Trending
Lain-lain (Rencana)

Kerajaan, korporat perlu bantu bina negara dan daya tahan rakyat

SELEPAS melalui tempoh ekonomi menguncup selama dua tahun disebabkan pandemik COVID-19, kini kita memasuki suku terakhir 2022, akan direkodkan sebagai 'tahun pemulihan' untuk Malaysia.

Kita mencatat pertumbuhan ekonomi selama tiga suku tahunan berturut-turut iaitu 3.6 peratus pada suku keempat 2021, diikuti 5.0 peratus dan 8.9 peratus pada suku pertama serta kedua 2022.

Jumlah perdagangan negara untuk suku kedua tahun ini berada pada paras tertinggi iaitu RM1.35 trilion. Kita berada di landasan tepat mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 hingga 6.3 peratus untuk 2022.

Semua ini tanda jelas menunjukkan usaha gigih kita memulihkan ekonomi membuahkan hasil. Disokong dengan usaha daripada pelbagai sektor di Malaysia, dasar responsif kerajaan membolehkan rakyat bangkit semula daripada impak pandemik.

Walaupun semua ini nampak optimistik, kita perlu lebih realistik mempersiapkan negara dan rakyat menghadapi ramalan kelembapan ekonomi global pada 2023.

Kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mengehadkan inflasi domestiknya juga bertujuan memperlahankan ekonomi negara itu, yang mana seluruh dunia terkesan, termasuk Malaysia.

Tambahan pula, perang berlarutan di Ukraine menjejaskan rantaian bekalan global dengan implikasi negatif terhadap ratusan juta orang serta menyebabkan kenaikan harga susulan permintaan melebihi bekalan.

Mungkin kita perlu persoalkan punca kepada masalah semasa dunia. Adakah kita terlalu bergantung kepada konsep globalisasi, dengan jejak karbonnya yang besar, terutama apabila pembekal sentiasa mencari sumber kos termurah di hujung dunia.

Mengapa seluruh dunia bergantung kepada mata wang rizab tunggal? Mungkin trend deglobalisasi akan melakar sejarah, kerana semakin banyak negara menumpukan usaha berdikari, terutama di dalam hal sekuriti makanan dan sumber tenaga untuk kesejahteraan rakyat mereka.

Dalam pada itu, bagaimana rakyat boleh disiapsiaga untuk harungi ketidaktentuan masa hadapan? Bagaimanakah kita boleh membina daya tahan negara dengan cepat?

Bagaimana syarikat korporat boleh membantu negara membina daya tahan rakyat apabila kuasa besar semakin cepat menuju ke arah deglobalisasi? Di sinilah pendekatan senegara (Whole-of-Nation) kita menjadi lebih penting berbanding dahulu.

Kita mesti membina kekuatan diri dari dalam dan salah satu cara adalah menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam ekosistem kerajaan dan syarikat berkaitan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Walaupun ini menyokong objektif jangka panjang kita, terdapat beberapa langkah segera boleh dilaksanakan pihak korporat dan penggiat pasaran membantu negara.

Pihak korporat boleh perkasa peniaga kecil

Pertama sekali, syarikat boleh dan harus melabur sebanyak mungkin pendapatan mereka di dalam negara tetapi mungkin memerlukan pembentukan semula rantaian bekalan masing-masing untuk menerapkan lebih banyak input tempatan.

Pihak korporat boleh memperkasakan peniaga kecil dengan membabitkan mereka di dalam rantaian bekalan. Hal ini tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kedua, tanggungjawab mempertingkatkan jaringan keselamatan dan perlindungan sosial tidak seharusnya terletak pada kerajaan semata-mata.

Program jaringan keselamatan sosial paling baik adalah dilengkapi pendidikan celik kewangan. Sektor korporat boleh berusaha mendidik dan memperkasa komuniti setempat mereka.

Ketiga, pihak korporat dan GLIC harus memainkan peranan menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

Dengan dasar sifar COVID di China, ramai pelabur dari pelbagai negara menyatakan minat berpindah ke Malaysia dan ini satu perkongsian awam-swasta boleh dijayakan.

Keempat, penggiat dalam sektor pelancongan boleh menggalakkan pelancongan domestik. Hakikatnya, kita masih belum menggunakan sepenuhnya sebahagian daripada peruntukan Bajet 2022 untuk sektor pelancongan.

Sektor ini juga perlu mempertingkatkan kerjasama merentasi industri seperti dengan industri perubatan untuk mempertingkatkan pelancongan kesihatan.

Kelima, syarikat korporat lebih besar mesti membantu syarikat lebih kecil, terutama di dalam ekosistem masing-masing untuk mencapai matlamat ESG mereka.

Walaupun kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menerapkan ESG dalam kebanyakan operasinya, sektor korporat, terutama perniagaan besar juga mesti memainkan peranan menggalakkan pelanggan, pembekal dan vendor mereka menerapkan prinsip ESG di dalam operasi mereka.

Apa yang pasti, disiplin adalah tema utama dalam Bajet 2023 terutama ketika kita bersiap siaga untuk tahun lebih mencabar. Untuk itu, selain daripada cadangan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal pada akhir tahun ini, Bajet 2023 juga akan membantu rakyat dan perniagaan memupuk pemikiran lebih berdisiplin.

Saya rasa kita perlu mengamalkan rasionalisasi subsidi dengan cara sama secara beransur-ansur, tetapi dengan keazaman dan disiplin untuk mencapai daya tahan fiskal masa hadapan.

Mengapa ini diperlukan? Saya ambil contoh bil subsidi menyeluruh tahun ini iaitu sebanyak RM80 bilion. Jika kita menyalurkan subsidi hanya kepada mereka yang layak dan katakan RM30 bilion dijimatkan, berapa banyak sekolah, hospital, dan penambahbaikan pengangkutan awam boleh dibiayai untuk manfaat rakyat?

Logiknya mudah, mereka yang mampu, mesti membayar harga pasaran. Walaupun kerajaan bertanggungjawab menyokong rakyat dan sektor perniagaan ketika pandemik, semua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula dan kita tidak lagi berada dalam fasa pandemik.

Contohnya, melalui subsidi gaji RM21 bilion, kita membantu 358,000 perniagaan dan 2.96 juta pekerja untuk bangkit semula. Sudah tiba masanya mereka meneruskan perjalanan tanpa bertongkat bantuan kerajaan.

Apa diperlukan adalah sedikit disiplin daripada seluruh Keluarga Malaysia untuk membantu kita mengharungi masa sukar bakal dihadapi, bagi menjamin masa depan lebih berdaya tahan untuk kita dan anak-anak kita.

Penulis adalah Menteri Kewangan


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH