Trending
Minda Pembaca

Pendidikan kewangan awal usia lahir masyarakat celik urus duit

Bermula 2019, murid Tingkatan Tiga diwajibkan mempelajari ilmu Matematik Pengguna. Justeru, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) subjek berkenaan disuntik dengan elemen pendidikan kewangan, iaitu proses meningkatkan pemahaman produk, konsep dan risiko kewangan supaya dapat mengambil tindakan yang berkesan demi kesejahteraan kewangan.

Tujuannya adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid mengenai kepentingan membuat keputusan kewangan yang bijak bagi menjamin kesejahteraan individu, masyarakat dan negara.

Banyak kajian dilakukan yang mengesahkan kepentingan pendidikan kewangan pada awal usia kanak-kanak. Antara kesan positifnya ia mampu membentuk dan menggalakkan tingkah laku kewangan yang sihat pada masa hadapan.

Memandangkan kedudukan dan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia pada masa kini masih rendah, maka keutamaan diberikan pada penggunaan wang secara bijak, perbelanjaan dan simpanan yang mampu membentuk asas kemahiran kewangan.

Menerusi kajian Bank Negara Malaysia (BNM), kadar peningkatan golongan muda yang diisytiharkan muflis adalah membimbangkan. Kekurangan pengetahuan dan disiplin dalam mengurus kewangan dikenal pasti sebagai punca utama muflis.

Generasi muda kebanyakannya mula berhutang ketika mereka berada di institusi pengajian tinggi dan awal pekerjaan. Implikasinya, kesilapan dalam percaturan perbelanjaan akan menyebabkan mudah terperangkap.

Selain itu, golongan muda yang memenuhi tuntutan gaya hidup masa kini dan sering berbelanja di luar kemampuan akan sanggup berhutang. Hal ini adalah perkara yang paling merisaukan.

Data daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa ramai rakyat terbabit dalam penipuan dan penyalahgunaan kewangan. Ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan terjejas. Impaknya juga memberi kesan kepada negara secara amnya.

Berdasarkan respons murid, mereka makin memahami kepentingan pendidikan kewangan, terutama dalam kehidupan harian. Tajuk ini didapati mampu memberikan kesedaran awal terhadap diri mereka. Murid juga dilihat memberi tindak balas dan reaksi yang positif terhadap pembelajaran tajuk ini.

Sungguhpun demikian, mereka harus meminati terlebih dahulu tajuk ini supaya proses pembelajaran lebih cepat dan mudah difahami.

Antara cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah guru perlu memastikan setiap murid benar-benar menguasai tajuk ini yang merangkumi simpanan, pelaburan, kredit dan hutang sebelum melangkah ke peringkat menengah atas.

Hal ini kerana, ketika di Tingkatan Empat dan Lima nanti, mereka perlu menguasai tajuk Pengurusan Kewangan, Insurans dan Percukaian pula.

Justeru, pengenalan asas ketiga-tiga tajuk ini kepada murid Tingkatan Tiga juga perlu supaya mereka lebih bersedia dan memahami hubung kait pembelajaran Matematik Pengguna ini.

Mohamad Riduan Masri,

Universiti Kebangsaan Malaysia

Related Article