Trending
Minda Pembaca

Langkah konservasi sistematik kekalkan populasi belangkas

Belangkas adalah haiwan purba yang sudah wujud sejak jutaan tahun dahulu. Walaupun memiliki rupa bentuk yang agak menakutkan, ia mempunyai pelbagai kelebihan bagi membantu manusia terutama dalam bidang perubatan moden.

Haiwan marin yang tidak mempunyai tulang belakang itu (invertebrate) sering dilihat berpasangan yang mana belangkas betina bersaiz lebih besar daripada belangkas jantan. Malah, mungkin tabiat belangkas yang begitu memberi idea kepada peribahasa, 'berkepit macam belangkas'.

Terdapat empat jenis belangkas di dunia, namun hanya tiga spesies yang boleh didapati di perairan Malaysia, iaitu Belangkas Paya Bakau (Carsinoscorpius rotundicauda), Belangkas Pantai/Laut (Tachypleus gigas) dan Belangkas Borneo (Tachypleus tridentatus), sementara satu lagi spesies belangkas iaitu Limulus poliphemus boleh ditemui di Amerika Utara.

Walaupun haiwan itu sebenarnya tidaklah mudah untuk ditemui, ia tetap menjadi sasaran kepada mereka yang gemarkan makanan eksotik. Belangkas bukanlah seperti ketam, ia sebenarnya tidak mempunyai bahagian yang boleh dimakan pun, tetapi bagi penggemar makanan eksotik mereka memburu belangkas kerana ingin menikmati telurnya.

Permintaan yang sangat tinggi di pasaran antarabangsa menyebabkan belangkas sering menjadi buruan dan mengakibatkan jumlahnya semakin berkurangan. Antara negara yang memiliki permintaan tinggi terhadap belangkas termasuklah Thailand.

Belangkas akan mengawan pada bulan penuh, namun ia mengambil masa yang lama untuk matang sebelum mampu berbuat demikian, iaitu kira-kira 10 tahun. Justeru, mengambil masa yang panjang sebelum mampu bertelur, langkah konservasi yang sistematik perlu dibuat bagi mengekalkan populasi belangkas di negara kita.

Sebenarnya, banyak lagi yang tidak kita ketahui mengenai belangkas terutama mengenai keupayaannya menyumbang dalam bidang farmasuetikal. Misalnya, kita sering dimomokkan belangkas berdarah biru. Sebenarnya maklumat ini salah.

Menurut Pakar Kajian Marin dan Mikrobiologi, Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr Noraznawati Ismail, darah belangkas bukan biru, sebaliknya tidak berwarna langsung.

Warna biru itu katanya, terjadi disebabkan berlakunya pengoksidaan dan juga kuprum yang terdapat dalam darah belangkas yang bertindak balas. Hal itu menjadikan warna darah haiwan itu bertukar biru.

Dari segi perubatan, darah belangkas digunakan dengan secara meluas bagi penghasilan pengesan endotoksin yang dikenali sebagai LAL/TAL Kit (Rapid Endotoxin Detection Kit). Ia berfungsi untuk mengesan pencemaran endotoksin di dalam ubat-ubatan sebagai bahan suntikan dan implan.

Disebabkan fungsi besarnya dalam industri perubatan dan tempoh kematangannya yang lambat serta kekerapan ia diburu oleh penggemar makanan eksotik, populasi belangkas seharusnya diselia sebaiknya bagi memastikan ia tidak dipersia-siakan.

Justeru, beberapa inisiatif bagi menyelia populasi belangkas sudah dibuat antaranya dengan membabitkan komuniti setempat dalam projek pemuliharaan belangkas. Ia membabitkan perkongsian ilmu berkaitan haiwan itu seperti dilakukan di Kemaman membabitkan sekumpulan nelayan.

Tapak projek itu turut menjadikan lokasi pemeliharaan belangkas sebagai destinasi kunjungan pelancong, selain berperanan menanam kesedaran masyarakat umum mengenai fungsi belangkas serta manfaatnya kepada manusia.

Amirul Salam Hasan,
Universiti Malaysia Terengganu

Related Article