Trending
Minda Pembaca

Lima peranan guru dalam pembugaran nilai sejahtera beri impak positif dukung hasrat kerajaan

Imam al- Ghazali dalam kitab karangannya, Ihya 'Ulum al-Din' menggariskan antara adab pelajar dalam menuntut ilmu adalah memuliakan guru lantaran saratnya ilmu dan kebijaksanaan yang memberikan manfaat kepada kehidupan anak murid.

Hal ini menjelaskan mulianya kedudukan guru di sisi agama. Kerjaya perguruan ini mempunyai nilai yang unik dan tersendiri. Menjadi guru bukan tugas mudah, sebaliknya menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi. Guru adalah orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak bangsa. Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, guru tidak akan jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

Justeru, tema sambutan Hari Guru tahun ini, 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera' adalah sangat unik dan bertepatan dengan perkembangan semasa dunia pendidikan di Malaysia ini. Sejahtera dalam konteks persekolahan adalah satu terma yang mengangkat penjiwaan amalan baik juga pembudayaan nilai murni, kemahiran dan sikap positif yang dibangunkan dalam diri murid.

Terdapat lima peranan guru yang diyakini mampu memberikan impak positif terhadap usaha mempersiapkan dan memperkemaskan diri bagi mendukung hasrat kerajaan dalam usaha pembugaran nilai sejahtera ini.

l Pertama, pembinaan kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi 'ensiklopedia bergerak' yang dijadikan sumber rujukan di dalam bidang masing-masing.

l Kedua, nilai kepemimpinan berwibawa pula perlulah diadun sebaiknya berasaskan ajaran agama Islam dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi suri teladan kepada anak muridnya.

l Ketiga, guru berperanan menunjukkan kemurnian akhlak dan budi pekertinya untuk menjadi ikutan juga panduan buat murid. Bukanlah bermaksud guru perlu bersifat hipokrit menunjukkan dirinya baik seperti malaikat. Namun, akhlak mulia itu perlu ditanam dan disuburkan sebaiknya dalam diri, supaya tidaklah ada orang yang akan mengungkap peribahasa 'kalau guru kencing berdiri, anak murid pula kencing berlari'.

l Keempat dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar juga polisi pendidikan baharu adalah contoh perubahan yang tidak boleh tidak perlu dihadapi serta ditangani oleh guru sebaiknya.

Jika guru terus mahu berada pada takuk yang lama, maka dirinya akan menjadi ketinggalan dan tidak relevan di mata anak murid, bahkan di mata masyarakat. Selain itu, konsep negara bangsa kelak hanya akan menjadi sesuatu yang retorik dek kerana seseorang guru itu tidak hadam dengan perkembangan dan perubahan teknologi semasa.

l Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Untuk itu, dalam usaha membentuk jati diri dan kesejahteraan dalam kalangan anak murid, seorang guru itu perlu memikirkan apakah agaknya martabat keguruan yang ingin ditonjolkan dalam kerjaya mereka.

Sesungguhnya, peranan guru sangat signifikan, penting dan relevan kerana mereka sangat dekat dengan jiwa anak bangsa. Untuk negara mencapai tahap kemajuan berperadaban tinggi dan bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri, negara memerlukan strategi serta pelan pembangunan yang baharu mengikut kesesuaian zaman dan masa.

Di sinilah daya upaya guru sebagai ejen perubahan yang berkesan perlu diarusperdanakan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata, tetapi ia harus seiring dengan pendidikan serta pembangunan spiritual serata rohani setiap isi rakyat di Malaysia supaya kemajuan dapat dicapai dan dinikmati generasi akan datang.

Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Related Article