Trending
Sastera

Relung Relung Sepi

Dia mencari dirinya, antara kabut dan sepi. Sepi masuk menyeluruh diri. Sepi itu juga yang mengemuli bicara hati. Mengemuli mata, akal, hingga ke kelonsong-kelongsong urat nadi. Sepi menggugah diri mencari apakah cerita buat hari ini. Dia diam sejak beberapa hari kerana tidak mampu lebih berkata-kata seperti mana biasa. Bibir bagaikan liang-liang tanah yang terus sepi.

Zakaria melihat segalanya, di luar sana semua manusia dalam kepentingan masing-masing. Apa yang dapat dibundarkan, jika perlu terus saja dibundarkan. Sekalipun menggugat kewujudan keseimbangan dalam diri manusia.

Lebih seminggu rasanya panas memanjang. Malam tadi, hujan memecah ruang. Tidak juga mengurangkan sepi. Malah memekatkan sepi. Sepi tidak keluar sendiri. Lebih senang dalam uzlah sebegini. Diam. Diam yang sederhana selalu. Sepi yang tidak terempunya selalu.

Seperti biasa dia merasai dirinya tidak mahu keluar. Kesepian di dalam lebih mengunci. Semangat berwisata itu hampir tapi bersembunyi, sambil berkeliaran dalam diri. Wisata sepi yang benar-benar mendekatkan, menghampirkan. Kedekatan ini perlu.

Dia tidak mahu ke mana-mana. Ruang sepi tetap ada. Kesepian yang tanpa suara. Sesekali hujan melewati ruang, membataskan pandangan. Membuatkan diri terpendam dalam diri. Bukan kehendak hujan. Bukan kemahuan sesiapa.

Diarinya dicatat seperti kanak-kanak yang semakin bosan melukis lukisan. Gambar apa pula hendak dilukis? Soalnya pada diri, tapi dengan frasa sedikit berbeza nadanya; "cerita apa yang hendak dicatatkan?".

Jalan lengang sampai lewat siang. Diri turun sesekali untuk merasakan kenyataan yang masih berpijak. Selain menghirup suasana yang berlegaran dalam keanehan. Menyapa jiran dan rakan. Alhamdulillah semuanya baik, walau sela-sela waktu berita yang agak memegang waktu tiba. Sepupu dimasukkan ke wad untuk rawatan penyakit wabak di tahap empat yang baru saja diberitahu kepadanya. Dia hanya berdoa dan mengucap sabar kepada ahli keluarga yang terdekat itu.

"Bukan lagi misteri untuk sesiapa. Ajal dan hidup saling bertemali".

Jika sepi begini, dalam runut bunyi yang sangat perlahan, dia pula tidak mampu bercerita apa-apa lagi untuk diari hari ini.

Sepi, itu saja yang mahu diejanya sekarang. Pun begitu, dia mencari suara peribadi yang merangsang untuk tidak terus membalut masa, agar tidak terlalu vakum.

Rupa-rupanya sepupunya itu, yang giat dengan sebuah ngo kebajikan tidak mengambil vaksin ! Dia terasa bagai terhantuk seketika.

Buku Sejarah Umat Islam Hamka dibelinya, tinggal kaku di sisi rak. Buku-buku lain juga senasib – tidak dapat merangsang apa-apa.

"Terkadang, ia tentang masa bukan tentang manusia. Itu yang dikatakan sejarah, Zakaria !" ungkap Zahri. Dia termenung memetia butir kata yang agak tergantung di sisi benak.

"Manusia mencari diri. Manusia mencipta nama. Dan manusia juga mencari cinta. Semua ini ditunjukkan dalam masa dan sejarah lalu !" kata Zahri agak lama dulu yang meluru datang lagi melabrak kesunyian.

"Lalu manusia jadi simpatis. Kemudian manusia menjadi pendamai. menjadi diktator dan kemudian menjadi seorang kembali kepada agama. Ya, manusia boleh berubah-ubah Zakaria !."

Luahan rakannya itu masih menguat di ingatan. Kelmarin dia dimaklumkan salah seorang rakan lama disahkan mengidap wabak COVID-19 dan hampir seminggu berada di wad. Pada awalnya dia tidak berasa mahu bertanya siapa. Namun setelah diberitahu lelaki itu adalah Zahri dia agak tergugup sebentar dan hampir terdiam lama.

Dia bertanya bagaimana keadaan Zahri daripada rakan itu. Namun rakannya dia sendiri baru mendengarnya daripada rakan lain. Sekarang, perkhabaran itu mengadun sepinya. Dia mengakui sendiri sehari dan hari-hari lainnya kian bertembokkan sepi. Tapi kata-kata Zahri bagaikan titik-titik air gigih melutu batu gua. Kesepian yang mengecilkannya, tetap menyedarkan ketibaan hujan yang makin melebat.

"Bila manusia dewasa, dia harus jujur. Itu tanda kematangan. Jika tidak dia merempuh apa yang betul !". Rentetan yang terus mengetuk kesunyian di samping irama hujan bertalu-talu dekat kamar.

Zakaria melihat hujan yang mengaburkan pandangan yang hanya mampu meninjau sebahagian pinggir bandar. Sudah agak lama tidak melihat jalan raya sesak. Sebulan lalu bersembang bertanya khabar. Zahri seorang pemerhati politik amatur yang agak setia pada prinsip 'politik mensejahterakan rakyat'. Katanya, berjuang dalam parti itu memang harus diteruskan. Berbeza dengannya, yang sudah berasa 'jempol' terhadap politik.

Dia tidak mahu keluar pun. Kesepian ada dan tetap berlegar-legar saja. Catatan diari sebulan itu, penuh dengan perkataan sepi. Memang ada kesempitan tertentu dirasakan, pun begitu dia terus meraikan momen ini. Sekiranya, dia berasa kewalahan, dia perlu bangun dengan dirinya sendiri. Menguatkan perasaannya agar selalu saja seimbang. Keseimbangan sepi dan ruang suara.

"Zakaria, manusia itu lebih bergulatan dalamannya daripada pengaruh luarnya". Itu yang ditujukan dirinya sendiri.

Ya, bergomol dengan sepi terkadang membuatnya bosan. Tapi dia tetap dapat menghirup udara, menghidu bau hujan yang turut dengan lembut dan indahnya. Sering juga mengejapkan fikiran lewat berhubung dan membaca berita.

Hujan sekali lagi melebat dan mendesak, membuatnya menyingkap tirai dan menutup tingkap. Keindahan hujan bukan saja pada kedinginannya, juga pada kesepian yang irama yang melekakan. Dia dapat mendengarnya bagai berbisik. Dia tidak memahami apa pertuturan hujan itu. Butir tutur yang tidak difahami itu, semakin dirasakan dapat difahami. Seakan-akan doa yang selalu ditadahkan.

Sebelum ini dia ada membaca novel Desa Salji, terjemahan karya Kawabata. Tidak, tiada yang dikatakan kesunyian itu sepenuhnya menenteramkan hingga tidak terasa kenaifan dan kelelahan. Tidak. Kesunyian memang sudah ada dan sentiasa mengiringi manusia.

Manusia pencari dirinya, stesen sunyi kepada kesunyian yang lain. Dari desa sunyi ke desa sunyi yang lain. Keresahan kepada keresahan lain dalam keadaan kesunyian itu mengguliti dan membendung dirinya.

Ke mana akhirnya dirinya dalam keadaan serba kesunyian. Dia tidak dapat memperkatakan apa-apa tentang itu. Kesunyian tidak membawa kepada ketidakarahan, kehilangan makna atau kenanaran jiwa. Tidak. Sejujurnya manusia mampu merapat, menangani dirinya.

Dia dapat membina dirinya. Dia mendengar suara hujan itu, terus berbicara. Dalam suara yang sederhana, tidak meriuhkan. Dia senang dengan hujan yang sederhana itu. tidak menyusahkan. Dia tidak terhalang untuk ke mana-mana. Dia hanya terus dalam keadaan sebegitu.

"Masa ini yang terbaik untuk meminta, Zakaria !". Semacam hujan menggesanya.

'Jika itu doa selalu ditadahkan, harapan yang selalu diungkapkan, apakah itulah suatu penzahiran dari kesunyian?' getus rasa diri. Dia berasa dirinya kian menghampiri kesedaran sebenar yang dicari, bahkan merasakan ada anjuran nan indah. Jika tidak bagaimana dapat merasakan dirinya juga boleh menyelami makna kesunyian. 'Kesunyian itu juga nikmat, Zakaria !' bisik hatinya.

"Agar sepupunya dan Zahri diberikan kesembuhan, Amin Ya Rabbal a'lamiin." Terasa berasa bagai seorang bisu yang juga tidak dapat melakukan apa-apa di ketika itu selain berdoa kepada-Nya.

Bersedia menghadapi sesuatu masa mendatang. Kesunyian meruang diri untuk bersedia, mengembalikan kewarasan. Kesibukan dan kepadatan rutin, sebenarnya tidak elok untuk manusia.

Manusia mempunyai ruang kesendiriannya. Ruang itu dapat membangunkan dirinya. Dia tidak perlu rasa resah. Kegundahan itu biasa. Dia dapat merasakan semua itu suatu yang benar-benar menyuntik kesedaran batin. Suara yang terpelosok dalam.

Relung-relung dada yang bergetaran itu, mendapat pelbagai rangsangan. Dia tidak nafikan. Dia berasa semua itu suatu kerencaman yang membina, menguatkan daya akalnya. Dia tidak akan mengelak. Kesepian lain yang merentangi depannya bagai seorang perawan.

Melayangkannya ke atas. Melambung jauh, melepaskan batasan yang ada. Kesepian yang benar-benar langka ini, mungkin membuatkannya lebih terasa dan berperasa. Dia tidak silap kira. Dia tahu apa yang mahu dilakukan. Kepastian. Bukan kesamaran. Keadilan makna, bukan kekhilafan. Ditemukannya dalam persimpangan waktu sebegini.

Kanan kiri, depan dan belakang mempunyai arah dan runtunannya. Dia tidak mahu bergerak tanpa arah. Mahu menuju dengan makna. Jelas maknanya.

Pasti dia mampu keluar dari tempat yang tersorok. Lepas beberapa minggu, dia menyepikan semua itu. Apa yang dapat dilakukan. Mengira-gira hari dengan jari-jemari. Suatu yang aneh. Namun makin membantu untuk mengira angka, usia hari, usia semalam dan usia hari ini. Ketepatan yang tidak termungkir. Dia mencari mana makna semua kesepian.

Semalam dia membaca nombor-nombor statistik kes harian, yang tidak pernah menjadi kesukaannya. Atas ke bawah. Bersimpangan dengan turun dan naik. Makin mengunjur pengurangan. Keadaan makin mencerahkan harapan. Alhamdulillah.

"Positif !" luah tanpa kepada sesiapa.

Daripada bangun tidur pagi yang makin kurang nyenyak dan lebih seminggu dalam mimpi-mimpi pelik. Berjungkar-balik, tidak dipastikan akhirnya apakah pangkal dan hujung. Bila disedarinya, benar-benar mainan tidur dan serakan ilusi semata.

Dia tidak mahu melayani segala sebab kesesakan. Semacam kerenah. Keletah yang tidak selalu mudah. Baru-baru ini, tersiar berita tentang sebuah negeri merungsing warganya untuk mengadakan pilihan raya. Belum disebut soal fail rahsia itu dan ini yang memuatkan episod siasah yang baharu. Terkadang, pusingan cerita yang barangkali sama. Agak artifisial logiknya juga, entahlah - fikirnya. Tapi seperti kelaziman, kepastian datang lewat dan selalu tergelincir bersama perkhabaran baharu yang jauh lebih mengaum daripada sebelumnya.

'Serba berlekuk dan berbumbu keanehan. Bagaimana penyudahnya?' luahnya ditampung kesepian yang masih mendatari relung hati.

Selalunya selepas bermimpi dan bertembung kenyataan yang lain, memang mimpi dan kenyataan langsung tidak berkait. Manusia pula serba agresif dalam perjalanan waktu, sekalipun ada keanehan itu sebenarnya suatu yang lumrah. Hidup harus diteruskan. Betul juga, prinsip sebegitu. Maka, dia terkadang memikirkan, mengapa agaknya makin aneh kenyataan yang berlaku dan dalam masa yang sama manusia sudah tidak lagi bermimpi tentang kedamaian dan keamanan. Mungkin ruang kenyataan juga sudah berkecamukan. Tiada satu pun mimpi bahagia dan yang indah-indah untuk seseorang. Acap kali dia tersenyum mengenangkan itu semua.

Mengapa sepupunya yang tinggi pendidikannya boleh terjebak dalam kumpulan anti-vaksin?. Itu juga mengejutkan kewarasan yang semakin reda dan tenang. Zahri tidak terlibat, mujur. Jika rakannya itu juga terlibat sekali dalam kumpulan yang sama, iaitu enggan bervaksin – entah rasional apa yang mendorongnya pula?, itu yang terlintas dalam fikirannya.

Kesepiannya lazim, tidak paksaan. Dia rela menancap kesepian demi kesepian dalam hidupnya, semenjak dua ini. Dia tidak mahu mengomentarinya lanjut. Semua itu hakikat. Bahkan berasa perlu untuk diam dan sepi dalam rumah. sepi dan diam dalam kamar.

Perkataan apa yang mahu diluahkan. Hampir tiada. Dia tidak berasa gembira sangat duduk di rumah. sedih juga tidak. Kecewa jua langsung tiada.

Dia bersyukur. Banyak ruang dapat dibaiki. Dirinya. Kekurangan sana sini. Dia dapat mengemas buku-bukunya. Semuanya berselerakan. Tidak perlu diendahkan. Makin padat dan mendinding sana sini. Dia tidak terkurung pun dengan buku. Sebelum dia masuk ke dalam semua buku-buku itu, seolah-olah melepaskan diri ke daerah atau ruang lain, dia sudah perkirakan apa yang belum usai di luar atau ruang fizikal yang ada.

Menerobos masuk dalam buku, laluannya bebas dan tidak pernah membuat rasa kerugian. Tiap sebuah buku ada perlepasannya yang berbeza. Ada majlis atau kendurinya yang berbeza. Dia tersenyum selalunya. Berasa aneh memang itu selalunya.

Kesepiannya yang menjerumuskan untuk masuk ke ruang buku, esei atau memoir memang memanjangkan kesepiannya.

Bunyi serangga, hujan, percikan masa, benda-benda leteran dari televisyen semuanya tidak mengganggu kesepian yang bermakna ini. Dia sangat bertuah.

- Pengarang prolifik kelahiran Perak ini bertugas sebagai guru dan sudah menghasilkan beberapa buah novel dan kumpulan cerpen.