Trending
Minda Pembaca

Sekatan ke atas Telegram wajar

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, sebanyak 71,833 kes jenayah komersial dilapor membabitkan nilai kerugian berjumlah RM5.2 bilion sepanjang 2020 hingga Mei 2022.

Daripada jumlah itu, sebanyak 48,850 kes atau 68 peratus adalah jenayah penipuan dalam talian dan bagi tempoh sama, sejumlah 26,213 kes yang dilaporkan itu sudah didakwa di mahkamah.

Angka yang besar ini perlu diberi perhatian dalam memastikan ia dapat dikawal sebaiknya. Hal ini bagi mengelakkan orang awam terjebak atau terpedaya dengan jenayah penipuan dalam talian.

Menurut e-majalah keselamatan siber, Cybercrime Magazine, jumlah kerugian di seluruh dunia akibat jenayah jenayah penipuan dalam talian dijangkakan bernilai lebih USD10 trilion (RM47.5 trilion) setiap tahun menjelang 2025.

Pendapatan jenayah yang lumayan ini menyemarakkan lagi kegiatan di pasaran gelap siber, terutama dalam kalangan kumpulan jenayah terancang untuk merekrut pengatur cara bagi menghasilkan aplikasi lebih canggih dan sukar dikesan oleh antivirus ataupun sistem keselamatan aplikasi.

Jenayah penipuan dalam talian ini merangkumi beberapa kategori utama. Antaranya ialah penipuan jual beli di dalam talian iaitu pembeli yang langsung tidak menerima barang dipesan atau menerima item berlainan.

Seterusnya ialah pencerobohan siber yang menyaksikan kebanyakan mangsa terjerat apabila aplikasi itu dimuat turun daripada fail yang dihantar menerusi aplikasi mesej seperti Telegram. Satu kategori lain ialah sindiket Macau Scam, manakala dalam kalangan organisasi mereka berhadapan dengan 'ransomware', iaitu meminta duit tebusan untuk mendapatkan kembali data yang dicuri.

Dalam satu kaji selidik yang dijalankan pada 2022, sebanyak 79 peratus responden dari Malaysia mengakui mereka diserang ransomware dan 39 peratus daripada mereka bersetuju untuk membuat bayaran bagi mendapatkan kembali data yang dicuri.

Organisasi dari Malaysia berada dalam senarai 10 kelompok tertinggi di dunia membuat bayaran tebusan ransomware selain Singapura dan Filipina.

Umumnya, aktiviti jenayah yang dilakukan di alam siber majoritinya berpunca daripada salah guna satu ciri alam siber, iaitu 'anonymity' atau ghaib tanpa nama. Anggapan bahawa pelaku jenayah dapat menyembunyikan diri dari dikesan oleh pihak berkuasa menjadikan alam siber sebagai medium pilihan pelaku jenayah, terutamanya jenayah rentas sempadan.

Beberapa negara di dunia yang menyedari ancaman ini sudah menyiapkan undang-undang memerlukan pihak pengendali perkhidmatan supaya menyimpan rekod pengguna supaya ia boleh diserahkan kepada pihak berkuasa apabila laporan jenayah difailkan untuk mendapatkan maklumat diperlukan.

Indonesia pernah menutup akses kepada aplikasi Telegram pada 2017 kerana terlalu banyak mesej yang bersifat ancaman kepada keselamatannya. Mac lalu, Brazil juga pernah menutup akses kepada Telegram kerana mengingkari perintah mahkamah yang memerintahkan ia memadamkan mesej sulit negara.

Di Malaysia pula, Telegram banyak diguna pakai oleh penipu alam siber untuk menawarkan pelbagai penipuan skim pelaburan atau pinjaman. Telegram juga antara pentas utama untuk penipu alam siber mengedarkan fail aplikasi bagi tujuan penggodaman telefon pintar.

Konsep ghaib tanpa nama di alam siber ini tidak harus disamakan dengan kebebasan berekspresi. Kebebasan berekspresi ialah ruang untuk menyatakan pendapat tanpa implikasi undang-undang yang disalah guna untuk menutup mulut pembicara, ia tidak membelakangkan akauntabiliti.

Jika sekiranya melanggar undang-undang, maka mahkamah berhak menentukan sama ada sudah berlaku pelanggaran keadilan ataupun tidak.

Justeru, pihak penyedia perkhidmatan perlu mewajibkan pihak yang ingin berniaga di dalam talian merekodkan butiran peribadi dan organisasi mereka. Hal ini bagi membantu untuk membezakan antara peniaga yang tulen ataupun golongan penipu.

Selain itu, jika sekiranya maklumat tambahan disertakan di dalam setiap komunikasi (mesej atau panggilan) sama ada ia bersumberkan panggilan dari dalam negara ataupun luar negara, maklumat tambahan itu dapat membantu penerima panggilan supaya lebih berhati-hati. Terutama jika panggilan itu datangnya dari luar negara.

Sehubungan itu, dari sudut jenayah penipuan dalam talian, saya bersetuju dengan saranan Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff, baru-baru ini supaya kerajaan menutup sementara aplikasi Telegram bagi memaksa pemiliknya mewujudkan prosedur ketat bagi menghalang ia disalahgunakan.

Jika Telegram mahu beroperasi di Malaysia ia haruslah menghormati undang-undang kita. Ia perlu meletakkan server yang boleh diakses oleh pihak keselamatan seperti polis juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi membolehkan pesalah dicari dan dikenakan tindakan. Jika Indonesia dan Brazil boleh melakukannya dengan serius, mengapa tidak kita?

Pembangun perisian bebas