Trending
Lain-lain (Rencana)

Pengundi matang tolak wakil rakyat lompat parti

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan pelbagai indikasi dalam konteks politik. Antara perkara dikatakan menjadi faktor utama kepada keputusan sedemikian ialah pengundi Melaka menolak calon mempunyai sejarah menukar parti atau melompat parti.

Dikatakan mereka melompat parti itu menyebabkan ketidakstabilan politik hingga menyebabkan kerajaan bertukar-tukar, sekali gus memberi kesan negatif kepada pentadbiran negeri dan kepentingan serta kesejahteraan rakyat tergugat.

Faktor ini menarik untuk diulas kerana banyak cadangan dikemukakan supaya kerajaan memperkenalkan dan meluluskan undang-undang antilompat parti. Malah parti politik juga cuba membuat beberapa langkah dalaman parti bagi mengelakkan calon mereka menukar parti.

Contohnya, pemimpin kanan PKR, Datuk Johari Abdul menyatakan partinya meletakkan syarat supaya wakil rakyat mereka didenda RM10 juta sekiranya menukar parti. Walaupun syarat ini tidak ditulis, ia dikatakan sudah diamalkan pada 2013 lagi melihat kepada kecenderungan berlaku pada 2008.

Sebelum itu kedengaran juga tindakan PAS yang begitu kontroversi mengenai lompat parti hingga membabitkan hubungan suami isteri.

DAP pula meluluskan satu enakmen di Pulau Pinang bagi meminda perlembagaan negeri untuk mencegah wakil rakyat lompat parti. Enakmen pindaan Perlembagaan Pulau Pinang pada 2012 itu masih berkuat kuasa hingga kini, tetapi ia belum pernah diamalkan lagi.

Pindaan Perlembagaan Pulau Pinang ini mungkin tidak sah di sisi Perlembagaan kerana pada 1992, Mahkamah Agung memutuskan undang-undang yang menyekat wakil rakyat menukar parti adalah tidak berperlembagaan.

Perkara ini dinyatakan mahkamah ketika memutuskan kes Nordin Salleh pada 3 April 1992. Mahkamah menyatakan undang-undang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan mengenai kerusi wakil rakyat menjadi kosong sekiranya melompat parti itu adalah tidak berperlembagaan atau tidak sah kerana bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan berkaitan kebebasan berpersatuan.

Peristiwa 1966 di Sarawak; Sabah (1994); Perak (2009) dan mutakhir pada peringkat Persekutuan, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 serta 2020, selain Melaka pada tahun ini, kesan lompat parti amat ketara.

Pada peringkat Persekutuan, media melaporkan sekurang-kurangnya 39 Ahli Parlimen atau 17.56

peratus wakil rakyat keluar atau dipecat daripada parti masing-masing.

Pastinya angka ini besar dan menyebabkan

politik tanah air menjadi tidak menentu hingga menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik serta keadaan menjadi begitu kontroversi.

Atas sebab itu, cadangan supaya Parlimen menggubal Akta Antilompat parti sering kedengaran.

Apa yang berlaku di PRN Melaka perlu diberikan perhatian. 'Kempen' menolak calon menukar atau lompat parti berjaya.

Walaupun agak pramatang untuk menyatakan tindakan pengundi menolak calon lompat parti adalah karakter umum pengundi seluruh negara, keputusan PRN ini menunjukkan kesedaran rakyat terhadap peri penting kesetiaan wakil rakyat kepada partinya. Rakyat tidak mahu lagi keadaan politik tidak stabil.

Saya menyatakan ia adalah pramatang untuk menganggap ia sebagai karakter pengundi secara umum kerana baharu sahaja berlaku dan kali pertama berlaku.

Satu lagi faktor adalah disebabkan ia pilihan raya negeri dan tidak membabitkan calon lebih ramai pada peringkat Persekutuan dan tidak merangkumi pengundi secara keseluruhan di negara ini.

Walaupun begitu, kesedaran rakyat atau pengundi di Melaka adalah amat bermakna kerana mereka membuktikan pendirian untuk menolak calon lompat parti demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat Melaka. Mungkin pengundi di negeri lain juga perlu mempunyai pendirian sama.

Justeru, persoalan kekal relevan adalah adakah undang-undang antilompat parti masih diperlukan? Mungkin ini adalah persoalan akademik. Namun, ia masih perlu dibincangkan.

Pada asasnya, dari segi undang-undang, sekiranya Akta Antilompat Parti ini perlu digubal, maka terlebih dahulu, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dipinda bagi membolehkan Rang Undang-Undang Antilompat Parti diperkenalkan dan seterusnya diluluskan.

Kebebasan berpersatuan dijamin Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10 adalah juga termasuk kebebasan untuk bertukar parti politik.

Pindaan Perlembagaan pada peruntukan Perkara 10 ini memerlukan kedua-dua Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara, meluluskannya dengan undi dua pertiga pada Bacaan Kedua dan Bacaan Ketiga.

Sekiranya semua ahli Parlimen sepakat, ia bukan suatu mustahil, walaupun kerajaan tidak mempunyai majoriti besar atau majoriti dua pertiga.

Namun, sekiranya pengundi seluruh negara mempunyai pendirian jelas dan bersungguh-sungguh menolak calon mempunyai sejarah lompat parti, mungkin undang-undang antilompat parti tidak diperlukan.

Dengan tiadanya undang-undang antilompat parti ia memberi ruang lebih baik untuk kematangan rakyat serta wakil rakyat mengenai tugas serta amanah yang mereka junjung.

Wakil rakyat tidak memerlukan undang-undang untuk mengawal diri dan pendirian mereka. Kesedaran wakil rakyat boleh dibina dengan sokongan rakyat, bukan dipaksa menerusi undang-undang.

Keadaan ini boleh menyumbang kepada perubahan positif kepada kematangan demokrasi di negara ini, tanpa dikawal peraturan atau undang-undang, tetapi diri sendiri berperanan membina peribadi mulia tanpa dipaksa-paksa.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Related Article