Trending
Lain-lain (Rencana)

Pelan atasi banjir bukan tindakan 'sudah terhantuk, baru tengadah'

Insiden kepala air di Janda Baik; air pasang besar di Pantai Barat Semenanjung dan banjir kilat di Sandakan seakan berturutan selepas banjir kilat di ibu kota, sekali gus menjadikan kekerapan banjir di seluruh negara dengan keragaman luar daripada kebiasaan serta pelbagai punca semakin menguji kita.

Apa jua bentuk atau punca kejadian banjir, kesan buruk terhadap kehidupan dan alam semakin meningkat. Sejumlah RM6.5 bilion kerugian ekonomi dicatatkan akibat banjir pada Disember 2021 dengan golongan B40 serta peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling terkesan dengan impak banjir.

Kesannya juga kerajaan membelanjakan RM1.4 bilion dalam bentuk bantuan tunai dan kecemasan lain pada bencana lalu. Jumlah ini bakal bertambah memandangkan terdapat 5 juta rakyat tinggal di kawasan mudah banjir, manakala kurang 25 peratus pemilik rumah sahaja mempunyai insurans banjir.

Justeru, nilai sebenar kerugian lebih tinggi memandangkan terdapat golongan terpinggir dan analisis tidak menyeluruh kepada kesemua lapisan masyarakat.

Maka, agenda mewujudkan kota dan kediaman berdaya tahan terhadap bencana menjadi keperluan mendesak di negara ini, terutama demi golongan rentan yang kebanyakan kurang arif terhadap risiko atau impak banjir.

Kita akur sudah wujud pelan kontingensi sebagai persediaan menghadapi hujan berterusan dan penyelesaian jangka panjang yang kini dalam kajian Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM). Namun, sering kali teknologi gagal menahan asakan banjir, malah membahayakan kawasan hilir hasil limpahan air seperti berlaku di Lembah Klang.

Tambakan tebing dan pengorekan dasar sungai hanya bersifat jangka pendek memandangkan tambakan perlu dilindungi, manakala proses sedimentasi dan hakisan sungai pasti berulang. Cerapan cuaca hanya mampu meramal hujan, namun banjir hampir pasti berlaku kerana faktor geografi seperti ketiadaan kolam takungan.

Pembinaan benteng, empangan dan mendalamkan kolam takungan banjir walaupun mampu menampung lebihan air, ia memberi risiko kepada keupayaan muatan kawasan hilir, selain turut mengubah ekologi sungai.

Maka, usaha mengurangkan impak banjir bersifat struktur oleh agensi perlu dilengkapi dengan pendekatan kemanusiaan sebagai pelengkap.

Kita perlu beralih daripada tindak balas reaktif terhadap bencana kepada usaha menghalang dan mengurangkan impak bencana dengan sasaran, kos serta garis yang jelas bagi setiap pihak. Pendekatan menyeluruh kerajaan perlu dikembangkan dalam menghadapi banjir bagi membolehkan sumber kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Agenda pengurusan banjir negara perlu menekankan aspek pembangunan daya tahan rakyat dengan memperkasa kemahiran dan perkongsian sumber. Gabungan pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu mencipta penyelesaian tersendiri contohnya penggunaan data raya dalam membantu usaha menyelamat mangsa banjir.

Adalah penting mewujudkan dana pemulihan untuk memenuhi keperluan mendesak bagi usaha mitigasi dan adaptasi dengan bencana banjir. Dana ini perlu dimulakan kerajaan sebagai belanja hangus dalam memastikan infrastruktur negara berdaya tahan dalam beradaptasi dengan perubahan iklim, selain membina upaya komuniti rintang bencana.

Dana ini boleh dipadankan dengan cukai karbon mahupun inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh korporat bagi memberi ruang untuk komuniti tempatan terjejas membina semula kehidupan.

Ini selaras dengan pendekatan ESG mengutamakan pengurangan impak terhadap alam sekitar, selain berpotensi menyemarakkan kerjasama kerajaan dengan swasta dalam menghasilkan penyelesaian mampan terhadap bencana banjir.

Sebagai susulan, portfolio darurat iklim di setiap kerajaan negeri perlu diwujudkan bagi mengkoordinasi inisiatif pengurusan lembangan secara bersepadu demi mengurangkan impak banjir. Tugasan EXCO ini termasuk menarik pelaburan berkaitan iklim dan tenaga boleh diperbaharui ke pasaran tempatan dalam memberi alternatif kepada industri pembalakan yang sering mencetuskan kontroversi.

Demi kelangsungan hidup, kita perlu akur dengan mengembalikan ruang limpahan banjir kepada ekosistem sungai termasuk membiarkan tebing sungai seperti asal kejadian, bukan sebagai lokasi industri mahupun perumahan.

Selain itu, bagi memastikan agenda untuk memulih dan membina daya tahan komuniti pada era darurat iklim kekal relevan, platform rasmi bagi program latihan kecemasan bencana seperti latihan banjir harus diwujudkan segera. Ini lebih proaktif dan interaktif serta melengkapi usaha sebaran mesej amaran banjir menerusi aplikasi telefon oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pelan tindakan banjir perlu berorientasikan tempatan dengan memahami setiap lokasi banjir di negara ini adalah berbeza. Perlu wujud penyelesaian praktikal seperti penyuraian trafik, menggalakkan majikan mewujudkan masa kerja fleksibel, malah mengehadkan waktu sekolah agar bilangan kenderaan di jalan raya dapat dikurangkan, sekali gus mengurangkan risiko pengguna jalan raya terperangkap dalam kenderaan.

Realitinya, pendekatan bersepadu menghadapi banjir dapat membantu mengurangkan impak bencana alam ini.

Semua pihak sama ada tenaga pakar mahupun sukarela perlu diganding bahu secara rasmi dalam mewujudkan penyelesaian kekal demi mengurangkan impak kepada kelangsungan hidup rakyat.

Pensyarah Kanan, Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Related Article