Trending
Lain-lain (Rencana)

EU hanya perketat syarat, bukan haramkan import minyak sawit

SAYA meneliti tulisan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bertajuk 'Kempen antiminyak sawit Malaysia serlah diskriminasi Barat, EU' di BH, Khamis lalu.

Saya terkejut membaca tulisan itu yang mengandungi beberapa rujukan tidak tepat dan akhirnya, ini akan mengelirukan pembaca. Oleh itu, ingin saya jelaskan perkara berkenaan.

Izinkan saya memulakan dengan menyebut seperti diutarakan dalam data rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Kesatuan Eropah (EU) mengimport lebih 1.6 juta tan minyak sawit mentah pada 2021 atau 10.5 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport Malaysia yang menjadikan EU sebagai pengimport ketiga selepas India dan China.

Selain itu, EU mengimport produk terhasil daripada penggunaan minyak sawit, lantas EU adalah destinasi eksport utama untuk minyak sawit Malaysia.

Saya perlu tegaskan bahawa tiada dan tidak pernah ada sebarang sekatan ke atas biobahan api atau biofuel berasaskan minyak sawit atau produk minyak sawit lain di EU.

Daripada menuding jari ke arah keputusan dikeluarkan Parlimen Eropah pada Januari 2018 yang kini tidak lagi dikekalkan dalam proses legislatif, sewajarnya kita perlu melihat kepada perundangan yang masih berkuat kuasa.

Ini termasuk penyusunan semula EU Renewable Energy Directive (RED2) serta Delegated Regulation (peraturan) yang melahirkan sasaran untuk tenaga boleh diperbaharui dan menetapkan kriteria bagi menentukan sumbangan biofuel dalam mencapai sasaran berkenaan.

Instrumen ini, mahupun yang mendahuluinya tidak mengenakan sebarang larangan ke atas biofuel. Malah, apa yang dilakukan dengan meletakkan siling kepada semua biofuel berasas tanaman makanan sementara mengambil kira sumbangan mereka kepada sasaran tenaga mampu diperbarui EU, agar dapat disubsidi oleh negara anggota.

Di samping itu, RED2 menetapkan had tambahan sekiranya biofuel dihasilkan tanaman berisiko mengubahkan penggunaan tanah secara tidak langsung (ILUC). Siling atau had demikian ditetapkan pada tahap penggunaan 2019 dan akan berkurangan dari 31 Disember 2023 hingga penamatan secara berperingkat pada 2030.

Perubahan penggunaan tanah secara tidak langsung berlaku sekiranya penanaman biofuel, cecair bio dan biojisim menggantikan pengeluaran tanaman tradisional bertujuan untuk dimakan.

Penggunaan secara berlebihan meningkatkan bebanan ke atas tanah dan mampu menyebabkan peluasan tanah pertanian ke kawasan mengandungi stok karbon tinggi seperti hutan, tanah lembap serta tanah gambut, menyebabkan pelepasan gas rumah hijau berlebihan dan selanjutnya memberi kesan negatif terhadap biodiversiti.

Peraturan EU ini menetapkan formula secara objektif berdasarkan bukti saintifik penentuan tanaman ILUC terkini dan apabila diaplikasi kepada data disediakan mengesahkan minyak sawit mempunyai risiko ILUC tinggi.

Lebih-lebih lagi, perundangan EU melakukan semakan secara teratur ke atas data asas (dan mungkin formula itu sendiri), untuk memastikan langkah itu sentiasa berasaskan bukti saintifik terkini. Semakan itu boleh menyebabkan tanaman berbeza diklasifikasi mempunyai risiko ILUC tinggi pada masa akan datang.

Saya ingin menekankan mana-mana pengendali EU boleh mengimport sebarang kuantiti biofuel berasaskan minyak sawit. Namun, di luar siling yang dinyatakan sebelum ini, biofuel berkenaan tidak akan dikira terhadap sasaran tenaga boleh diperbaharui EU.

Lebih penting lagi, had dan penghapusan secara berperingkat, tidak meliputi biofuel diperakui sebagai mempunyai risiko ILUC rendah, walaupun dihasilkan tanaman yang secara keseluruhannya dikenal pasti sebagai risiko ILUC tinggi, seperti minyak sawit.

Dengan ini, biofuel berasaskan minyak sawit dari Malaysia boleh termasuk dalam pencapaian sasaran tenaga boleh diperbaharui EU selagi dianggap mempunyai risiko ILUC rendah.

Seperti tertera dalam tulisan daripada menteri, Malaysia memfailkan kes kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berkenaan RED2.

Setakat ini, perbicaraan masih berterusan dan mesyuarat substantif seterusnya bersama panel kedua-dua pihak berkait dengan pertikaian ini dijadualkan di Geneva dalam masa minggu seterusnya, yang EU juga akan menghadirkan diri dan menggunakan peluang itu untuk menjelaskan kedudukannya serta menerangkan pertikaian dihujah.

Meskipun terdapat pertelagahan di WTO, EU sentiasa bekerjasama dengan Malaysia (dan Indonesia) mengenai isu berkaitan kemampanan minyak sawit. EU juga membiayai projek bantuan teknikal, iaitu Keberlanjutan Sawit Malaysia dan Indonesia (KAMI) dan kami menubuhkan sebuah jawatankuasa kerjasama untuk membincangkan isu penting membabitkan kepentingan semua pihak.

Dalam tulisan itu, menteri juga membuat rujukan terhadap tindakan diambil Jabatan Kastam dan Kawalan Sempadan Amerika Syarikat (CBP).

Saya tidak akan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, tetapi saya percaya menteri akan bersetuju dengan saya bahawa isu buruh paksa di Malaysia, termasuk dalam sektor perladangan, menjadi perkara membimbangkan.

Kerajaan Malaysia sendiri mengakuinya beberapa kali dan memberi komitmen untuk membaiki situasi ini, yang kami mengalu-alukannya dan menyokong melalui beberapa projek danaan EU di Malaysia bersama Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Saya amat berbesar hati mengetahui menteri sedang menguruskan perjumpaan dengan EU pada Julai nanti. Saya akan membantu memudah cara perjumpaan ini untuk membincangkan polisi EU dan menjelaskan salah faham mengenai skop serta objektifnya.

Penulis adalah Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia

Related Article