Trending
Lain-lain (Rencana)

Patuh SOP penentu kejayaan bendung lonjakan jangkitan

MASYARAKAT wajar mengambil perhatian terhadap peringatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya orang awam tidak terlalu selesa, ter- utama di negeri dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebalik sistem kesihatan terkawal kerana sudah ada tanda awal peningkatan kes COVID-19.

Jika kita imbas kembali, kira-kira tiga bulan lalu, kita pernah berhadapan lonjakan kes mencemaskan disebabkan jumlah jangkitan harian tidak terkawal.

Kenaikan kes dalam masa dua bulan, iaitu daripada sekitar 5,000 kes sehari pada pertengahan Jun 2021 seperti dicatatkan pada masa kini kepada empat kali ganda pada pertengahan Ogos hingga melebihi 23,000 sehari.

Sekiranya kita gagal mengawal penularan kes pada hari ini, tidak mustahil kita akan melihat gelombang besar pada awal tahun hadapan atau lebih awal lagi.

Di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kenaikan kes mengakibatkan sesetengah negara mengumumkan sekatan tertentu, termasuk sekatan pergerakan seperti di Austria; mengetatkan peraturan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup (Belgium) serta meningkatkan kadar vaksinasi (Jerman).

Sama halnya dengan kes dicatatkan di seluruh dunia, jumlah kematian tinggi di negara ini adalah dalam kalangan mereka berumur lebih 60 tahun dan mempunyai sakit kronik lain. Semakin meningkat umur seseorang, semakin tinggi risiko kematian sekiranya terjangkit.

Dalam kalangan mereka belum mengambil vaksin, risiko jangkitan teruk dan kematian juga tinggi dibandingkan dengan mereka dalam kategori umur sama serta mempunyai faktor risiko sama.

Sesi persekolahan dibuka secara berperingkat sejak lebih sebulan lalu. Dalam kalangan remaja, sejumlah besar melengkapkan dos vaksin. Data rasmi mengikut peringkat umur di portal 'Covidnow' Malaysia menyaksikan penurunan kes dalam kalangan remaja, walaupun sesi persekolahan dimulakan.

Terbukti pemberian vaksin dalam kalangan remaja dapat mengawal kenaikan kes bagi peringkat umur 12 hingga 17 tahun. Bagaimanapun, peratusan peningkatan kes dapat dilihat dengan pembukaan sekolah dalam kalangan umur murid prasekolah dan sekolah rendah, iaitu dalam kalangan umur 5 hingga 11 tahun.

Justeru, kita harapkan pemberian vaksin kepada golongan ini seperti dirancang pada tahun hadapan dapat menurunkan peratusan kes.

Jika kita lihat pula taburan kes dilaporkan, termasuk kluster baharu dalam dua minggu kebelakangan ini, hampir 20 peratus dalam kalangan institusi pendidikan dan jumlah majoriti dicatatkan kluster tempat kerja diikuti kluster komuniti.

Bagi melindungi golongan berisiko mendapat jangkitan teruk hingga menyebabkan kematian, sekatan terhadap aktiviti tertentu diperkenalkan. Antaranya, penutupan sektor ekonomi secara berperingkat, sekatan perjalanan merentas negeri dan aktiviti sosial dikenakan tidak berapa lama dahulu.

Secara zahirnya, kita tidak nampak bagaimana golongan warga emas dilindungi kerana mereka tidak terbabit secara langsung bekerja atau melakukan perjalanan, namun impak terhadap sekatan ini berjaya menurunkan kadar kes, seterusnya menurunkan kadar kemasukan ke hospital khususnya unit rawatan rapi (ICU) dan kadar kematian

Nilai ambang dan kadar kebolehjangkitan atau r-naught terus meningkat melebihi 1 adalah antara tanda kenaikan kes. Kaedah kawalan berkesan harus dilakukan dengan segera oleh kerajaan, termasuk meningkatkan persediaan menghadapi kemasukan ke hospital dan ICU.

Walaupun majoriti kes atau 98 peratus dalam kategori 1 dan 2, iaitu bergejala ringan atau tidak bergejala, sekiranya jumlah kes harian dalam lingkungan 20,000 seperti dua bulan dahulu, tidak mustahil kadar kemasukan ke ICU akan meningkat berkali ganda.

Penutupan sektor ekonomi adalah jalan terakhir akan diambil kerajaan. Penutupan sektor pendidikan yang baru dibuka tentu akan menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) baik pada peringkat sekolah, mahupun institusi pengajian tinggi (IPT).

Sekatan perjalanan dan aktiviti sosial serta kemasyarakatan juga adalah tindakan tidak popular, namun pasti akan diambil sekiranya kes tidak terkawal.

Jalan diambil bagi membendung kenaikan kes tentu akan merugikan banyak pihak, namun akan memberikan impak positif kepada sistem kesihatan untuk membendung kes tidak terkawal.

Oleh itu, keghairahan sebahagian majikan mengerahkan semua pekerja hadir ke pejabat sebaik sahaja dibenarkan beroperasi adalah langkah perlu dihentikan. Penggiliran berada di pejabat dan polisi kerja dari rumah bagi banyak kategori pekerjaan yang boleh dilakukan secara jarak jauh harus diteruskan dan dibenarkan majikan.

Tentu, bagi sektor tertentu, bekerja dari rumah mengurangkan risiko penularan di tempat kerja dan operasi dapat diteruskan. Sebarang penutupan wajib akibat penularan di tempat kerja atau jumlah ramai dijangkiti serta dikenakan kuarantin dalam satu-satu masa pasti menjejaskan operasi.

Harus diingat, sekiranya amat diperlukan dan berdasarkan faktor risiko tinggi ke atas aktiviti dalam sektor berkenaan, sektor yang akan dikenakan sekatan terlebih dahulu adalah sektor pelancongan.

Sektor ini membabitkan pergerakan yang banyak, perkumpulan ramai orang dan aktiviti tidak memungkinkan penjarakan fizikal serta makan yang akan menyebabkan pelitup muka perlu dibuka, baik dalam kalangan pelancong, pengguna atau penyedia perkhidmatan.

Pemantauan dan kawalan kes berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kepatuhan majikan, penyedia perkhidmatan, sektor ekonomi serta segenap lapisan masyarakat kepada polisi berkenaan COVID-19 dan SOP pencegahan harus diteruskan.

Tentunya, kita tidak mahu berhadapan dengan penutupan sektor ekonomi ataupun sekatan ke atas perjalanan dan aktiviti sosial lagi. Keputusan di tangan kita dan kita yang mampu sama-sama untuk menentukan kadar kes pada masa hadapan dengan perubahan sikap kita.

Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Related Article