Trending
Minda Pembaca

Bijak urus masa antara belajar, kerja sambilan

Dewasa ini bekerja sambilan bukan lagi perkara yang asing, terutama dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia. Kos sara hidup yang semakin meningkat mendorong segelintir pelajar bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.

Kerja sambilan yang dilakukan ketika di universiti dilihat bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman berkerja, tetapi turut mengisi masa lapang selain memperoleh pendapatan sampingan.

Kebanyakan pelajar memilih bekerja sambilan kerana biasiswa atau pinjaman yang diterima tidak mencukupi untuk membiayai yuran pengajian serta perbelanjaan sara diri.

Jika dahulu pekerjaan dalam sektor restoran makanan segera, juruwang di pasar raya ataupun jurujual menjadi pilihan, kini mereka memilih dropship atau ejen untuk menjual sesuatu produk secara dalam talian. Menjadi ejen jualan kepada sesuatu produk dilihat lebih fleksibel dan menguntungkan jadi ia mudah dilakukan oleh mahasiswa. Ia senang dikendalikan dan tidak mengganggu pengajian kerana pekerjaan itu berlaku dalam talian. Apatah lagi sememangnya gajet atau 'hidup dalam talian' sudah menjadi lumrah bagi kebanyakan pelajar hari ini.

Pekerjaan sambilan itu juga dilakukan atas faktor latar belakang keluarga. Misalnya ada pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Justeru, bekerja sambil belajar amat perlu bagi menampung kos sara hidup, termasuk perbelanjaan harian, makanan, buku rujukan, sewa rumah dan yuran pengajian.

Jika kita lihat dari kaca mata yang lebih besar, kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata tidak semestinya menjadi penentu masa depan cerah pada masa hadapan, tetapi perlu dilihat juga aspek kemahiran insaniah dalam diri pelajar itu.

Oleh yang demikian, kebanyakan pelajar mula melakukan kerja sambilan bagi meningkatkan kemahiran insaniah dari aspek kepemimpinan, komunikasi, keusahawanan, pemikiran kritikal dan sebagainya. Ia juga sebagai prospek dan pasaran pekerjaan pada masa hadapan.

Namun, harus diingatkan, akademik tetap menjadi keutamaan kepada pelajar. Kecemerlangan prestasi akademik adalah fokus setiap pelajar. Walaupun ada pelajar yang bekerja untuk mengisi masa terluang, jangan bertindak lebih mengutamakan kerja sehingga sanggup mengabaikan waktu kuliah dan peperiksaan. Justeru, pelajar harus pandai dalam menguruskan masa antara belajar dan berkerja sambilan.

Selain itu bagi pihak institut pengajian tinggi pula mungkin boleh bertoleransi membantu pelajar terutama mereka yang perlu bekerja sambilan bagi membayar yuran pengajian. Dalam hal ini, peluang perniagaan dalam premis pengajian mungkin boleh dipertimbangkan bagi memudahkan pelajar tanpa perlu mencari pekerjaan di luar.

Anis Suraiya Mohd Kamal,

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Related Article