Trending
Lain-lain (Rencana)

Tingkatkan wibawa DBP sebagai pihak berkuasa bahasa tertinggi

Petikan kata kunci Perdana Menteri dalam pertemuan dengan wakil pejuang bahasa pada 10 Mac lalu amat tepat untuk menggambarkan kepentingan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang melabuhkan tirai, semalam.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menegaskan 'kesinambungan kegemilangan bahasa Melayu perlu terus-menerus diwujudkan', sekali gus mengingatkan pentingnya bahasa Melayu diperkukuh dalam negara dan dijadikan bahasa rasmi kerajaan dalam urusan di pentas dunia.

Oleh itu, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu berlangsung selama tiga hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sahaja wadah bicara ilmiah rutin, bahkan bermaksud mengangkat agenda besar berkaitan martabat bahasa Melayu, baik di peringkat negara mahupun di persada dunia.

Sudah tersurat bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan ilmu di negara ini sejak kemerdekaan negara pada 1957. Penobatan itu tidak akan memberikan makna hakiki jika penghayatan dan pelaksanaannya tidak disertai warga negara dalam semua sektor dan peringkat.

Dengan iltizam Perdana Menteri, DBP selaku badan diamanahkan memugar bahasa di negara ini akan menggalas amanah itu bersama semua pihak bagi mengangkat bahasa negara ke mercu setinggi-tingginya di peringkat kebangsaan dan dunia.

Antara pernyataan penting Perdana Menteri di Dewan Negara pada 23 Mac lalu dan beberapa ucapan lain, ialah pentingnya Akta DBP 1959 dipinda untuk memungkinkan badan itu bergerak lebih berwibawa.

Akta itu lebih menjurus penetapan prasarana dalam konteks peningkatan tarafnya daripada jabatan kerajaan menjadi badan berkanun. Maka, kandungannya lebih berkaitan peranan, tanggungjawab dan struktur Lembaga Pengelola DBP sebagai badan pengawal badan itu.

Wibawa penguatkuasaan, penarafan, pengiktirafan dan pelesenan tidak terangkum dalam akta versi 1959 itu hingga secara ringkas dapat dikatakan DBP bergerak sebagai badan dakwah bahasa sekadar dibolehkan 'beri nasihat, teguran dan bimbingan.'

Pindaan Akta DBP selaras keperluan zaman membabitkan peningkatan wibawanya sebagai 'pihak berkuasa bahasa' tertinggi di negara ini yang dapat menjadi pengisi dan penggerak peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain berkaitan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Pernyataan Perdana Menteri mengenai pentingnya Akta DBP dipinda perlu diberi perhatian dan sokongan semua pihak berkuasa, terutama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Peguam Negara dan Jemaah Menteri agar cadangan pindaan dikemukakan DBP dapat diabsahkan di Parlimen bagi melaksanakan amanat Perdana Menteri.

Selain itu, ucapan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Negara itu turut mengemukakan peranan bahasa Melayu di peringkat serantau. Bahasa ini mempunyai keunggulan dan kelebihan tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN. Antaranya, sekitar 300 juta penutur meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa besar di Asia Tenggara.

Keyakinan beliau bahawa suatu hari nanti bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN, bermula sebagai bahasa rasmi kedua, bukan tidak berasas.

Sejak 1980-an, cadangan itu disuarakan dengan asas sama dikemukakan Perdana Menteri, iaitu penyebaran bahasa Melayu meluas di Asia Tenggara, meliputi negara induk berbahasa Melayu, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam serta negara lain yang turut mempunyai penuturnya, seperti Singapura, Thailand, Filipina, Kampuchea, Vietneam, Laos dan Myanmar.

Dalam ASEAN, empat negara mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura, meskipun Indonesia menggunakan istilah 'bahasa Indonesia' berkaitan rapat perancangan pembinaan jati diri warga negaranya.

Asas pengembangan bahasa Melayu serantau diletakkan kira-kira 50 tahun lalu melalui Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) ditubuhkan pada 1972 dan kemudian 1985 menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Singapura dan Thailand menjadi anggota pemerhati MABBIM.

Gagasan Perdana Menteri memperluaskan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa selaras antara bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia dilancarkan Perdana Menteri sendiri pada 7 Disember 2021.

Bidang itu ialah program Diplomasi Kebudayaan merangkumi unsur pengantarabangsaan bahasa Melayu. Fakta itu seiring Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1, Tahun 2020, iaitu 'Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam' dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Antara lain, pekeliling itu menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam surat kepada pihak di luar negara dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris. Malah, cadangan itu mula dikemukakan JPA pada 2011 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011.

Fungsi DBP dalam program pengantarabangsaan antara unsur dalam pindaan Akta DBP kerana fungsi itu tidak terdapat dalam akta versi 1959 walaupun sejak 1980-an, ia menggerakkan program pengantarabangsaan bahasa dan sastera Melayu.

Pada 1997 pula, Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang urus setianya ialah DBP. Badan itu menyemarakkan program pengantarabangsaan bahasa Melayu sejak 2000. Antaranya, persidangan tahunan melaporkan perkembangan bahasa Melayu di Amerika Utara, Eropah, Oceania, Asia Timur, Afrika dan Asia Utara.

Persidangan pengajian Melayu juga dilaksanakan di sejumlah wilayah berkenaan, pembukaan kelas pengajaran bahasa Melayu di luar negara, program permukiman pelajar asing di Malaysia, penerbitan jurnal antarabangsa mengenai dunia Melayu dan peneguhan Kursi Pengajian Melayu di luar negara.

Sebahagian besar pemakalah luar negara menyumbangkan buah fikiran dalam simposium juga penggerak MABM. DBP berharap kerajaan menyediakan peruntukan kewangan cukup memungkinkan MABM bergerak lebih berkesan melalui prasarana dan pelan tindakan disusun dan dipiagamkan dalam sidang pertamanya pada 2000.

Berbalik kepada simposium itu, Perdana Menteri juga merestui ia dijadikan agenda tahunan diselaraskan dengan program MABM. Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa disertai wakil 11 negara sedunia akan dijadikan kegiatan kembar bagi Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM).

PABM mewakili wacana ilmu bagi bahasa Melayu, sementara Sayembara Deklamasi Puisi mewakili sisi estetika bahasa Melayu yang sama pentingnya dalam pengembangan tamadun.

Simposium disusuli wacana pada isu membabitkan pihak tertentu. Antaranya, penyusunan pelan tindakan dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Penulis adalah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Related Article