Trending
Sastera

4 penulis diumum pemenang Sayembara Puisi GAPENA

KUALA LUMPUR: Empat penyair diumum sebagai pemenang utama Hadiah Sayembara Penulisan Puisi 50 Tahun GAPENA anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), hari ini.

Mereka termasuklah penerima Anugerah Penyair GAPENA 2021, Shapiai Mohd Ramly; Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020, Mohd Rosli Nik Mat atau Rosli K Matari, Solihin Osman dan Md Yusof Ali.

Semua pemenang menerima wang tunai RM1,000 setiap seorang dan sijil penghargaan. yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Md Johari Hasan.

Turut dilancarkan dalam majlis sama ialah Antologi Pemenang Sayembara Puisi 50 Tahun GAPENA, Kalau Kau Hawa Berikan Aku Cinta yang memuatkan karya pemenang.

Md Johari dalam ucapannya berkata, sejak lima dekad lalu DBP sentiasa bersama-sama dalam kegiatan GAPENA tambahan lagi penubuhan agensi kerajaan itu pada 1956 adalah inisiatif pejuang bahasa dan sastera di negara ini.

"Tahniah kepada GAPENA kerana terus mengadakan kegiatan sebegini meskipun pandemik COVID-19 masih belum lenyap dan saya difahamkan GAPENA sedang merancang meneruskan pelbagai kegiatan yang menjadi tradisinya.

"DBP berharap GAPENA akan terus mengadakan sayembara lain selepas ini dan difahamkan tahun lalu GAPENA menjalankan sayembara cerpen, tahun ini genre puisi dan semoga tahun hadapan giliran genre drama dan novel pula," katanya.

Selain pemenang utama, turut dipilih ialah 10 penerima hadiah pemenang iaitu Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah, Dr Aminudin Mansor @Dr Ami Masra, Hasnah Yusoff, Ja'afar Hamdan dan Muhammad Fawwaz Mohd Fitri.

Selain itu Ramlan Abdul Wahab, Rohana Karno, Rosninah Amat, Shazmee Rizal Padzali @ Salim dan Zalina Ahmad.

Related Article