Trending
Sastera

Mesej agama dalam puisi

LENGGONG: Puisi adalah sebahagian warisan sastera tradisional yang masih kekal hingga ke hari ini.

Selain digunakan sebagai wadah teguran dan hiburan ia juga mengandungi peraturan hidup selain membawa mesej keagamaan.

Hal ini ditegaskan Persatuan Penyair Malaysia menerusi program jelajah Puisi Mewangi, Ramadan dirindui di dua lokasi di Lenggong, Perak sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan minggu depan.

Penasihatnya, Datin Barupawati Utamaju Baharum, berkata selain mesej mengenai keagungan kitab suci al-Quran, turut diselitkan menerusi puisi yang dideklamasi puluhan hadirin yang menyertai program itu adalah mengenai keindahan penghayatan bulan Ramadan.

"Luar daripada kebiasaan, ketibaan Ramadan tahun ini kami sambut dengan disertai bacaan puisi dan lagu puisi berbentuk kerohanian yang mana sesuai dengan Ramadan, selain turut disulami dengan bacaan doa, tazkirah ringkas, serta bacaan surah al-Quran," katanya ketika ditemui sempena jelajah itu di Wakaf Che Teh Fatimah, Kampung Sira, Lenggong.

Program itu menyaksikan puisi rohaniah berkaitan Ramadan dideklamasi peserta selain disusuli program jelajah dua hari selepasnya membabitkan komuniti nelayan di jeti nelayan Kampung Chepor, Lenggong.

Barupawati berkata, Lenggong dipilih kerana kaya dengan keindahan khazanah alam semula jadi selain taraf Lembah Lenggong yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Related Article