Trending
Sastera

ITBM kemuka cadangan perkasa bidang terjemahan

KUALA LUMPUR: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengemukakan lima cadangan kepada kerajaan dalam usaha memperkasa bidang terjemahan secara menyeluruh termasuk mengantarabangsakan karya Malaysia dan memperbanyakkan kepustakaan berbahasa Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Sakri Abdullah, berkata sehubungan itu agensi berkenaan memerlukan peruntukan khusus untuk merealisasikan hasrat itu.

"Pemerkasaan penterjemahan dan penerbitan buku ilmiah ke bahasa Melayu tertumpu kepada bidang yang menjadi keutamaan.

"ITBM turut mencadangkan penetapan atau pemberian peruntukan tahunan yang dimasukkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Sakri, ITBM turut mencadangkan pelaksanaan kerjasama membabitkan setiap universiti secara proaktif dengan penyaluran peruntukan khas atau geran penerbitan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi penterjemahan buku-buku ilmiah aras tinggi ke bahasa Melayu.

"ITBM juga menyarankan supaya pembelian wajib bahan bacaan digalakkan membabitkan perpustakaan sekolah, universiti dan institusi pendidikan lain bagi memenuhi keperluan bahan bacaan atau rujukan tambahan terutama buku-buku ilmu.

"Selain itu, kami mencadangkan bantuan kepada industri dengan pemberian subsidi kertas sebagai langkah pengurangan kos penerbitan dan meneruskan pemberian baucar buku untuk menggalakkan dan meningkatkan kuasa pembelian buku, terutamanya dalam kalangan pelajar," katanya.

Dalam kenyataan sama, ITBM menyuarakan kesediaan untuk bergerak lebih aktif untuk memperkasakan usaha pemindahan ilmu dari bahasa asing ke bahasa Melayu dan mengangkat persuratan Melayu ke persada antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan pihak berkaitan di luar negara.

Sementara itu, ITBM turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi pertanyaan lisan pada persidangan Dewan Negara mengenai jaminannya untuk memperkasa agensi itu demi kepentingan bahasa Melayu.

Related Article