Trending
Sastera

DBP jamin tiada kontroversi pemilihan SN ke-15

KUALA LUMPUR: Penganugerahan Anugerah Sastera Negara ke-14 (ASN ke-14), yang diumumkan dua tahun lalu antara yang paling banyak terseret dengan pelbagai spekulasi serta kontroversi.

Ia bermula dengan penangguhan pengumuman Sasterawan Negara (SN) yang mana kad undangannya sudah pun diedarkan sehinggalah kepada kontroversi pemilihan penerima ASN ke-14.

Justeru, apakah yang mungkin dilakukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sekretariat ASN dalam memastikan penganugerahan kali ke-15 tidak terseret lagi dengan kontroversi ?

Setiausaha II Panel ASN ke-15, Dr Abang Patdeli Abang Muhi, menyifatkan kontroversi sedemikian tidak akan berlaku lagi pada penganjuran ASN di masa hadapan.

"Ya, memang benar ada sedikit kontroversi yang timbul dalam ASN ke-14 yang lalu. Bagaimanapun, DBP sebagai Sekretariat ASN sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dan bengkel penilaian serta sesi sumbang saran untuk menambah baik pengurusan ASN.

"Insya Allah, kontroversi sedemikian rupa tidak akan berulang pada masa akan datang" katanya kepada BH.

Abang Patdeli yang juga Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP berkata, sehingga tarikh tutup pencalonan ASN ke-15, Februari lalu, sebanyak 12 pencalonan diterima dari seluruh negara.

Menyifatkan pencalonan diterima sebagai amat memuaskan, beliau berkata selain pencalonan daripada badan dan institusi sah yang berdaftar termasuk persatuan penulis, sekretariat ASN turut menerima pencalonan daripada individu.

"Ada satu lagi pencalonan diterima daripada individu dan persatuan sekali gus. Purata setiap calon SN, baik dicalonkan badan atau institusi mahupun oleh individu, memperoleh satu hingga tiga pencalonan.

"Hanya seorang calon yang dicalonkan empat buah persatuan sekali gus," katanya.

Bagaimanapun, adakah penulis dibenarkan mencalonkan diri mereka sendiri? Menjawab soalan itu, Abang Patdeli berkata, syarat yang ditetapkan ialah pencalonan ASN perlu dikemukakan oleh badan atau institusi sah dan berdaftar khususnya oleh individu berwibawa dalam bidang sastera.

Pencalonan oleh badan atau institusi yang sah dan berdaftar serta individu yang berwibawa dalam bidang sastera itu katanya bertujuan mempertahankan keabsahan (authenticity) dan kejituan penilaian yang dibuat terhadap seseorang calon.

"Seseorang sasterawan atau penulis tidak boleh mencalonkan dirinya sendiri kerana dikhuatiri penilaiannya tidak objektif dan cenderung untuk bias.

"Dibimbangkan juga, takut kita tidak mengukur baju di badan sendiri!

"Bagaimanapun setakat ini, tiada had umur ditetapkan untuk melayakkan seseorang dicalonkan dalam ASN malah yang berumur 40 tahun juga boleh dinobatkan.

"Asalkan mereka memenuhi kriteria penilaian dan pemilihan ditetapkan di samping terbukti memberikan sumbangan yang cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air," katanya.

Menurut Abang Patdeli, kriteria utama yang menjadi asas penilaian dan pemilihan SN ialah calon menghasilkan karya sastera, kreatif dan bukan kreatif yang bermutu tinggi selain memberikan sumbangan yang signifikan kepada kemajuan bidang persuratan dan ketamadunan bangsa.

Selain itu katanya, calon SN juga dinilai berdasarkan pembabitannya dalam pelbagai kegiatan berpersatuan, akademik, aktiviti kesusasteraan dan kebahasaan serta kegiatan kebudayaan dan keilmuan.

Tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu dan sastera Melayu serta kesusasteraan kebangsaan itu katanya, tentunya tanggungjawab bersama pelbagai pihak tetapi SN secara lebih khusus, menggalas tanggungjawab yang lebih besar serta mempunyai peranan lebih signifikan.

Katanya, ini kerana SN ialah tokoh yang berwibawa dalam bidang bahasa dan sastera oleh itu mereka harus menjadi penggerak dalam memartabatkan bahasa dan sastera sekali gus aktivis atau barisan hadapan dalam mempertahankan Perkara 152.

Mengenai nilai SN di mata umum, Abang Patdeli berkata, berdasarkan pandangan peribadinya, SN seharusnya ialah seorang insan berwibawa, sekali gus cendekia dalam bidang persuratan.

"ASN ialah pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan yang masih hidup dan sudah memberikan sumbangan cemerlang terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu.

"Justeru di samping SN sendiri mempromosikan dirinya sendiri supaya dikenali masyarakat bagi membuat penilaian terhadap kewibawaan, ketokohannya serta kecendekiaannya sebagai SN, pihak media atau pihak berwenang juga harus banyak mempromosikan SN," katanya.

Abang Patdeli berkata, daripada segi strukturnya Panel ASN ke-15 dipengerusikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin serta sembilan SN, sarjana, pengkaji dan pengkritik yang berwibawa dalam pelbagai bidang persuratan di negara ini.

"Setiap kali pemilihan, ada penilai digugurkan serta dikekalkan sesuai kepakaran masing-masing," katanya.

Menjawab soal usaha DBP bagi meraikan dan menyebarluas karya SN, Abang Patdeli berkata, setakat ini, DBP sudah melaksanakan pelbagai program termasuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara, bicara karya, penerbitan khas karya, pameran dan jualan buku SN.

"Meskipun masih ada ruang untuk DBP menambah baik pelaksanaan pelbagai program bagi meraikan dan menyebarluaskan karya SN tetapi banyak kegiatan sudah dilaksanakan dan usaha murni itu akan terus dilakukan.

"DBP juga berlapang dada menerima saranan daripada SN sendiri dan masyarakat amnya, berkenaan program yang praktikal diadakan bagi menyebarluaskan karya SN.

"Satu daripada bentuk hadiah yang diberikan kepada SN ialah penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarluaskan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan," katanya.