Trending
Minda Pembaca

Fikir baik, buruk sebelum kongsi di media sosial

Budaya 'flex' sudah menjadi satu tabiat di media sosial pada zaman kini. Flex atau tabiat menunjuk-nunjuk gaya kehidupan, adalah perkara yang perlu dikaji semula. Akan tetapi dari satu segi, tidak semua perkongsian di media sosial itu perkara buruk.

Budaya ini ada kala memberi kesan baik, selain perlu diakui ia juga membawa impak buruk. Jika kita perhatikan media sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook bahkan di status WhatsApp, berapa ramai gemar memuat naik barangan berjenama yang dimiliki atau gambar percutian mereka.

Setiap perkongsian sebenarnya bergantung pada tujuan kita memuat naik perkara itu. Sebahagian pengguna, mereka berkongsi percutian hanya untuk disimpan sebagai kenangan. Bagi segelintir yang lain, berkongsi di media sosial apa yang mereka peroleh sebagai sesuatu perkara yang ingin memotivasikan pengguna lain.

Namun, kita tahu bahawa perkara yang dikongsi akan memberi pelbagai pandangan dan persepsi mereka yang melihat. Jika kita menyorot perkongsian itu sebagai suatu motivasi, maka positiflah jadinya. Ia akan nampak negatif jika kita melihatnya dalam konteks sebaliknya.

Setiap perkara ada hadnya, tidak semua perkara perlu dikongsi di media sosial. Jadi, kita perlu fikir sebaiknya sebelum membuat sebarang perkongsian.

Hidup bukanlah suatu perlumbaan, cukuplah sekadar ia memotivasikan kita untuk menjadi yang lebih baik. Jadi, tidak perlulah setiap inci hal dalam kehidupan hendak dimuat naik dalam media sosial.

Nur Damia Sahira Harsual Effendi,

Universiti Sains Islam Malaysia

Related Article