Trending
Minda Pembaca

Henti jadikan maki hamun, lawak lucah suatu kebiasaan

Jika kita perhatikan kebelakangan ini terdapat segelintir ahli masyarakat yang cuba menormalisasikan perbuatan mencarut, memaki hamun malah melucah dalam lawak jenaka. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan masyarakat umum, sebaliknya sangat mendukacitakan ia turut menjadi sebahagian daripada isi ceramah oleh segelintir pendakwah.

Hal ini tidak sepatutnya terjadi lebih-lebih lagi perkataan itu keluar daripada mulut seorang ustaz yang sering menjadi rujukan dan contoh teladan kepada masyarakat. Sepatutnya, sebagai manusia dengan akal waras kita mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Ini termasuklah dalam soal kita memilih perkataan atau ungkapan yang baik ketika berkata-kata.

Pemilihan perkataan baik dan bijak juga perlu dibuat supaya kita tidak membawa fitnah terhadap ajaran Islam yang melarang penganutnya menuturkan perkataan buruk dan keji. Sekalipun kita mahu berkongsi pandangan, maka tuturkanlah dengan bahasa yang baik atau jika tidak baguslah berdiam diri sahaja.

Mengungkap perkataan buruk dan keji bukanlah suatu hal yang boleh dianggap 'normal' dalam masyarakat. Sekiranya kita bantah dan tidak setuju dengan mereka yang cuba menormalisasikan budaya lucah dalam lawak dan sebagainya, maka kita juga perlu mengambil sikap dan pendirian yang sama membantah dan menolak budaya mencarut atau mengungkap perkataan buruk serta keji. Sebagai seorang yang beriman, seharusnya kita sedaya upaya memastikan supaya lidah selamat daripada bercakap hal buruk dan keji.

Tanggapan bahawa perkataan lucah adalah bahasa biasa bagi masyarakat setempat adalah cubaan untuk menghalalkan hal yang sedemikian. Usaha ini juga secara tidak langsung akan mendidik masyarakat melazimi menyebut perkataan yang buruk lagi keji sedangkan Allah SWT tidak menyukai perkataan yang buruk dan keji.

Dalam hal ini, Baginda Nabi SAW mengingatkan kita seperti yang terdapat dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

"Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam".

Segelintir manusia tidak sedar akan besarnya kesan daripada apa yang diungkapkan. Sikap tidak berhati-hati ketika bercakap, bertutur berdasarkan sentimen dan emosi, semua ini bakal membakar diri sendiri akibat keterlanjuran lidah. Barangkali di dunia kita boleh berikan seribu satu alasan bagi menghalalkan perbuatan itu, namun di akhirat kelak, kita akan dilondehkan oleh Allah SWT.

Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha untuk menjaga dan memelihara lidah daripada menuturkan perkara yang buruk dan keji. Sekalipun perkataan itu dianggap biasa oleh sebahagian ahli masyarakat, jangan kita jadikan ia sebagai rutin kebiasaan dalam kehidupan. Nikmat lidah tidak bertulang ini ada kalanya lebih berbahaya daripada pisau yang tajam. Pisau yang tajam, zahirnya menakutkan. Namun lidah tidak bertulang, tanpa sedar banyak dosa dilakukan.

Muhammad Faidhi Azis,
Hidayah Foundation Negeri Perlis

Related Article