Trending
Minda Pembaca

KPM perlu semak dakwaan silibus pembelajaran sukar

Benarkah silibus pembelajaran anak kita hari ini semakin sukar? Hal ini kerap diperkatakan di media sosial malah seminggu dua ini, netizen mula menularkan gambar halaman buku teks murid sekolah rendah yang dikatakan sangat berat untuk dipelajari.

Misalnya, murid perlu belajar mengenai tafsiran membuat ayat tersurat dan tersirat berdasarkan seperenggan perkataan. Malah subjek Sejarah juga dikatakan terlalu berat yang mana sepatutnya mereka pada usia sekolah rendah perlu lebih banyak 'bermain' dan 'bersenang-senang'.

Kita akui, orang Malaysia memang prihatin jadi mereka mudah melontar kritikan. Ada yang membina, tetapi ada yang menjatuhkan. Ada kala kritikan mereka tidak kena kerana diri pengkritik itu bukanlah pakar, namun itu tidaklah bermaksud mereka tidak boleh membuat teguran.

Dalam hal silibus ini juga, ada kala kita mengkritik tanpa mahu memahami. Seingat saya, sebagai insan yang lahir pada tahun 70-an, ketika di sekolah rendah saya sudah pun belajar sejarah Babylon, Mesopotamia pada usia sembilan tahun. Hingga sekarang pun saya masih ingat lagi apa yang cikgu ajarkan. Jadi, apakah salah murid Tahun Tiga sekarang belajar hal yang hampir sama? Adakah ia terlalu berat untuk dipelajari?

Namun, kita pun memahami juga generasi muda hari ini tidak sama dengan orang muda era 70-an dan 80-an. Banyak faktor yang membezakan.

Malah ada kala guru tidak berani hendak mengambil tindakan dalam menangani satu-satu hal, nanti disergah orang kementerian, malah ada juga ibu bapa yang datang ke sekolah tampil membangkang. Guru pun manusia juga, mereka ada keluarga yang perlu disara, jika bertindak berlebihan nanti hilang pekerjaan.

Jadi dalam soal silibus yang didakwa menekan pelajar ini, ada baiknya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mengambil perhatian. Duduklah berbincang dan semak mana yang perlu serta diperbaiki. Teguran membina sangat digalakkan, tetapi janganlah hingga 'membunuh' peribadi pengkritik. Hidup memang asasnya saling nasihat menasihati.

Ahmad Muhamad,

Kuala Lumpur

Related Article