Trending
Lain-lain (Rencana)

Dasar Tenaga Negara peluang teroka pelaburan baharu tenaga masa depan

BARU-BARU ini, Dasar Tenaga Negara (DTN) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang antara lain menggariskan 12 strategi dan 31 pelan tindakan dengan tujuan utama untuk memperkemas dan mengharmonikan pelbagai dasar berkaitan tenaga negara sedia ada.

Menariknya, dasar ini bukan sahaja dilihat bakal mengukuhkan kemampanan tenaga Malaysia, malah turut memberikan limpahan manfaat kepada ekonomi makro dan sektor industri terutama sektor makanan, pengangkutan serta pembuatan.

Dunia sedang mengalami cabaran pasca pandemik dan krisis tenaga akibat konflik di Ukraine, namun pelan tindakan awal sebegini amat diperlukan untuk negara bangkit daripada hanya berpaksikan tenaga berasaskan fosil dan menyediakan sumber tenaga alternatif, hasil limpahan sumber alam mewah di kawasan khatulistiwa ini.

Selain mengurangkan dampak alam sekitar dan mengurang risiko bencana iklim, Malaysia perlu turut serta memulakan langkah awal ini sebagai satu pelaburan masa depan, ketika kos proses peralihan tenaga ini masih lagi berpatutan.

Mengikut kajian Makmal Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan (National Renewable Energy Laboratory) Amerika Syarikat (AS), sebanyak AS$12 trilion (RM55 trilion) dapat dijimatkan dunia sebelum 2050 jika langkah awal kelestarian tenaga dilaksanakan.

Rakyat AS yang sebahagiannya tidak mempercayai teori perubahan iklim turut menyokong peralihan kepada tenaga boleh baharu ini bukan kerana ingin menyelamatkan alam sekitar, tetapi lebih kepada menyelamatkan wang hasil percukaian rakyat dan negara.

Tingkat kecekapan tenaga

Ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian untuk menjayakan DTN ini. Pertama sekali ialah keperluan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga sedia ada.

Peningkatan kecekapan tenaga ialah pendekatan terdekat dan terbaik kerana ia kos rendah. Projek pembangunan baharu perlu siap sedia cekap tenaga melalui rekaan berinovasi jimat penggunaan tenaga elektrik serta membudayakan amalan hijau.

Kawasan bandar adalah penyumbang terbesar perubahan iklim tetapi turut berpotensi menjadi sumber penyelesaian masalah ini. Di peringkat global, sebanyak 70 peratus pelepasan gas rumah kaca berkaitan tenaga adalah daripada kawasan bandar dan mewakili 65 peratus guna tenaga global.

Menjelang 2030, lebih tiga perempat guna tenaga global dijangka diperlukan di kawasan bandar dengan mengambil kira pertambahan populasi penduduk.

Selain daripada penjimatan wang, kerajaan juga harus fokus menekankan manfaat sosial seperti kesihatan, peluang tenaga kerja hijau serta merapatkan jurang ekonomi masyarakat.

Fokus kedua patut diberikan Majlis Tenaga Negara dipengerusikan Perdana Menteri adalah menyediakan program latihan kemahiran boleh pindah bagi menghasilkan generasi tenaga kerja baharu berkemahiran hijau atau program latihan kemahiran semua hijau (green reskilling training) bagi melatih modal insan sedia ada yang ingin berhijrah daripada satu sektor ke sektor lain.

Ini kerana DTN dilihat bakal memacu pertumbuhan negara dalam sektor ekonomi hijau dan sudah pasti membuka peluang pekerjaan baharu untuk tenaga mahir dan separa mahir.

Dalam lima tahun kebelakangan ini, peluang tenaga kerja dalam bidang kelestarian alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui di AS meningkat 200 peratus berbanding peningkatan 19 peratus dalam industri minyak dan gas.

Anjakan paradigma

Pendekatan ketiga ialah keperluan infrastruktur penyahkarbonan menyeluruh dalam semua sektor. Inovasi terkini dalam penjanaan, simpanan, pengurusan tenaga serta pengangkutan hibrid menjadikan peralihan penggunaan tenaga ke arah infrastruktur sifar karbon tidak lagi sukar dan sangat mahal untuk dilaksanakan.

Di bandar Ithaca, New York contohnya yang terletaknya Universiti Cornell, terdapat inisiatif 'Go Ithaca' yang komuniti berminat untuk turut serta dalam mobiliti hijau akan diberikan sokongan seperti kredit tunai program perkongsian kereta, kupon tunai peralatan berbasikal dan pejalan kaki, pas percuma bas elektrik dan potongan harga tempat letak kereta berdekatan transit.

Jika bandar raya Kuala Lumpur terlalu besar untuk dijadikan model bandar berpengangkutan hijau, mungkin Putrajaya yang kurang berbukit dan mesra penunggang basikal serta pejalan kaki boleh dijadikan model bandar hijau negara.

Ini adalah peluang untuk anjakan paradigma berlaku dan negara kita perlu turut serta dalam peralihan global ini. Oleh kerana tekanan ekonomi dan dasar, akan tiba masa apabila pilihan untuk pembangunan infrastruktur sifar karbon menjadi satu-satunya pilihan yang ada dan berpatutan untuk pelaburan.

Ini semua menjadi harapan baharu supaya negara tidak menjadi sekadar pengikut, sebaliknya tampil sebagai perintis dalam sektor berpotensi tinggi dan secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada kelestarian alam sekitar.

Penulis adalah Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) dan Profesor Madya Pelawat Fulbright di Universiti Cornell, Ithaca New York