Trending
Minda Pembaca

KPM perlu bersikap terbuka perjelas formula kejayaan SPM

Kewibawaan badan bebas seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) biasanya jarang dipersoalkan. Namun, kita sekarang mengharungi keadaan amat luar biasa.

Oleh itu, masyarakat ingin mengetahui bagaimana sistem pendidikan negara, termasuk peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terpengaruh dengan 'norma baharu.'

Masyarakat berhak dibekalkan maklumat sah dan benar daripada sumber berwibawa. Apabila diberikan pilihan antara maklumat benar dengan palsu, jarang sekali mereka sengaja memilih maklumat palsu.

Namun, apabila pihak seperti Kementerian Pendidikan (KPM) tidak cepat memberikan penjelasan mengenai perubahan sistem pendidikan negara sewaktu pandemik, ia hanya akan membiakkan curiga dan resah dalam masyarakat.

Ini menyebabkan masyarakat lama-kelamaan akan lebih mempercayai khabar angin ditiupkan pihak kurang berwibawa.

Pengumuman Menteri Pendidikan mengenai keputusan SPM 2020 sebagai keputusan terbaik dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini perlu diperhalusi berdasarkan dua sebab.

Pertama, beliau tidak menerangkan mengapa julat tahun digunakan untuk perbandingan dibataskan hanya kepada lima tahun sahaja.

Harus diingatkan, ini tidak bermakna ia disebabkan ingin menyembunyikan sesuatu kerana laporan analisis keputusan SPM lalu sudah menjadi kelaziman corak perubahan nilai Gred Purata Nasional (GPN) dibandingkan untuk tempoh lima tahun kebelakangan.

Bagaimanapun disebabkan COVID-19 mewujudkan situasi luar biasa termasuk pendidikan, pemaparan data lebih lengkap membabitkan tempoh lebih panjang akan menonjolkan corak perubahan jangka panjang lebih ketara.

Ini juga dapat mengelak mana-mana pihak membuat kesimpulan salah akibat saiz sampel terhad, sekali gus membawa kepada sebab kedua.

Misalnya, mungkin ada pihak cenderung menyimpulkan memandangkan nilai GPN menunjukkan corak penyusutan sebanyak 0.25 mata sejak 2016, maka pada 2021 ia akan mencecah angka lebih rendah daripada 2.80.

Ringkasnya, memandangkan nilai GPN tahun sebelum sentiasa lebih rendah, maka disimpulkan corak penyusutan nilai GPN akan berterusan untuk tahun mendatang.

Kesimpulan ini dibuat berdasarkan apa berulang kali berlaku pada masa lalu, digunakan untuk meramalkan apa akan berlaku pada masa akan datang.

Dalam ilmu falsafah, kesimpulan dicapai menerusi cara sebegini disifatkan sebagai hujah berbentuk aruhan (inductive argument).

Kita tidak perlu menjadi ahli falsafah untuk mengesan kelemahan parah dalam hujah berbentuk aruhan, apa yang kerap kali berlaku pada masa lalu tidak semestinya akan terus berlaku pada masa akan datang.

Hujah berbentuk aruhan mengandaikan - secara tersirat - wujudnya keseragaman dalam tabii sesuatu kejadian; sekiranya andaian keseragaman tabii tidak dijamin, maka itu akan mematahkan hujah berbentuk aruhan.

Atas sebab inilah, pemikir agung Islam, Imam al-Ghazali mengkritik pendewaan falsafah semula jadi Aristotle oleh ahli falsafah pada zamannya hingga mereka menafikan kejadian mukjizat dikhabarkan dalam al-Quran.

Kira-kira enam abad selepas itu, ahli falsafah Scotland, David Hume, mengeksplotasi kelemahan parah dalam hujah berbentuk aruhan ini untuk membidas kemampuan ilmu sains dalam memperihalkan kejadian semula jadi.

Justeru, kekerapan berlakunya sesuatu pada masa lampau tidak semestinya menjamin dengan pasti bahawa perkara berkenaan akan terus-menerus berlaku untuk masa akan datang. Dalam hal ini, kemestian harus digantikan dengan kemungkinan.

Misalnya, nilai GPN daripada 2008 hingga 2013 mempamerkan penyusutan daripada 5.51 kepada 4.86. Sekiranya kita meramalkan penyusutan ini akan berterusan untuk 2014, maka kita mendapati ramalan berkenaan ternyata meleset kerana nilai GPN untuk 2014 melonjak naik daripada 4.86 kepada 5.01. Corak penyusutan dijangka tidak berlaku.

Justeru, pengajaran penting boleh diambil untuk mengelakkan kesilapan sedemikian adalah bersikap terbuka kepada hujah dan bukti baharu serta yang belum terlintas dalam medan kesedaran kita.

Memetik kata-kata ahli fizik Amerika Syarikat (AS), Richard Feynmann: "Jangan memperdayakan diri sendiri; dan ingatlah bahawa diri kitalah paling mudah untuk diperdayakan."

Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil,
Pensyarah Jabatan Fizik Gunaan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia

Related Article