Trending
Lain-lain (Rencana)

Perketat tapisan peserta program pembangunan desa elak ketirisan

PEMBANGUNAN ekonomi golongan berpendapatan rendah sering menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

Pelbagai usaha dan pendekatan dilakukan kerajaan dalam membangunkan kesejahteraan sosioekonomi, sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Jika diamati, setiap dasar kerajaan memberi penekanan dan perhatian kepada pembangunan luar bandar antaranya Buku Merah, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Revolusi Desa, Gerakan Desa Wawasan, Dasar Pembangunan Kampung dan Luar Bandar.

Hingga kini, kerajaan masih meneruskan agenda pembangunan luar bandar dengan pelbagai pendekatan baharu agar selari dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Pelaburan besar kerajaan dalam pembangunan luar bandar bertujuan memastikan segenap lapisan masyarakat luar bandar turut menikmati hasil pembangunan negara.

Jika diperhatikan pelbagai bentuk kejayaan dikecapi dalam pembangunan masyarakat luar bandar. Namun, terdapat beberapa ruang penambahbaikan boleh dilakukan bagi mempertingkatkan daya tahan dan daya saing masyarakat luar bandar.

Pemberian bantuan atau insentif bagi tujuan pembangunan masyarakat luar perlu menekankan aspek pendidikan dan latihan bagi mempertingkatkan kemahiran kendiri.

Kebanyakan golongan berpendapatan rendah mempunyai tahap pendidikan rendah dan bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.

Bagi mempelbagaikan sumber pendapatan, minat dan kecenderungan golongan ini dalam sesuatu bidang perlu dikenal pasti terlebih dulu dan tidak boleh dibuat secara tangkap muat.

Ia perlu dimulai aspek pendidikan berterusan bagi menggilap bakat dan kebolehan. Ini bertujuan mengelak pembaziran sumber sekiranya peruntukan disalahgunakan akibat tersalah memilih peserta.

Agensi bertanggungjawab perlu mengenal pasti peserta betul-betul berkemampuan menjalankan program disasarkan, bukan sekadar meluluskan pengagihan peruntukan tanpa membuat sebarang tapisan dan semakan sewajarnya pada peringkat lapangan.

Pemberian modal dalam bentuk wang tunai perlu dikurangkan, terutama bagi peserta baharu menyertai sesuatu program, sebaliknya bantuan atau pinjaman dalam bentuk peralatan dan kelengkapan perlu diperluaskan.

Terdapat peserta menyertai program tertentu untuk mendapatkan tunai semata-mata kerana bagi mereka, pemberian kerajaan tidak perlu dibayar semula atau kadar faedah bayaran balik rendah.

Tidak hairanlah terdapat peserta tidak bertanggungjawab meminjam wang daripada agensi kerajaan bagi peningkatan dan mempelbagaikan sumber pendapatan, sebaliknya menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi.

Ini akan memerangkap individu terbabit dalam kadar keberhutangan tinggi, tetapi kehidupan masih pada takuk sama, sekali gus meningkatkan kebergantungan individu kepada kerajaan untuk mendapatkan tunai dengan mudah tanpa perlu bekerja keras.

Ini juga menyebabkan pelbagai skim pinjaman pembiayaan dilancarkan institusi kewangan yang sah kurang mendapat sambutan.

Mungkin boleh dipertimbangkan pemberian bantuan perlu dikongsi bersama sumber pembiayaan antara peserta dengan kerajaan dalam peratusan dipersetujui bersama. Ini untuk meningkatkan perasaan pemilikan/hak sendiri ke atas bantuan diberikan.

Pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk memastikan peralatan dan kelengkapan diberikan berupaya menjana hasil pendapatan isi rumah dalam jangka panjang.

Tidak mustahil dan terdapat sebilangan kecil peserta menerima peralatan daripada agensi kerajaan menjual peralatan diterima kepada pihak ketiga bagi memperoleh sumber kewangan dalam tempoh singkat dan mengandaikan sumber perolehan dalam jangka panjang.

Perkara ini terjadi susulan daripada penguatkuasaan dan pemantauan lemah agensi yang terbabit.

Sudah pasti perkara ini merugikan wang awam. Satu perjanjian dan penalti perlu dikemas kini dan ditambah baik di antara pihak kerajaan dan peserta bagi menghalang penyalahgunaan bantuan yang diberikan.

Penerangan dan aku janji perlu diberikan kepada peserta agar memahami sejelas-jelasnya berkaitan bantuan diterima dan kesan sekiranya menyalahguna bantuan diberikan.

Pendidikan dan pengurusan kewangan kendiri perlu ditekan dan diwajibkan bagi setiap peserta yang terbabit dalam sebarang program pembangunan.

Ini bertujuan mendidik peserta memahami aliran tunai projek dilakukan. Setiap transaksi kewangan keluar dan masuk dapat diuruskan dengan baik dan sempurna bagi memastikan kelangsungan projek berkenaan.

Pada masa sama, pemilihan peserta berkelayakan untuk menyertai sesuatu program pembangunan perlu bebas daripada campur tangan politik.

Perkara ini penting bagi memastikan ketelusan dan integriti setiap agensi. Atas alasan itu, agensi yang terbabit perlu membuat semakan dan risikan pada peringkat lapangan bagi memastikan peserta dicalonkan adalah layak secara merit dan bukan atas kertas sahaja.

Maka, setiap agensi perlu melakukan pusing ganti dalam jangka tertentu bagi mengurang dan mengelakkan pengaruh dan campur tangan pihak ketiga dalam proses pembuatan keputusan.

Proses pemutihan ke atas senarai penerima bantuan khususnya penerima baja dan racun subsidi kerajaan harus dilakukan secara berkala.

Ini bertujuan mengelak individu meninggal dunia, berpindah dan tidak mengusahakan lagi tanaman tetap tersenarai sebagai penerima bantuan berkenaan.

Kesannya akan mengakibatkan penjualan baja dan racun subsidi kepada pihak 'menangguk di air keruh'.

Adakalanya pelaksanaan sesuatu program dalam usaha mempertingkatkan ekonomi desa dilihat seperti bermusim.

Sekiranya berhadapan dengan sesuatu insiden luar jangka, maka program berkaitan dilihat seolah-olah bersifat one off diwujudkan.

Hakikatnya projek pembangunan yang diwujudkan perlu mempunyai kelangsungan berterusan merangkumi pelan dan strategi dalam tempoh jangka panjang mahupun jangka pendek.

Golongan yang terbabit dalam program seumpama ini, harus dibimbing dan dipantau secara berterusan sehingga berupaya mencapai sasaran matlamat projek ditetapkan, bukan dibiarkan tanpa pengawasan dan pemantauan daripada agensi bertanggungjawab.

Laporan Ketua Audit Negara saban tahun turut melaporkan ketirisan yang berlaku pada peringkat agensi kerajaan memberi kesan kepada keberkesanan pembangunan ekonomi di luar bandar.

'Kebocoran' yang berlaku di rantaian penyampaian perkhidmatan kerajaan memberi impak negatif kepada agensi pelaksana. Perkara ini amat merugikan kerajaan, manakala penerima turut menerima tempias dengan menerima bekalan dan perkhidmatan tidak berkualiti.

Impaknya akan turut dirasai semua pihak terbabit di semua pihak dalam usaha membangunkan ekonomi luar bandar.

Pertindihan fungsi dan bidang kuasa di antara agensi turut menjejaskan usaha meningkatkan ekonomi luar bandar.

Pada masa sama, kurang integriti dan akauntabiliti mengakibatkan penyalahgunaan dana kerajaan bagi kepentingan diri sendiri dan pemegang taruh.

Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian serius, sudah pasti hasrat dan matlamat pembangunan agenda negara sukar dicapai sepenuhnya.

Penulis adalah Pengarah Institut Kajian Kerajaan Tempatan, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Related Article