk tujuan pengurusan sisa.

Pihak yang berkaitan menjalankan pelbagai kempen kesedaran dalam usaha menurunkan kadar buangan sisa makanan, namun dengan trend semakin meningkat ini, kempen dan pelbagai inisiatif harus diteruskan serta dipergiat untuk mendidik masyarakat menghargai makanan dan tidak membazir.

Platform media sosial boleh digunakan secara intensif untuk menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat berkaitan pengurusan bahan makanan lebih efisien, bermula seawal peringkat pembelian sehingga peringkat penyediaan makanan.

Kempen kesedaran dan langkah lebih proaktif harus dipanjangkan kepada sektor industri termasuk peniaga gerai, kedai makan, restoran, hotel, institusi pendidikan, jabatan kerajaan serta sektor swasta.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam

Related Article