Trending
Komentar

Tangguh projek kurang impak, fokus selesai krisis air keruh

"Sudah 21 tahun berdepan masalah bekalan air, ratusan aduan sudah dibuat, ribuan ringgit habis untuk membeli tangki serta mesin tetapi tidak selesai sepenuhnya kerana air hanya dilepaskan untuk tempoh tertentu.

"Andai kata menyewa, sudah lama kami berpindah. Namun apakan daya rumah ini dibeli dan kami tidak mampu membeli baharu. Jika mahu menjualnya pun tiada siapa mahu kerana tempat ini terkenal dengan masalah air." Demikian luahan penduduk Taman Mesira, Bachok, yang mahu dikenali sebagai Wani, 50.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya, bayangkan jika sehari kita terputus bekalan air dan terpaksa memunggah air, sudah semestinya aktiviti seharian terjejas kerana air adalah asas utama. Inikan pula bertahun-tahun.

Namun di Kelantan, bukan sahaja Taman Mesira, banyak kawasan sering dilaporkan berdepan masalah sama termasuk di Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat.

Malah, ada penduduk terpaksa menggunakan air boring (bawah tanah) sejak puluhan tahun lalu disebabkan ketiadaan air terawat dan terpaksa berdepan air keruh serta berbau. Paip dan meter Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) seolah-olah 'hiasan' kerana air keluar beberapa kali sahaja dalam sebulan.

Keadaan itu sudah sebati dengan penduduk Kelantan, malah setiap kali tinjauan bekalan air dilakukan, penulis sentiasa mendapat maklum balas 'cukuplah media datang temuramah, kami letih jawab benda sama, bukan boleh selesaikan masalah pun.'

Masalah air di Kelantan ini sentiasa hangat tetapi hingga kini tiada penyelesaian sepenuhnya walaupun pelbagai pengumuman dibuat sama ada oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), AKSB mahupun kerajaan negeri.

Bagi kawasan mempunyai bekalan air sekalipun, kebanyakan penduduk terpaksa memasang pam penyedut air kerana tekanan rendah, meskipun ia sebenarnya menyalahi undang-undang.

Selain popular ketiadaan air, negeri Cik Siti Wan Kembang ini juga popular dengan air 'teh beng' (keruh) hingga sentiasa tular di media sosial, namun masih tidak dapat diselesaikan meskipun PAS mentadbir Kelantan lebih 30 tahun.

Setiap kali isu ini tular, skrip sama sahaja dikeluarkan AKSB, iaitu masalah loji rawatan di kawasan tertentu dan mereka akan menghantar air untuk penduduk terjejas.

Dua tahun lalu, penduduk mengharapkan keajaiban selepas PAS menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan. Besar harapan orang ramai masalah air dapat diselesaikan, namun keadaan masih sama.

Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan terutama kerajaan negeri, tidak mampu meredakan kesedihan, ada ketikanya kenyataan dijadikan bahan jenaka.

Masalah air di Kelantan dikatakan berlaku berikutan aset air sudah lama, iaitu paip berusia 35 hingga 40 tahun dan kini sudah tidak dapat bertahan.

Keseluruhannya, paip air di Kelantan sepanjang lebih 8,000 kilometer (km) dan kira-kira 4,000 km adalah paip lama perlu ditukar kerana mudah bocor.

Isu air itu turut diakui kerajaan negeri dengan antara usaha terkini, takungan air berkapasiti besar akan dibina di Kelantan pada tahun ini sebagai sebahagian usaha menyelesaikan masalah bekalan air.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata takungan berkenaan akan dibina di Machang menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sudah dipersetujui KASA, manakala kos keseluruhan sekitar RM7 bilion diperlukan termasuk untuk pembinaan loji baharu dan penukaran paip pecah.

Sementara itu, AKSB memaklumkan, pihaknya dalam perancangan menukar 4,000 km paip lama yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.

Pengurus Besar, Datuk Dr Azuhan Mohamed, dilaporkan berkata langkah itu selaras usaha kerajaan Persekutuan dan negeri menyelesaikan masalah gangguan bekalan air, kualiti air serta tekanan air perlahan.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan, penduduk di Kelantan perlu bersabar sekurang-kurangnya lapan tahun lagi sebelum masalah itu diselesaikan.

Ada juga menyindir mungkin masalah bekalan air tidak berlaku di rumah Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar atau barisan EXCO serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang menyebabkan masalah berlarutan sekian lama.

Ada juga beranggapan kerajaan negeri berada di zon selesa kerana menyangka rakyat tetap memilih mereka walaupun isu air tidak dapat diselesaikan.

Namun, apa juga alasan sekalipun, sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil serius masalah berlaku tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.

Tangguhkan dahulu mana-mana projek besar tetapi impak pembangunan kurang, sebaliknya selesaikan masalah asas terlebih dahulu. Apa guna negeri semakin membangun sedangkan masalah utama air tidak dapat diselesaikan. Jika berlaku banjir kita boleh mengelak dengan mengatakan ujian Allah SWT, namun masalah air ini terang-terangan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri.

Semoga masalah berlaku dapat diselesaikan secepat termampu dan tiada lagi rintihan penduduk Kelantan mengenai bekalan air.

Related Article