Trending
Komentar

Kaji semula kos urus penjara elak kerajaan terus terbeban

HUKUMAN penjara dalam Islam bukan satu bentuk hukuman asing. Ia diletakkan di bawah kategori hukuman takzir apabila membabitkan kesalahan, selain daripada hudud atau hukuman hudud tidak dapat dilaksanakan berikutan wujud halangan tertentu.

Hukuman penjara turut dinyatakan di dalam al-Quran menerusi kisah Nabi Yusuf AS melalui firman Allah SWT: "Yusuf berkata kepada orang diketahuinya akan selamat di antara mereka berdua: Jelaskan keadaanku kepada tuanmu. Maka syaitan menjadikan dia lupa menerangkan (keadaan Yusuf) kepada tuannya (kerana itu, tetaplah Yusuf) dalam penjara beberapa tahun lamanya." (Surah Yusuf, ayat 42).

Zaman Rasulullah SAW memperlihatkan hukuman penjara dengan sistem amat ringkas tanpa tempat tahanan khusus. Pesalah hanya diikat di kawasan sekitar masjid mempunyai tiang atau pagar.

Sistem hukuman penjara menunjukkan perubahan pada zaman Saidina Umar al-Khattab ra. Pada zaman beliau, diwujudkan penjara pertama di kawasan Makkah iaitu rumah kediaman Safwan bin Umayah yang dibeli dengan harga 4,000 dirham.

Saidina Ali Abi Talib ra dalam pemerintahannya turut membina tempat tahanan dikenali sebagai Penjara Nafi'. Namun, kerana binaannya kurang kukuh menyebabkan ramai tahanan melarikan diri.

Selepas itu, dibangunkan semula penjara dikenali sebagai Mukhayyis dan disebut sebagai bangunan penjara pertama dalam sejarah Islam.

Seiring perkembangan masa dan pertambahan bilangan masyarakat, interaksi sosial semakin giat merentasi sempadan negara. Dari aspek jenayah, muncul istilah baharu bagi menerangkan bentuk kesalahan dan hukuman bakal dikenakan merangkumi kesalahan tort, kecuaian, kesalahan di bawah jenayah syariah dan beragam lagi tindakan lain dianggap sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang.

Kebanyakan kesalahan di bawah undang-undang di Malaysia memperuntukkan hukuman boleh membawa kepada denda atau penjara atau sebatan.

Bagi kesalahan berat diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan, rata-rata pesalah dituduh di mahkamah didapati lebih gerun terhadap hukuman sebatan berbanding penjara menyebabkan kebanyakan mereka lebih memilih untuk dikenakan hukuman penjara lebih lama berbanding bilangan sebatan tinggi dalam rayuan mitigasi.

Begitu juga penetapan hukuman di bawah Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 memberi kuasa kepada Hakim Syarie untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun bagi pesalah jenayah syariah.

Situasi ini mengakibatkan berlakunya lambakan banduan dalam tahanan di penjara seluruh negara sekali gus memberi impak kepada peningkatan kos pengurusan dan penyelenggaraan banduan.

Mengenai jumlah banduan sedia ada, statistik terkini pada Mac lalu merekodkan seramai 70,570 penghuni membabitkan 56,068 banduan direkodkan di 39 penjara di seluruh negara, manakala bakinya penghuni di pusat pemulihan dan pusat tahanan lain.

Statistik ini menyaksikan lebihan kapasiti tahanan hampir 10,000 penghuni berbanding kapasiti maksimum kira-kira 63,000 orang di semua institusi di bawah pengurusan Jabatan Penjara.

Jumlah anggaran belanjawan mengurus sektor penjara dan koreksional ialah sebanyak RM1.019 bilion, menyamai jumlah belanja mengurus dua institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

Peningkatan OPR dan inflasi pada di era pasca pandemik ini juga memberi kesan kenaikan pada belanjawan mengurus sektor terbabit. Penyaluran bajet sedemikian mungkin lebih produktif sekiranya di salurkan ke sektor lebih memerlukan dan mendatangkan hasil.

Perbelanjaan makin meningkat setiap hari dengan mengambil kira kos makanan dan penyelenggaraan lain. Walaupun banyak disumbang kerajaan di dalam usaha untuk mengurang bajet ini dengan memperkenalkan beberapa skim pemulihan luar tembok, jumlah diperuntukkan untuk sektor dilihat 'sakit' atau tidak produktif ini terlalu membebankan.

Di Amerika Syarikat (AS) penjara swasta diwujudkan dan terbukti berkesan mengurangkan 10 peratus kadar pusingan modal pengurusan penjara seluruh negara itu yang asalnya berjumlah AS$74 bilion.

Melihat kepada modal pusingan pihak penjara menunjukkan penjara di negara barat itu amat produktif di dalam menghasilkan produk. Penjara di AS lebih memikirkan bagaimana mereka boleh menjana pendapatan menerusi penjara.

Oleh yang demikian, mereka mengenakan pelbagai bayaran kepada banduan serta peluang pekerjaan di dalam penjara bagi menjadikannya penjara lebih produktif terutama ketika menggunakan duit cukai dibayar rakyat.

Cadangan pembayaran pampasan oleh pesalah terus kepada mangsa bagi kesalahan tanpa niat tidak memerlukan pesalah diberi hukuman tambahan seperti hukuman penjara.

Sebagai contoh, hukuman penjara boleh dikenakan sekiranya pesalah memandu dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan sebagainya sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.

Namun, pesalah mengakibatkan kemalangan semata-mata atas kecuaian seperti terjatuh, jalan raya licin dan sebagainya, maka penetapan nilai diyat sudah cukup menjadi hukuman ke atas mereka.

Selain itu, hukuman penjara seperti diamalkan sistem perundangan sekarang tidak dinafikan memberi impak ke atas pesalah cuai mengakibatkan kemalangan.

Namun demikian, impak itu hanya dirasai pesalah tetapi juga tanggungan mereka. Hal ini mengakibatkan rantaian pihak perlu diberi perhatian semakin panjang.

Sekiranya pesalah ialah ketua keluarga atau orang memberi sumbangan dalam keluarga, hukuman penjara ke atas mereka sudah tentu memberi impak negatif kepada waris atau tanggungan.

Hal ini menyebabkan fokus dan matlamat utama ganti rugi ke atas mangsa sedikit terpesong apabila ada kelompok lain terjejas iaitu pihak ditanggung pesalah.

Dalam isu ini, jika dirujuk kembali kepada Islam, ia adalah agama pendidikan membina sahsiah manusia menerusi penerapan nilai baik bermula dari mereka dilahirkan hinggalah hujung hayat.

Pendidikan di awal usia amat penting bagi memandu seseorang itu ke arah kebaikan disamping membina kekuatan diri daripada terjebak ke dalam aktiviti merosakkan diri.

Pendidikan di awal usia yang mantap akan mewujudkan generasi dan persekitaran baik sekali gus berperanan membudayakan nilai murni dalam masyarakat.

Ia sudah pasti memerlukan pelaburan besar sebagaimana dilihat menerusi pembinaan infrastruktur pusat pendidikan bagi tujuan terbabit. Sebaliknya, jika misi ini gagal, pasti kos besar diperlukan untuk proses 'hukuman' dan 'pendidikan di lewat usia' atau penjara yang kita ketahui pada hari ini.

Siti Aisyah adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang manakala Mohd Shahid ialah Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)