Trending
Minda Pembaca

Keberkesanan ujian PSEE dalam talian diragui

Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) adalah ujian aptitud yang dijalankan secara dalam talian sebagai saringan awal kepada pemohon pekerjaan.

Ia merangkumi penilaian pengetahuan am, keupayaan dalam penyelesaian masalah dan ujian kefahaman bahasa Inggeris. Namun, tentu terdapat perdebatan berterusan mengenai ujian berkenaan, misalnya bolehkah temu duga melalui telefon dan ujian terkawal dalam talian mampu memberikan gambaran tepat mengenai sikap dan keupayaan calon berbanding secara bersemuka.

Adakah institusi majikan benar-benar mengambil berat mengenai sejauh mana proaktif atau emosi anda stabil? Ujian prapekerjaan kebanyakannya menggambarkan kesesuaian anda dalam budaya organisasi, potensi untuk berkembang dan bagaimana bakat pemohon boleh diterjemahkan ke arah keuntungan.

Ujian prapekerjaan ini menjadi lebih popular, manakala kerumitan terus meningkat. Akibatnya, ramai calon sering terfikir untuk menipu, terutama apabila ujian prapekerjaan ini dijalankan secara dalam talian.

Ada pepatah nasihat yang sering didengar, 'menipu sekali, gagal selamanya'. Jadi, menipu pada satu ujian pekerjaan mungkin menyebabkan bakal calon kehilangan kelayakan daripada pekerjaan lain akan datang.

Banyak institusi melaksanakan ujian personaliti prapekerjaan yang mana mereka peroleh daripada vendor yang sama. Jika seseorang bakal calon cuba menipu ketika saringan personaliti dalam talian dan bakal majikan mengesyaki calon cuba menipu, tindakan mengulang dengan kawalan lebih ketat mungkin dijalankan untuk memastikan kesahihan ujian dan integriti pekerja.

Memandangkan banyak institusi menggunakan ujian yang dibeli daripada vendor sama, kemungkinan besar anda akan disenarai hitam dan ini tidak membantu anda dalam permohonan seterusnya.

Walaupun insentif untuk menipu pada ujian prapekerjaan adalah berbeza-beza, implikasinya sukar untuk diabaikan. Mengawasi peperiksaan pekerjaan dalam talian atau di tapak bersemuka akan memastikan kesesuaian calon pekerja untuk organisasi itu, selain mereka masih mempunyai peluang dengan institusi lain jika permohonan berkenaan tidak berjaya.

Azizi Ahmad,

Segambut

Related Article