Trending
Komentar

Beratur buat pasport dah macam nak beli tiket 'final' bola

RABU lalu saya ke pejabat Imigresen di Putrajaya untuk memperbaharui pasport bersama isteri. Kami keluar sesudah Subuh kerana tahu urusan terbabit bukan mudah. Mahu dapatkan nombor giliran pun kena beratur panjang, itu pun belum tentu dapat nombor.

Benar sangkaan kami. Jam 7 pagi sampai, lebih 60 orang sudah beratur. Terlintas di fikiran, yang paling hadapan itu jam berapa mereka datang?

Tiba-tiba seorang lelaki bersuara - "Nak dapat nombor giliran kena beratur sebelum Subuh, macam nak beli tiket final bola sepak." Lawak, tetapi ada asas dan benar luahannya.

Sebenarnya kami sudah memohon dalam talian, namun timbul masalah berkaitan foto dan terpaksa melengkapkan permohonan melalui kaunter. Alhamdulillah, semua urusan selesai sebelum tengah hari.

Sebelum ini, kami pernah ke pejabat sama ketika cuti sekolah awal bulan ini untuk urusan pasport anak. Permohonan pasport untuk bawah 18 tahun perlu dibuat melalui kaunter, manakala selebihnya dalam talian, kecuali yang bermasalah berkaitan cap jari atau foto seperti yang kami lalui.

Ketika itu kami tiba kira-kira jam 9 pagi, namun pengawal keselamatan di ruang lobi memaklumkan nombor giliran sudah habis diagih kerana orang ramai beratur seawal jam 6.30 pagi. Kami pulang hampa.

Keesokannya kami keluar lebih awal, kali ini ke Pejabat Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pudu. Kami tiba jam 8.30 pagi, nombor giliran juga habis. Kami sempat bertanya mengenai permohonan dalam talian kerana gagal memuat naik foto, walaupun banyak kali mencuba. Jawapan diberi, 'ada masalah dengan sistem' sebelum diminta mencuba nasib di pejabat cawangan di Jalan Duta.

Sebaik sampai kira-kira jam 9.30 pagi, ramai masih beratur. Di situ pun, nombor giliran habis untuk sesi pagi. Namun, pegawai bertugas meminta kami menunggu seketika.

Kira-kira jam 12 tengah hari, dapat nombor giliran, tetapi perlu kembali semula jam 2.30 petang selepas waktu rehat. Alhamdulillah, urusan permohonan selesai jam 4.30 petang dan pasport dimaklumkan siap selepas dua jam. Atas nasihat pegawai bertugas kami pulang dan kembali semula jam 8 pagi keesokan harinya untuk mengambil pasport yang sudah siap.

Jika dihitung apa yang dilalui, cukup renyah sekali. Saya percaya ramai melalui pengalaman sama - terpaksa ambil cuti dan habiskan seharian semata-mata untuk memperbaharui pasport. Itu pun kalau semuanya lancar, jika tidak terpaksa ulangi perkara sama - beratur sesudah Subuh untuk berebut nombor giliran demi pasport. Tidak hairanlah ramai juga merungut mengenai isu ini di media sosial.

Sistem perlu stabil, mesra pelanggan

Kenapa ia berlaku? Sepatutnya urusan akan lebih mudah dengan permohonan dalam talian. Bukankah itu tujuannya? Namun kenapa lebih susah?

Kita tahu pegawai bertugas di pejabat Imigresen sudah mencuba yang terbaik dan peningkatan mendadak permohonan untuk pasport menyumbang isu kesesakan itu. Namun, penyelesaian perlu dicari supaya urusan dengan Imigresen lebih mudah dan selesa.

Agak kurang enak mendengar cakap-cakap belakang meremehkan mutu perkhidmatan awam hanya disebabkan pengalaman sebegini. Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga.

Saya mengaku, terlintas juga perkara sama di fikiran, meskipun sedar majoriti kakitangan dan pegawai bertugas sudah mencuba yang terbaik untuk memudahkan semua.

Namun jelas, urusan berkaitan pasport perlukan penambahbaikan. Saya percaya ramai memuji inisiatif Imigresen memperkenalkan urusan dalam talian bertujuan memudahkan orang ramai. Namun, syaratnya sistem diguna pakai perlu stabil dan urusan juga mesra pelanggan. Kini puji bertukar cemuh.

Jika timbul masalah seperti gangguan sistem yang kerap berlaku sehingga mengganggu urusan permohonan dapat diatasi, pasti beban melalui kaunter dapat dikurangkan, sekali gus mengatasi kesesakan.

Pasti ramai setuju dengan saya - lebih selesa berurusan dalam talian berbanding melalui pengalaman renyah di kaunter yang sesak bukan hanya di pejabat Imigresen, tetapi semua kaunter jabatan kerajaan.

Tindakan penambahbaikan perlu diambil segera, selari Dasar Negara Bagi Amalan Peraturan Baik (NPGRP) yang menyasarkan peningkatan kualiti peraturan baharu dan peraturan sedia ada, demi penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap, berkesan dan telus.

Perlu diingat, orang awam tiada pilihan, hanya Jabatan Imigresen menguruskan pasport. Berbeza isu kesihatan sebagai contoh, mereka ada pilihan mendapatkan rawatan di klinik dan hospital swasta untuk mengelak kesesakan di klinik atau hospital awam.

Namun, jangan pula faktor terdesak kerana tiada pilihan dijadikan alasan untuk pandang sebelah mata situasi yang berlaku.

Penulis adalah Pengarang Berita (Kandungan dan Digital) BH