Trending
Lain-lain (Rencana)

Transformasi teknologi, pelan strategik atasi isu harga ayam

KENAIKAN harga makanan mencetus kebimbangan bukan sahaja kepada pengguna, tetapi kepada ekonomi.

Ia mempunyai kaitan dengan komponen indeks daya saing negara, yang mana indikator ini merekodkan trend penurunan dalam Laporan Daya Saing 2021.

Bagi kumpulan B40 dan M40, kenaikan kos makanan berbanding gaji yang hampir tidak stabil membebankan kerana makanan merangkumi 24 hingga 29 peratus daripada perbelanjaan isi rumah mereka.

Isu ini mendapat perhatian Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan dengan kerjasama sektor awam-swasta, PEMUDAH menubuhkan kumpulan kerja teknikal mengenai kos makanan bertujuan memudahkan perniagaan terbabit dalam rantaian bekalan.

Pada masa sama, ia juga memastikan penubuhan kumpulan kerja teknikal ini diterjemahkan dalam bentuk penjimatan kepada harga makanan berpatutan.

Perkara utama perlu diberi perhatian ialah harga ayam meningkat 16 peratus dalam setahun kepada RM8.90 sekilogram (kg) pada Mac lalu.

Ayam menjadi sumber protein utama bagi rakyat Malaysia, rekod menunjukkan seorang rakyat Malaysia mengambil 47.4kg setiap tahun atau 129 gram (gm) sehari.

Malaysia adalah pengguna ayam ketiga terbesar dunia. Jumlahnya bersamaan 23gm protein sehari, cukup untuk satu hidangan.

Pada 2019, kumpulan B40 dan M40 membelanjakan antara 7.0 hingga 7.5 peratus daripada perbelanjaan isi rumah mereka untuk membeli ayam.

Oleh itu, kenaikan harga ayam menjejaskan kemampuan dan penggunaannya, sekali gus membawa kepada masalah kekurangan zat protein.

Tambahan pula, Malaysia tidak bergantung kepada mana-mana negara untuk pasaran ayam, sebaliknya turut mengeksport ayam hidup dan telur ke Singapura.

Ayam adalah industri berkembang maju yang mempunyai potensi tinggi untuk inovasi dan skop lebih besar untuk eksport.

Potensi eksport perlu ditambah baik bagi mengimbangi kenaikan harga ayam pada jangka masa panjang.

Analisis komprehensif bagi rantaian bekalan ayam menyerlahkan kuasa pasaran, sama ada pada peringkat global atau tempatan yang memberi kesan negatif atau positif pada semua bahagian.

Ia bermula daripada input ke peringkat ladang dan penggiat industri sangat kompleks terdiri daripada pemborong, rumah penyembelihan, pemproses makanan, penyedia makanan dan peruncit.

Strategi intervensi digunakan adalah bagi memastikan industri ayam berdaya saing juga harus mengekalkan kemampuan memiliki ayam sebagai sumber protein.

Pada peringkat input, bekalan sumber yang tidak mencukupi menyebabkan kenaikan harga makanan ayam yang terdiri daripada jagung dan kacang soya.

Ia diburukkan lagi akibat konflik Russia-Ukraine yang mana dua negara ini adalah wilayah utama untuk menghasilkan bekalan makanan ayam, termasuk baja, yang menyebabkan harga makanan ayam meningkat ke tahap terlalu tinggi.

Malaysia mengimport kira-kira empat juta tan jagung setahun dan kebergantungan yang tinggi kepada import makanan ayam ini menyebabkan industri terjejas.

Memandangkan makanan ayam merangkumi 70 peratus daripada kos pengeluaran, justeru kenaikan harga makanan ayam perlu ditangani segera.

Input daripada sains dan rancangan serta strategi negara yang dirancang dengan teliti untuk sumber protein serta tenaga alternatif adalah inovasi. Ia sekali gus membantu bukan sahaja pada industri ternakan, tetapi industri asas tani lain.

Bahan tempatan seperti larva lalat askar hitam (black soldier fly larva) dan kek isirung sawit perlu diuji secara serius pada skala industri.

Lebihan kapasiti di kilang makanan akan menjadikan mereka lebih bersedia untuk mencuba dan berinovasi untuk menghasilkan makanan ayam lebih murah.

Pertanian moden juga boleh membantu mengurangkan kos, termasuk penggunaan tenaga buruh minimum.

Penukaran kepada sistem pertanian tertutup digabungkan dengan aplikasi teknologi Internet of Things terbukti berkesan dari segi kos.

Ladang juga harus direka bentuk untuk pasaran eksport. Thailand mungkin boleh menjadi model yang baik untuk dicontohi.

Pada peringkat pengedaran, struktur pasaran adalah sangat kompleks. Terdapat banyak lapisan pemborong, termasuk 'orang tengah' yang tidak menambah nilai, tetapi berfungsi meningkatkan kos.

Pendigitalan di seluruh rantaian bekalan dan pemantauan rapi untuk mengelakkan 'pakatan sulit' boleh membantu mengurangkan kos.

Memudahkan dan meningkatkan aktiviti hiliran boleh menambahkan pendapatan. Pematuhan standard kebersihan di pusat penyembelihan juga harus lebih tinggi dalam kalangan penggiat industri.

Isu paling penting adalah berkaitan tadbir urus. Terdapat banyak agensi menggubal dan menguatkuasakan dasar, undang-undang dan peraturan di bahagian rantaian bekalan.

Inisiatif kerajaan seperti insentif, subsidi dan penyimpanan stok mungkin membantu sesetengah pihak, tetapi merugikan pihak lain. Sebagai contoh, mengawal harga ayam melalui subsidi sebenarnya boleh menjejaskan pengeluaran.

Apabila industri kerugian, ia memaksa ladang ditutup dan bekalan ayam akan terjejas. Ditambah dengan permintaan meningkat ketika perayaan, harga ayam akan melambung tinggi.

Petani turut menawarkan cara alternatif untuk mengawal harga bagi membolehkan mereka menjual produk sampingan seperti kaki ayam, ke pasaran sedia ada seperti China bagi mengimbangi kos pengeluaran.

Tindakan yang diperlukan ialah ketersediaan agensi berkaitan untuk menyemak dasar dan memulakan rundingan perdagangan.

Menjadikan harga makanan mampu milik kepada kumpulan berpendapatan rendah dan memastikan industri makanan berdaya saing bukan matlamat sia-sia.

Akauntabiliti sosial dan ekonomi boleh dicapai jika semua pihak, kerajaan, sektor swasta, golongan akademik, masyarakat dan media disatukan untuk bekerjasama secara sinergi bagi mencari jalan penyelesaian boleh dilaksanakan.

Pelan Strategik Kebangsaan Pengeluaran Ayam misalnya harus dikaji semula dan disuntik idea segar oleh semua pihak.

Penulis adalah Pengerusi Bersama, Kumpulan Kerja Teknikal PEMUDAH mengenai Kos Makanan

Related Article