Trending
Sastera

Dari puncak Itaewon

Suhu jatuh di bawah paras beku pagi itu, sementelahan angin bertiup tanpa nuraga pada warga Incheon. Selesai menyarung kot tebal dan melilit mafela, bergegas kuhidupkan enjin.

Destinasiku pagi itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Di situlah kulepaskan Min Ah merantau ke luar negara beberapa tahun yang lalu (supaya dia menguasai bahasa Inggeris dan pulang sebagai graduan rebutan konglomerat).

"Annyeonghasaeyo!" Seorang gadis menegur. "Saya ada buat tempahan. Ini," ujarnya seraya mengunjukkan telefon bimbit. Bahasa Koreanya fasih sekali. Usai pengesahan, bagasi diambil lalu kumasukkan ke bonet. Pemanas udara diaktifkan ke tahap maksima. Cermin sisi dan pandang belakang kubetulkan, sebelum teksi orenku menjalar membelah kedinginan bandar Incheon.

Selesai menurunkan penumpang di pintu gerbang Universiti Inha, aku singgah ke gerai kegemaranku. Jaraknya sekitar 10 minit berjalan kaki dari universiti. Menikmati kimbab, secawan teh hijau hangat tanpa gula, juga sepiring kecil hirisan kimchi memang rutinku sejak dahulu. Kalau tidak sempat di rumah, di gerai itulah aku bersarapan bersama Min Ah setiap kali. Jadual kerjaku yang padat sering menjadi kerisauan Min Ah. Namun tidaklah menghairankan, di tempat kami wanita pertengahan usia sepertiku sudah biasa melakukan pekerjaan yang dimonopoli kaum lelaki. Aku melihat sendiri bagaimana ibu, nenekku membanting tulang empat kerat, semasa dan pasca peperangan. Kejanggalan itu menjadi kebiasaan.

Tengah hari itu, aku sengaja tiba awal di pejabat perunding harta tanah. Aku diberitahu, ada penyewa baharu mahu melihat-lihat unit di tingkat dua. Unit lain semuanya kusewakan kepada beberapa pelajar dari Busan dan Daegu musim luruh yang lepas. Sambil-sambil, seuncang teh hijau kuambil dari kotaknya yang tersedia di atas mesin penapis air, lalu kucelup ke dalam secawan air hangat.

Dentingan loceng pintu mencuri perhatianku.

Gadis tadi! Kata-kata itu tersekat di kerongkong, dan aku kembali menelannya tidak jadi meluahkan. Bersama gadis itu, seorang lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai universiti. Aku diperkenalkan, inilah dia bakal penyewa unit di tingkat atas. "Nama saya Siti Aminah Binti Mazlan, pelajar Malaysia. Boleh panggil saya Mina lebih mudah. Puan yang pandu teksi tadi, kan?"

Soalan itu hanya berbalas anggukan kerana curiga mula menguasaiku. Seluruh Korea tahu bahawa pengganas Islamlah yang sering meletupkan bom berani mati. Beberapa bulan yang lepas heboh di televisyen melaporkan di Tel Aviv kumpulan pengganas Islam melancarkan roket ke arah orang awam, manakala orang Islam di sana bertindak ganas melempar batu terhadap tentera Israel yang bertugas menjaga keamanan. Bagaimana kalau rumah tiga tingkat itu nanti dijadikan sarang pengganas? Bagaimana kalau bahan letupan disembunyikan di sebalik baju besar dan selubung kepala mereka?

Pernah kusuarakan kebimbangan yang sama kepada Min Ah. Ada sekali, tidak lelap tidurku memikirkan gambar yang dihantar Min Ah, erat dia berpelukan dengan rakan perempuannya yang berselubung seperti Mina. Min Ah merajuk lama.

Perbincangan panjang kami dua beranak berakhir dengan persetujuanku untuk menerima para pelajar itu menetap di rumah sewaku.

Namun pada suatu malam, apa yang paling kutakutkan menjadi nyata! Jantungku mula merusuh, detakannya satu-satu terdengar di telinga. Kulihat kasut-kasut bersusun penuh di depan pintu. Tanganku sudah di ambang pintu mahu mengetuk, namun lekas teringat telefon yang tertinggal di bilik. Sekiranya ada tanda-tanda berlakunya perancangan aktiviti keganasan, aku harus lekas menghubungi polis. Dengan segugus kunci di tangan dan telefon dalam mod sedia, barulah aku naik semula ke tingkat atas.

"Makcik cari kami?" Hampir sahaja luruh jantungku apabila Mina entah dari mana menyapa dari belakang. Mina kemudiannya membukakan pintu. Bulu romaku merinding melihat beberapa biarawati berpakaian putih, semuanya menghadap ke dinding, berdiri sebelah-menyebelah seperti tentera dalam barisan.

"Kawan-kawan saya sedang sembahyang," ujar Mina.

"Kamu Kristian, bukan Islam?" Pertanyaanku itu disambut dengan senyuman manis Mina. Tapi mustahil juga Kristian, aku pasti itu kerana belum pernah kunampak upacara sembahyang seperti itu di gereja yang kuhadiri setiap Ahad.

"Makcik makan dulu. Kami ada masak nasi Malaysia." Terus kulupa alasan ziarahku malam itu kononnya mahu memeriksa dapur gas. Mataku ralit, seperti terpaku memerhati pergerakan sembahyang yang aneh itu. Di sela-sela itu, bau lemak harum mengganggu tumpuanku. Entah bila pula terhidang nasi panas yang masih berasap tipis, ikan bilis goreng, telur rebus, hirisan timun dan sedikit gochujang di hadapanku. Memang aku lapar benar, seharian belum sempat menjamah apapun. Hari itu jadual tripku penuh berikutan Kejohanan Sukan Paralimpik Musim Sejuk.

Beberapa minit kemudian, mereka mula menanggalkan pakaian biarawati. Hah, ada rambut rupanya! Itulah pertama kali aku tahu, mereka berselubung bukan kerana tiada rambut. Dadaku terasa sedikit ringan dan lapang, seperti kapas-kapas yang diasingkan dari sarungnya, kemudian dipintal-pintal sebelum ditenun menjadi kain.

Pun begitu, peristiwa itu belum sepenuhnya membunuh kecurigaan di dalam hati. Terkadang nubariku dipagut keliru, yang kedengaran di corong radio dan televisyen nyata terlalu berbeza dengan yang kenampakan dengan mata kepalaku sendiri.

Suatu petang, kusuarakan perkara itu kepada Mina. "Biasa kalau mak cik demam, tak ada siapa yang teman, Mina. Anak mak cik jauh." Ah, basah pula kolam mataku ketika itu. Badanku memang akan lenguh-lenguh begini ketika pertukaran musim.

"Mak cik tahu kamu dan kawan-kawan orang baik. Tetapi kenapa Islam selalu dikaitkan dengan keganasan?" Mina tidak terus menjawab, dia menyuakan ubat dan air.

"Takkanlah Islam yang menyuruh saya berbuat baik dengan mak cik, agama pengganas pula?" Mina tersenyum manis. Senyuman Mina sedikit sebanyak menghembus tenang ke atmaku.

Mina kemudian menyelimutkanku dan menyambung ulangkaji, katanya dia perlukan latihan tambahan kerana sedikit sukar memahami kelas kejuruteraan yang sepenuhnya diajar dalam Bahasa Korea. Entah bila kuterlelap, terjaga sahaja kulihat bekas bubur sudah berganti yang baharu, dan nota kecil – semoga cepat sembuh!

Hari lainnya rakan serumah Mina, Ayla pula datang menziarah. Dibawanya buah epal, buah kegemaranku. Kulit epal dikupas kemudian disuakan kepadaku. Ah, kawan-kawan yang sering berkumpul menjeruk kimchi pun tidak datang menziarah. Aku perlahan bangkit dari pembaringan, mengajak Ayla duduk di sebelah. Kutenung seraut wajah gadis itu. "Ada sesiapa memaksa kamu menutup kepala?" Pertanyaanku itu bernada prihatin, kerana kusangka gadis-gadis ini terjerat dalam kongkongan budaya diskriminasi.

"Tidak, mak cik. Kami semua memakainya dengan penuh sedar dan rela." Aku kemudian melurutkan tangan menyentuh lembut kepala Ayla, seperti yang selalu kulakukan pada Min Ah. "Keluarga kamu bukannya ada di sini. Kalau kamu tanggalkanpun mereka tak tahu. Tak perlu takut, di sini kamu sudah bebas menzahirkan kemahuan sebenarmu." Aku menepuk perlahan bahu gadis itu, tanda sokongan.

"Ayla tahu mak cik pelik, tetapi tudung kepala ini adalah identiti kami sebagai perempuan Islam." Aku mengiyakan meskipun belum sepenuhnya boleh kuterima justifikasi itu.

Setelah beransur pulih dari lenguh badan, aku mengajak mereka makan di luar. Aku tahu mereka tidak makan di kedai sembarangan. Aku juga tahu mereka hanya makan daging yang disembelih oleh orang Islam. Lalu aku membuat carian di Naver dan menemukan beberapa restoran Korea yang halal (baru sahaja kubelajar tentang halal daripada Mina, selepas kugesa mereka jamah jjajangmyeon yang kumasak tempoh hari).

Hujung minggu itu, kami berlima bertolak ke pekan Itaewon. Sengaja kupilih menaiki jihachol, kerana rasanya sudah lebih 20 tahun tidak berhimpit-himpit di dalam kenderaan awam itu. Baru kusedar, banyak mata sedang memerhati. Sepertiku juga pada suatu ketika dahulu, penuh tanda tanya dan curiga.

Perjalanan hampir dua jam itu kunikmati sebaiknya. Menghampiri Seoul, kelihatanlah bangunan-bangunan tinggi awan larat. Jihacheol kemudian merayap melintasi Sungai Han melalui jambatan laluan keretapi. Aku tidak pernah mengira jumlah tepat jambatan yang tergantung merentasi sungai itu, tetapi yang kenampakan memang banyak. Kami kemudian turun di Stesen Seoul lalu menaiki bas biru 110B menuju ke pekan Itaewon.

"Sebenarnya saya memang suka jjajangmyeon." Semangkuk besar mi kicap terhidang di hadapan Mina. "Yang ini boleh makan sebab daging dan sosnya halal." Mina terus menyedut mi dengan rakus, hingga terpercik kuah hitam ke tudung (juga baru kutahu, kain penutup kepala itu dipanggil tudung). Alya dan yang lain masing-masing berselera sekali menikmati dakgalbi, kimchi chigae dan jjimdak. "Kalau begitu, nanti mak cik masakkan guna ayam dan daging halal, perencah dan sosnya juga." Entah bila rasa kasihku kepada mereka mula mekar, seperti kelopak Maehwa pada musim bunga yang baru tiba.

Kami menapak laluan berbukit menuju ke puncak Itaewon. Beria-ia Mina mengajak, setidak-tidaknya untuk bergambar di hadapan satu-satunya masjid di Seoul katanya. Mina dan yang lain sudah masuk ke dalam masjid. Lalu aku pun segera mendekati kumpulan berdekatan yang sedang rancak berbual. Janggal sekali rasanya melihat seorang gadis tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Bora di hadapanku ini, bercerita tentang Islam kepada pengunjung warga tempatan yang hadir. Kalau Bora itu warga asing, pasti lebih mudah akalku mencerna.

"Pembinaan masjid di tengah-tengah Seoul sesuatu yang menakjubkan. Sekitar tahun 1976 masjid ini siap pembinaannya di atas tanah yang dianugerahkan oleh bekas presiden kita, Tuan Park Chung Hee. Dengan bantuan Arab Saudi, juga negara-negara Islam lain seperti Malaysia dan Turki masjid ini berjaya dibuka kepada umum."

Persoalan yang bermain di fikiranku ketika itu berebut-rebut meminta jawapan. Aku segera mendekati. Kami kemudiannya duduk di bilik tetamu. Bertemankan dua cawan kopi kosong hangat, Bora mula bercerita tentang kisah penghijrahannya menjadi Muslim. Sesungguhnya, itulah kali pertama aku bertentang mata dengan orang tempatan yang menganut Islam. Rupa-rupanya restoran halal yang kami singgah tadi diusahakan oleh keluarga Bora. Ya, seluruh ahli keluarganya sudah menganut Islam! Agama apakah ini yang begitu mudah sekali memukau sekalian manusia?

Katanya ketika itu seluruh dunia digemparkan dengan penculikan seorang warganegara Korea di Afghanistan. Masjid Itaewon dibanjiri pemprotes yang melaungkan slogan anti-Islam. Lebih parah masjid ini juga menerima ugutan bom hingga pihak polis terpaksa berkawal di pintu gerbang. Bertitik tolak daripada kejadian itu, Bora nekad mencari jawapan.

"Mempercayai sesuatu berita itu dengan hanya mendengarkan dari satu sumber membuatkan ramai di Korea ini mempunyai konotasi buruk terhadap Islam. Itulah juga yang saya percaya, sebelum saya menyelidiki setiap tuduhan itu dengan teliti satu persatu. Lewat internet saya menemukan kebenaran terhadap tuduhan-tuduhan berat sebelah, dan di masjid ini saya bertemu Islam yang sempurna. Laungan mengatakan Islam mengongkong wanita sama sekali tidak benar. Bahkan dalam agama ini saya merasakan kebebasan sebenar yang tidak ditemukan sebelum ini. Di tengah masyarakat individualisme, kegembiraan dan ketenangan saya sukar sekali digambarkan dengan kata."

Kebetulan usai pertemuan itu, berkumandang lagu yang sering sayup-sayup kedengaran dari rumah Mina. "Itu bacaan kitab suci al-Quran," terang Bora. "Sekejap lagi akan masuk waktu sembahyang, lepas itu kita boleh bertemu Imam untuk merungkai segala kekeliruan puan." Aku pun menapak keluar ke dataran sambil melayari internet seperti yang dicadangkan Bora.

Entah angin apa yang meniupkan sayu rayu di hati ketika itu. Entah manah apalah yang menerbitkan butir jernih di kelopak mata. Aku sedar aku sebenarnya telah lama hidup dalam kepompong prejudis, telah dibutakan dari melihat hakikat. Aku segera duduk di kerusi sebelah pondok pengawal, cuba menjernihkan semula akalku yang telah lama bersarang gumpalan prasangka.

Sekuntum Maehwa jatuh ke riba apabila bayu bersilir-silir. Bunga putih kelopak lima itu seperti memanggilku mencari makna sebenar kemuliaan diri. Aku pandang sepotong perkataan yang diapit dua menara tinggi, dan tangga berlapis menuju ke dewan sembahyang di hadapanku. Seni bina Masjid Itaewon tunak memukau mataku dengan keindahannya. Hari itu di puncak Itaewon, telah kutemui sekuntum kebenaran yang mekar mewangi.

Pengarang pemula ini berasal dari Kedah dan giat belajar dan menulis cerpen.