Trending
Komentar

Permainan selamat PAS beri kuasa tawar-menawar hadapi PRU-15

Desas-desus tarikh pembubaran Parlimen bagi membolehkan berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terus mendapat perhatian ramai. Ditambah lagi pelbagai polemik diketengahkan, terutama dalam pertimbangan sama sepatutnya diadakan tahun ini atau ahli politik perlu bersabar sehingga tahun hadapan.

Lebih unik, desakan pembubaran Parlimen kali ini datang daripada pimpinan parti pemerintah dan terdapat perbezaan pandangan dalam kelompok parti sama, tetapi pada masa sama menerima tentangan daripada pihak pembangkang.

Namun, apa perlu diberi perhatian mutakhir ini adalah bagaimana secara jelas, persaingan antara pakatan parti politik sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang masing-masing berada dalam keadaan tidak selesa.

Parti pemerintah yang diwakili Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin bertegang leher serta secara terbuka menyatakan tidak akan bersama pada pilihan raya akan datang.

PAS sebagai sebahagian kerajaan, dilihat cuba menyelesaikan kemelut ini kerana bakal memberi kesan besar kepada kuasa mereka miliki pada hari ini.

PAS dilihat berusaha keras agar kedua-dua parti utama dalam pakatan terbabit, iaitu UMNO dan BERSATU dapat duduk semeja dan berunding bagi mengelak pertembungan. Bagaimanapun, apa jua pendekatan dan strategi PAS mungkin memberi kesan bukan sahaja kepada pakatan politik sedia ada, bahkan kepada parti itu sendiri.

Bagi yang mengikuti pendekatan politik PAS dalam politik negara, kita sedia maklum bagaimana ia melalui beberapa fasa dari segi gabungan dan kerjasama politik.

Tidak keterlaluan untuk kita menyatakan kerjasama dengan UMNO dan BERSATU menjadi kejayaan terbesar bagi PAS kerana dapat apa yang dicitakan selama ini, iaitu kuasa menjadi sebahagian kerajaan.

Berbeza dengan pakatan politik sebelum ini, PAS mengambil peluang kelemahan Pakatan Harapan (PH) selama menjadi pemerintah dan menjalinkan kerjasama dengan seteru ketat, iaitu UMNO untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya.

Berdasarkan perkembangan politik Malaysia, secara matematiknya, tiada parti dapat membentuk kerajaan secara solo dan menjadi satu keperluan untuk berada dalam pakatan politik.

Selepas pilihan raya umum (PRU) pada 2013, pergolakan dalam PAS berhubung pendekatan dan kerjasama dengan parti pembangkang khususnya DAP jelas kelihatan.

Seruan ke arah perpaduan Melayu menjadi makin hangat dalam PAS sehingga 'tersingkir' dua pimpinan iaitu Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dikatakan condong kepada kerjasama dengan UMNO.

Pada masa sama, berlaku percanggahan pendapat dalam PAS berkenaan hubungan dengan komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR). Kelompok konservatif melihat PAS lebih banyak mengalami kerugian kerana terpaksa menggadai prinsip mereka apabila bersama DAP dan PKR, manakala kelompok reformis juga dikenali sebagai kumpulan Erdogan bertegas terus berada dalam pakatan terbabit dengan alasan perjalanan demokrasi di negara ini memerlukan mereka berbuat demikian.

 Penguasaan kelompok konservatif

Transformasi PAS pada masa itu boleh dirujuk kepada trend pasca-Islamisme apabila gerakan Islam dan kelompok Islamis mula memberi tumpuan untuk meraih kuasa atas landasan demokrasi.

Mereka juga mula kendur dari segi tuntutan berkaitan perundangan Islam dan pembentukan negara Islam. Namun, pertembungan dua kelompok ini membawa kepada perpecahan besar hingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) oleh kelompok reformis.

Bertitik tolak dari sini apa jua strategi dan pendekatan PAS pada masa ini, penguasaan kelompok konservatif mempunyai pengaruh besar pada pilihan raya akan datang.

PAS memberi sumbangan besar kepada kejatuhan PH dan memberi kuasa pemerintahan kepada PN dan seterusnya BN. Sentimen Melayu-Islam yang menjadi naratif mereka tidak dapat dinafikan mendapat sokongan dan berjaya dimainkan dengan baik sehingga mampu untuk mengekalkan kuasa sampai pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, tidak keterlaluan untuk kita mengatakan PAS berada di persimpangan lantaran polemik berkaitan dengan kerjasama politik terkini membabitkan PN dan BN.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menjadi dua medan ujian bagi PAS untuk bersama-sama dengan PN dan dilihat cuba untuk memperkukuhkan pakatan berkenaan walaupun pada peringkat Persekutuan, mereka bersama BN sebagai pemerintah.

Namun, PAS terpaksa membayar harga mahal dengan memilih untuk bersama dengan PN. Bibit perbezaan pandangan dan perpecahan kelihatan. Keputusan Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali keluar atau 'berhenti' daripada PAS menjadi satu isyarat jelas bahawa wujud dua kelompok dalam PAS berbeza pandangan berkaitan kerjasama politik berkenaan.

Mohd Khairuddin lebih cenderung agar PAS bersama UMNO atas alasan penyatuan ummah lebih besar, manakala tindakan pimpinan lain untuk bersama dengan PN kerana mereka berasakan mempunyai lebih banyak peluang khususnya berkaitan dengan pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang.

 Tiga parti kongsi segmen pengundi 

Harus diingat, PAS, UMNO dan BERSATU berkongsi sasaran kerusi serta segmen pengundi sama. Justeru, ia memberi satu cabaran besar kepada mereka untuk menentukan kerjasama dalam pilihan raya.

Maka tidak hairanlah, mutakhir ini PAS melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sentiasa mengeluarkan kenyataan rasmi cenderung kepada kedudukan PAS masih tidak mempunyai ketetapan jelas sama ada untuk bersama PN mahupun BN.

Pendekatan dan permainan selamat PAS ini menjadi satu tawar-menawar agar mereka tidak kehilangan penguasaan di negeri dikuasai sekarang dan pada masa sama dapat memperoleh lebih kerusi pada pilihan raya akan datang.

Strategi ini mempunyai risiko besar kepada PAS dalam menguruskan sokongan pengundi dan ahli mereka yang setia. Selain itu, mungkin PAS bersedia untuk berada dalam pakatan baharu selepas pilihan raya akan datang bergantung kepada siapa menguasai Dewan Rakyat.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang