Trending
Komentar

Perkasa peranan unit integriti bendung rasuah di agensi awam

STATISTIK terbaru didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 55 kakitangan universiti awam (UA) dan empat kakitangan universiti swasta antara 2017 hingga Ogos lalu membabitkan rasuah, salah guna kuasa, tuntutan palsu serta kesalahan kewangan lain membuktikan peranan unit integriti (UI) masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Hal ini menjejaskan imej institusi pendidikan di negara ini, selain kita boleh menjangkakan Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun ini akan lebih rendah dengan peningkatan kes rasuah.

Harus diingatkan UI di semua agensi awam mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 2013 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 yang bertujuan memantapkan integriti untuk menentukan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah pencapaian sistem penyampaian awam lebih cemerlang.

Enam fungsi teras digariskan ialah tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesahan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib mempamerkan usaha kerajaan dalam mewujudkan garis panduan bagi memastikan langkah kawalan dalaman diambil agensi untuk menguruskan integriti dalam organisasi. Selebihnya, agensi awam perlu menguruskan integriti mengikut cara dan kreativiti masing-masing.

Namun, menjadi persoalan orang awam adalah sejauh mana peranan UI yang bertanggungjawab dalam melaksana dan memperkasa 6 fungsi teras ini berjaya dicapai agensi awam dalam usaha membudayakan integriti dan membendung gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Ini kerana penubuhan UI sepatutnya mengurangkan kadar rasuah dan salah guna kuasa di agensi awam, tetapi saban hari berita mengenai jenayah itu terus meningkat hingga sangat membimbangkan.

Sebenarnya sehingga kini, perjawatan UI di beberapa agensi awam masih tidak dipatuhi selaras cadangan model UI seperti ditetapkan SPRM melalui Garis Panduan UI Agensi Awam.

Kekurangan kakitangan UI

Bilangan minimum perjawatan yang seharusnya diisi di UI ialah 7 orang berdasarkan Model C Berisiko Rendah, tetapi masih terdapat UI di agensi awam mempunyai jumlah kakitangan kurang 5 orang.

Sewajarnya permasalahan dan isu timbul di agensi awam lebih diperhalusi pihak bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan terhadap GP UI digubal SPRM bagi mengekang rasuah menghancurkan negara. Selain itu, peranan UI sendiri untuk lebih mempergiatkan usaha bagi membendung wabak rasuah daripada terus menular dan berjangkit seperti pandemik COVID-19.

Tindakan penguatkuasaan lebih tegas, adil dan saksama wajar dilaksanakan bagi penjawat awam yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan tanpa mengira pangkat dan darjat.

Cadangan untuk mewujudkan anugerah berkaitan integriti juga boleh dipertimbangkan untuk memberi semangat dan dorongan kepada penjawat awam untuk menerapkan elemen integriti dalam pelaksanaan tugas dipertanggungjawabkan.

Dalam hal ini, pihak pengurusan atasan organisasi seharusnya memberikan sokongan dan bantuan semaksimum mungkin bagi memastikan pemerkasaan enam fungsi teras dilaksana dengan tuntas.

Usaha mendidik dan menerapkan nilai integriti penjawat awam seharusnya menjadi langkah berterusan untuk memberi kesedaran dan pengajaran terhadap kesalahan jenayah rasuah berlaku di negara ini.

Jika subjek rasuah boleh jadi mata pelajaran wajib dalam kalangan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT), maka kursus rasuah juga boleh menjadi kursus wajib diikuti penjawat awam.

Penulis adalah Pegawai Integriti, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)