Trending
Minda Pembaca

Perkasa latihan mekanisasi tangani isu tenaga kerja sektor ladang

Industri kelapa sawit menyumbang RM48.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020. Angka itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan yang disumbangkan sektor perladangan dan komoditi iaitu sebanyak RM85.1 bilion.

Namun, sejak COVID-19 melanda pada akhir 2019 sektor penting ini berhadapan masalah kekurangan tenaga buruh asing yang sangat kritikal. Ia kesan daripada langkah pembekuan pengambilan tenaga kerja asing.

Menurut Laporan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), sektor perladangan memerlukan 72,000 tenaga kerja bagi mengatasi masalah ini. Isu kekurangan pekerja memberikan kesan negatif apabila negara selaku pemain industri sukar memenuhi permintaan tinggi terhadap minyak sawit.

Tahun lalu, produktiviti pengeluaran minyak sawit juga jatuh ke titik paling rendah dalam tempoh lima tahun. Selain itu, kerajaan berhadapan kerugian besar dari segi pungutan cukai yang dianggarkan RM2 bilion pada 2020.

Malah, ketika permintaan minyak kelapa sawit meningkat susulan krisis Russia-Ukraine, negara pengeluar utama minyak bunga matahari, kita juga gagal mengambil peluang.

Begitu juga apabila baru-baru ini Indonesia henti sementara eksport minyak sawit ke pasaran dunia bertujuan memastikan bekalan dan harga mampu beli minyak masak di pasaran domestik.

Logiknya, dua situasi itu harus digunakan sebaik-nya bagi mengembangkan industri sawit Malaysia. Statistik menunjukkan Malaysia mampu memperoleh impak positif susulan larangan eksport Indonesia itu.

Namun, kekurangan tenaga buruh yang kritikal menyebabkan kita sukar memenuhi permintaan tinggi ini. Bagi menangani isu ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) bagi memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Kesungguhan kerajaan ini dibuktikan dengan memperuntukkan RM30 juta melalui geran padanan dalam Bajet 2021 bagi menyokong aktiviti MARCOP, manakala pihak industri menyumbang RM30 juta melalui kutipan ses Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pengkomersilan teknologi mekanisasi.

Kaedah pelaksanaan ini dapat mengurangkan sehingga 40 peratus kebergantungan terhadap tenaga buruh asing terutamanya dalam operasi penuaian. Selain itu kerajaan juga perlu memberi tumpuan lebih teliti bagi memperkasakan program latihan untuk belia berkaitan mekanisasi. Semestinya bagi menarik minat pasaran buruh domestik, insentif yang menarik bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor perladangan.

Isu global mengenai kekurangan pekerja ini menjadi faktor penolak untuk Malaysia mendominasi sebagai pengeksport minyak sawit terbesar. Kekangan ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada ekonomi sektor perladangan ini. Justeru, agensi berkaitan perlulah menguruskan sebaiknya isu tenaga kerja asing ini termasuk melakukan pengstrukturan semula tugas dan skop keperluan. Hal ini penting bagi memberi peluang kerjasama pintar menaikkan semula kebolehupayaan sektor perladangan kelapa sawit di Malaysia.

Aidi Azhar Alias,
UiTM Johor

Related Article