Trending
Minda Pembaca

Kaji semula syor tambah negara sumber pengawal keselamatan

Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan sedang meneliti cadangan membuka tiga lagi negara sumber untuk membekalkan pengawal keselamatan iaitu dari Indonesia, Filipina dan Bangladesh.

Sebagai seorang yang pernah bekerja di sektor ini, saya berharap perkara ini dipertimbangkan dengan teliti supaya tidak timbul isu keselamatan dan menjejaskan peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.

Peraturan semasa hanya membenarkan rakyat Nepal atau secara spesifik mereka dalam kalangan bekas tentera daripada etnik Gurkha diambil bekerja perlu dikekalkan. Ia bagi memastikan kebergantungan kepada warga asing dapat dihadkan untuk menjamin peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Membuka lebih banyak negara sumber baharu akan menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk menapis dengan meneliti warga asing yang akan dibawa masuk.

Perlu difikirkan juga risiko kemungkinan rakyat asing yang mempunyai ideologi militan daripada tiga negara berkenaan.

Ini bukanlah prasangka kerana sejarah membuktikan pada 2017, Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman pernah menahan tujuh pengawal keselamatan warga asing yang disyaki sebagai anggota kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG).

Malah, berdasarkan pengalaman saya sendiri, diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan tidaklah begitu sukar berbanding pekerjaan lain. Ramai rakyat tempatan daripada kalangan pesara dan wanita memilih kerjaya ini dan selalunya mereka ditugaskan mengawal bangunan kerajaan seperti sekolah.

Sebelum ini juga pernah tular graduan lulusan mikrobiologi di Johor tidak kisah bekerja sebagai 'pak guard' sementara mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan.

Situasi ini mungkin berubah jika majikan mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengambil pengawal keselamatan daripada kalangan warga asing.

Kesannya rakyat tempatan yang benar-benar mahu bekerja dalam sektor ini kerana tidak banyak pilihan lain akan diketepikan seperti kita lihat dalam sektor perkhidmatan apabila ramai pekerja tempatan digantikan dengan tenaga asing yang dibawa masuk secara pukal.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa pendapatan seorang pengawal keselamatan sudah banyak peningkatan berbanding dahulu. Sejak skim gaji minimum diperkenalkan, pengawal keselamatan mampu meraih pendapatan melebihi RM2,000 sebulan jika ditambah dengan elaun kerja lebih masa dan elaun tambahan lain sekiranya memiliki sijil CSG (Certified Security Guard).

Langkah kerajaan untuk menubuhkan Akademi Latihan Industri Keselamatan amat dialu-alukan demi mengangkat martabat profesion kawalan keselamatan sekali gus diharap dapat menarik minat rakyat tempatan menyertai bidang ini sebagai pengawal terlatih.

Hal ini tentu sahaja lebih baik dan seterusnya menggantikan warga Nepal yang tamat tempoh permit kerja.

Warga Malaysia yang masih menganggur termasuk golongan belia kategori NEET (Not in Employment, Education or Training) dan berminat untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan dicadang diberi latihan kemahiran di akademi yang bakal diwujudkan ini.

Akhir sekali, rancangan Kementerian Sumber Manusia untuk menjenamakan semula sektor kawalan keselamatan dengan mengutamakan pengambilan bekas tentera perlu direalisasikan dengan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Inisiatif ini wajar dilaksanakan kerana bekas tentera mempunyai disiplin tinggi dan mampu berdepan situasi kecemasan serta lebih memahami undang-undang negara berbanding warga asing.

Bekas Jaga,

Kuala Lumpur

Related Article