Trending
Lain-lain (Rencana)

PRN Melaka landasan BN buktikan pentadbiran telus, laksana manifesto

SABTU lalu menyaksikan detik bersejarah dalam politik Melaka apabila Barisan Nasional (BN) kembali menerima mandat pengundi selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BN hanya memperoleh 13 kerusi hingga gagal membentuk kerajaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, Pakatan Harapan (PH) pula tewas dengan hanya memenangi lima kerusi berbanding 15 kerusi ketika PRU-14, manakala Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh dua kerusi.

Kemenangan ini sangat bermakna bagi BN kerana berjaya memperoleh jumlah dua pertiga di DUN Melaka. Ini jelas dapat menstabilkan kerajaan negeri yang sebelum ini diwarnai perbalahan dalaman.

Malah, ini juga dimahukan pengundi Melaka yang ingin melihat pembentukan kerajaan stabil supaya tumpuan boleh diberikan bagi menyelesaikan isu pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

Satu perkara perlu diamati ialah sejauh mana impak kemenangan besar BN ini diterjemahkan kepada perspektif politik nasional khususnya berkaitan PRU-15 yang boleh diadakan bila-bila masa sebelum mandat berakhir pada 2023.

Sebelum kita melihat kepada senario itu, kita perlu memahami keputusan PRN Melaka keseluruhannya. Kemenangan BN kali ini banyak bergantung kepada strategi dan perancangan berkesan khususnya bagi memastikan seluruh penyokong serta pengundi tegar BN keluar mengundi.

Jumlah keluar mengundi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 65.85 peratus adalah rendah berbanding 86 peratus semasa PRU-14, yakni kekurangan 20 peratus pengundi. Faktor penyumbang ini adalah kebimbangan kepada situasi COVID-19 di Melaka dan ramai pengundi luar yang kebanyakannya menyokong PH tidak pulang mengundi.

Secara umumnya, BN memperoleh 122,741 undi atau 38.41 peratus daripada peratusan keluar mengundi berbanding PH (114,457 undi/35.81 peratus); PN (77,731 undi/24.32 peratus) dan calon Bebas serta parti lain (4,651 undi/1.46 peratus).

Peratusan kemenangan rendah memang dijangkakan selepas berlaku pertembungan tiga penjuru dan lebih di semua kawasan. Fakta menarik ialah beza peratusan undi antara PH dengan BN hanya 2.61 peratus tetapi BN berjaya menang dua pertiga kerusi DUN disebabkan faktor persempadanan pilihan raya.

Malah 11 daripada kerusi dimenangi BN memperoleh majoriti jumlah kurang 1,000 undi dan empat daripadanya kurang 500 undi. Kerusi dengan majoriti terkecil ialah Serkam dengan 79 undi.

Namun, sekiranya kita mengambil kira semua pengundi berdaftar berjumlah 495,196, BN sebenarnya hanya memperoleh 25 peratus undi berbanding PH (23 peratus) dan PN (16 peratus).

Selebihnya diperoleh calon Bebas dan parti lain termasuk undi rosak serta tidak pulangkan kertas undi, manakala tidak mengundi pula adalah berjumlah 175,507 orang bersamaan hampir 35 peratus.

Erti demokrasi menjelaskan bahawa kepada yang tidak mengundi adalah sama ertinya dengan mereka memilih siapa juga pemenang kepada pilihan raya.

Rumusan boleh diambil, BN memenangi undi popular dan memenangi dua pertiga DUN Melaka dengan hanya memperoleh 25 peratus undi keseluruhan sahaja. Jika jumlah keluar mengundi tinggi, kedudukan kerusi dimenangi parti mungkin berubah.

Jadi, apa impak keputusan ini kepada politik nasional keseluruhannya? Pertama, dinamik politik memberikan kelebihan kepada BN yang juga mengetuai kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Hubungan erat antara Persekutuan dengan negeri penting bagi memastikan rancangan dasar dan pembangunan seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Bajet 2022, di samping konsep Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Ini diharapkan penduduk Melaka yang menyokong BN. Namun, momentum ini harus diteruskan bagi BN memperoleh lebih kejayaan khususnya pada PRU-15 nanti. Sekiranya dinamik politik berubah, kelebihan diperoleh BN juga boleh berubah kepada PH dan PN.

Kedua, bagaimana dengan kerjasama politik khususnya PN dan Muafakat Nasional (MN) dengan PAS. BN dilihat masih boleh menerima kerjasama dengan PAS bagi membentuk persaingan dengan PN dan PH semasa PRU-15 nanti. Cuma kemenangan di Melaka ini menyebabkan kuasa penentu tawar-menawar terletak pada BN.

PAS sebenarnya menjadi anggota PN, manakala kerjasama PAS dengan BN banyak bergantung kepada kesediaan BN berkompromi memberikan banyak kerusi kepada parti itu terutama membenarkannya terus menguasai Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Sekiranya BN menerima permintaan PAS, kemungkinan kerjasama MN semasa PRU-15 nanti. Jika tidak, BN akan bergerak solo seperti PRN Melaka.

Namun, kita juga tidak menolak kemungkinan sekiranya BN bertambah kuat, jajaran baharu akan terbentuk. Ini memandangkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sedang mengintai peluang bersaing dan menguasai politik nasional.

Ketiga, keputusan PRN Melaka juga mencerminkan kegagalan PH mengembalikan mandat mereka. PH gagal meyakinkan pengundi mereka untuk pulang mengundi dan memenangkan calon mereka.

Sikap pengundi tidak pulang juga ada kaitan dengan kekecewaan khususnya pengundi bandar dan bukan Melayu terhadap pencalonan Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, yakni bekas pemimpin BN diambil sebagai calon PH.

Ini dilihat mencabul prinsip sendiri yang menolak pihak melompat atau berpindah parti mewakili PH dalam pilihan raya. Atas dasar inilah, bantahan dikemukakan DAP dan penolakan pengundi ke atas PH. Kekalahan ini memberikan kesan mendalam kepada PH yang harus mengubah strategi lebih berkesan pada PRU-15.

Keempat, PN pula buat kali pertama bersaing di PRN Melaka memperlihatkan pencapaian positif meskipun tewas kerana memperoleh kerusi di DUN Sungai Udang dan Bemban. Mereka juga hampir berjaya di Tanjung Bidara dan Serkam.

PN sebenarnya mampu memberikan saingan politik kepada BN dan PH, cuma PN baru ditubuhkan dan masa tidak mengizinkan mereka. Mereka harus bergerak pantas dan menawarkan perkara dasar serta perjuangan berbeza, lantas menarik minat rakyat memilih dalam pilihan raya.

Kesimpulannya, PRN Melaka ini landasan baik bagi BN membuktikan kemampuan mentadbir dengan baik. Janji dikemukakan dalam manifesto akan ditagih untuk dilaksanakan.

Yang pasti, kemenangan BN menyebabkan mereka akan mendesak PRU-15 diadakan segera bagi mengekalkan momentum.

Realitinya, kemenangan ini tidak menjamin kedudukan sama akan berulang. Oleh itu, BN tidak harus mendabik dada, sebaliknya perlu bekerja kuat dan berkhidmat untuk rakyat seadilnya dan telus.

Kegagalan BN akan diambil kesempatan PH dan PN yang cuba menawarkan alternatif kepada kerajaan BN di Melaka serta Persekutuan. Apapun tahniah diucapkan kepada BN dan pengundi Melaka yang memilih secara aman serta harmoni.

Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Related Article