Trending
Minda Pembaca

Kawal pengambilan makanan, elak bergantung kepada suplemen

Terdapat banyak pandangan mengenai pengambilan makanan tambahan kesihatan atau suplemen. Ia bergantung kepada siapa anda ajukan soalan itu. Jika anda tanyakan kepada mereka yang menjualnya, tentu sahaja semuanya serba bagus dan baik. Namun, jika anda bertanya kepada doktor atau pakar perubatan, jawapannya tentu sahaja ia tidak memberi bantuan tambahan pun kepada kesihatan.

Sejak dahulu kita sudah pun mendengar mengenai pengambilan makanan tambahan ini. Banyak wakil jualan langsung yang membuat promosi kepada pengguna dengan pelbagai kaedah. Bukan hanya membuat ujian darah, ada juga memberi khidmat kesihatan percuma misalnya tilam yang kononnya berupaya menumbuhkan sel-sel baharu dalam tubuh atau stokin dengan keupayaan menyerap toksik.

Walaupun mungkin produknya berlainan, tetapi motifnya tetap sama. Mereka mencari rezeki dengan menjual produk sebegitu, malah sekarang ramai yang tampil dengan cogan kata seakan-akan menunggang agama. Tidak mengapa, kita ketepikan hal itu, apa yang lebih utama apakah sebenarnya kita perlu mengambil makanan tambahan ini?

Sebenarnya, mereka yang sihat tidak perlu mengambil makanan tambahan. Kebiasaannya makanan tambahan ini diambil oleh ibu mengandung atau wanita menyusukan bayi juga warga emas yang uzur. Malah pengambilan suplemen itu juga tidak pula dibuat sebarangan, sebaliknya atas nasihat doktor.

Mereka yang sihat sama ada lelaki atau perempuan tidak perlu mengambil sebarang makanan tambahan. Semua vitamin tambahan itu kita boleh peroleh daripada makanan yang dinikmati setiap hari. Berdasarkan panduan piramid makanan, anda bukan sahaja dapat memperoleh semua vitamin dan zat diperlukan, pada masa sama, boleh juga mengawal berat badan.

Mungkin ada yang berpendapat mematuhi amalan makanan seperti itu adalah hal remeh dan menyekat selera makan, tetapi ia tentu sahaja lebih baik berbanding mengambil makanan tambahan yang tidak diketahui sumbernya. Kita hanya akan tahu hasilnya dalam beberapa jangka waktu apabila didiagnos mengalami masalah buah pinggang misalnya.

Bukankah itu lebih sadis? Di Malaysia setiap hari, sekurang-kurangnya 10 penduduk didiagnosis mengalami kerosakan buah pinggang yang kronik atau berada pada peringkat lima (teruk) dan memerlukan rawatan dialisis. Tentu sahaja perkhabaran begitu jauh lebih buruk berbanding mengawal sendiri pengambilan makanan anda tanpa bantuan suplemen.

Ada juga mereka yang mengambil makanan tambahan ini sebagai kaedah merawati penyakit kronik misalnya diabetes, buah pinggang atau penyakit hati. Kadang kala keadaan kesihatan semasa mereka tidak begitu teruk, tetapi disebabkan pengambilan makanan tambahan itu mengakibatkan kesihatan mereka semakin merosot.

Ada penyakit yang belum ada ubat, makanlah sebanyak mana suplemen pun kesihatan anda tidak akan bertambah baik. Misalnya jika anda berhadapan masalah retinopati disebabkan diabetes ia membabitkan masalah saraf mata dan setakat ini belum ada ubat boleh menumbuhkan saraf mata rosak. Begitu juga masalah ginjal atau hati, apa yang boleh jadi penawar adalah penggantian organ.

Ada kala jurujual akan membuat promosi, 'ini cara kita berikhtiar, selain dapatkan juga rawatan doktor'. Kata-kata manis itu sayang sekali boleh menyebabkan keadaan kesihatan anda semakin teruk.

Ada kala penjual suplemen itu pun tidak ada latar belakang kesihatan dan dia juga bercakap berdasarkan apa yang diajar oleh pihak atasannya. Jadi, sebelum anda memutuskan untuk membeli makanan tambahan seperti itu, tingkatkan dahulu pengetahuan diri.

Pastikan produk yang anda beli itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan berhati-hatilah dengan produk yang tampil dengan dakwaan mampu memulihkan pelbagai jenis penyakit.

Bakal perawat,
Universiti Islam Antarabangsa

Related Article