Trending
Sastera

Doa anabul terus ke langit

Sewajarnya saat-saat begini dia tidur di ruang yang selesa. Berbantalkan bantal kekabu yang empuk. Tidur yang lena tanpa diganggu bunyi bising kenderaan yang lalu-lalang. Namun, bukan itu yang menjadi idamannya. Cukuplah dapat melelapkan mata walau seketika.

Dia sudah lali dengan pandangan sinis orang ramai yang melalui kawasan itu. Bau hamis longkang di kaki lima juga tidak dipedulikan. Hanya berbekalkan kotak-kotak terpakai dijadikan alas untuk menumpang tidur dan mengusir lelah. Paling gembira tidurnya diulit beberapa ekor kucing yang bercampur warna. Dan ada di antaranya menggeliat di hujung kakinya sambil memeluk erat di antara satu sama lain.

"Siapa dia?" soal rakanku sebaik sahaja kami melalui kawasan itu.

"Oh, dia tu..." balasku acuh tak acuh.

Aku sudah terbiasa dengan gelagat lelaki itu. Dia sebenarnya kurang siuman dan sudah lama menginap di kaki lima itu. Semenjak aku bertukar tempat kerja kira-kira setahun yang lalu, dia sudah ada di situ.

"Kau kenalkah?" Soalan itu diajukan lagi oleh rakanku.

Aku hanya tersengih. Rakanku itu baru sahaja bertukar ke tempat kerja sama denganku. Justeru, sudah tentulah perasaan ingin tahu meluap-luap di dalam hatinya.

"Di sini kami memanggilnya dengan nama Bapa Anabul." Jawabku.

Kening rakanku seakan berlaga-laga sesama sendiri. Barangkali dia tidak mengerti mengapa aku memanggilnya dengan nama begitu.

"Mengapa Bapa Anabul?" tanyanya lagi.

Aku tidak menjawab. Sebaliknya mengajak dia ke sebuah restoran yang bertentangan jalan dengan kaki lima di situ. Kemudiannya, aku memilih meja yang betul-betul mengadap lelaki tersebut. Seorang lelaki separuh usia siap sedia menanti untuk mengambil pesanan daripada kami.

"Pakcik, milo ais satu dan nasi goreng satu. Kemudian, tolong bungkuskan dua ketul ayam goreng dan nasi goreng biasa satu." Pintaku lagi.

Mata rakanku terkebil-kebil memandang wajahku. Barangkali dia tidak faham apa yang sedang berlaku.

"Tidak usah dibelikan makanan kepada dia itu. Sudahlah pengotor, malah habis bersepah sisa makanan. Kucing-kucingnya juga selalu buang air merata-rata. Bau hamis dan busuk." Kata pelayan lelaki yang kupanggil pakcik itu dengan kasar.

Aku hanya diam. Sudah terbiasa dengan kata-kata pakcik itu. Seperti biasa apabila aku selesai membuat pesanan bungkus sudah pastilah kata-kata itu sahaja yang akan dilemparkan kepadaku. Aku juga tahu sekiranya aku membalas semula sudah tentulah akan berlaku pergaduhan. Justeru, aku mengambil sikap mendiamkan diri walaupun kadang kala terasa geram dengan kata-katanya.

Aku teringat tentang peristiwa yang berlaku dua hari yang lalu. Waktu itu aku sedang duduk makan berseorangan di restoran. Pada mulanya tidak ada apa-apa yang berlaku tetapi tiba-tiba sahaja aku terdengar buyi riuh-rendah di kaki lima tempat 'Bapa Anabul' sedang berbaring. Bunyi suara orang marah-marah menyebabkan seleraku terbantut. Sedang aku tertinjau-tinjau dari jauh kelihatan pelayan lelaki yang kupanggil pakcik itu sedang memarahi 'Bapa Anabul'.

"Pergi dari sini! Kau dan kucing-kucing kau tak patut tidur di sini. Habis semua pelanggan kedai aku tak mahu makan di kedai aku."

'Bapa Anabul' hanya duduk sambil memeluk beberapa ekor kucing. Dia sama sekali tidak berganjak dari tempat itu.

Orang ramai yang melalui jalan tersebut mula mengerumuni kawasan tersebut. Ada yang merakam video dan ada pula yang mula bercakap-cakap sesama sendiri. Menyebabkan situasi semakin tegang dan panas. Tidak ada seorang pun yang cuba meleraikan. Semuanya hanya memerhatikan dengan pandangan yang sinis.

Ah, inilah gelagat manusia yang pada hakikatnya langsung tidak mempunyai perikemanusiaan. Manusia hanya pada nama tetapi tidak kepada sifatnya! Omelku geram di dalam hati.

"Biarkanlah dia di situ. Bukannya dia buat apa-apa pun. Kedai kamu di sebelah sana. Dia duduk di depan kedai saya. Saya tak marah pun." Tegur seorang perempuan separuh umur yang keluar dari kedai.

Pelayan lelaki yang kupanggil pak cik itu tersentak. Wajahnya tiba-tiba berubah. Perasaan marahnya semakin tidak terkawal. Berlaku perang mulut di situ. Namun akhirnya pak cik itu beredar dari situ dengan wajah yang tidak berpuas hati.

Aku hanya tersenyum. Senyuman bukan lagi manis tetapi senyumanku lebih kepada menyindir. Bagiku apalah salahnya seorang pengemis yang tidak siuman menumpang berteduh dan tidur di situ. Sama ada aku, pak cik itu atau lelaki yang tidak siuman itu semuanya sama tidak ada perbezaan. Kedudukan kami masih sama kerana dia juga manusia sama seperti aku dan pak cik itu. Hanya membezakan ialah kewarasan akal semata-mata. Sekiranya lelaki yang kupanggil 'Bapa Anabul' itu waras sudah semestinya dia tidak tidur di situ. Justeru, kita yang waras perlu menjadi waras dan mempunyai rasa simpati pula.

"Ini saya bawakan nasi goreng. Makanlah." Kataku sambil menyuakan sebungkus nasi goreng kepada 'Bapa Anabul.'

Dia tidak membalas. Sebaliknya melihat ke arah kucing-kucingnya dengan pandangan yang sayu. Beberapa ekor anak kucing merangkak-rangkak di hadapannya sambil menggeliat manja. Melalui kelopak matanya muncul cecair jernih yang semakin banyak terkumpul.

Aku tahu apa yang sedang difikirkannya. Timbul rasa sedih secara tiba-tiba di jiwaku. Akar simpati semakin menyelirat di benak hatiku.

"Jangan sedih. Ini saya ada belikan dua ketul ayam kepada kucing-kucing ini. Saya janji sekiranya saya lalu di sini saya akan belikan makanan untuk mereka." Kataku ikhlas dengan nada yang sebak.

Dia akhirnya mengambil nasi goreng dan dua ketul ayam lalu mencarik-carikkan ayam tersebut kepada kucing-kucing yang sedang kelaparan. Aku hanya memerhatikan sahaja tentang hubungan antara manusia dan haiwan yang kukira sangat terkesan di dalam hatiku. Pastilah hubungan seperti itu sangat istimewa kerana kita ini sebenarnya makhluk Tuhan semata-mata. Antara kucing dan manusia kedua-duanya diciptakan untuk sayang-menyayangi di antara satu sama lain.

"Apa nama kucing-kucing ini?" tanyaku perlahan-lahan.

Lelaki itu tersengih. kemudian memandang tepat ke wajahku.

"Anabul." Jawabnya ringkas.

Aku mengerutkan kening. Kebiasaannya aku sering mendengar nama-nama kucing seperti Tompok, Belang, Hitam, Oyen dan lain-lainnya. Di rumah, aku juga membela tiga ekor kucing yang kupanggil Topeng, kembang dan Julie. Justeru nama Anabul belum pernah aku mendengarnya.

"Anabul itu maksudnya anak-anak bulu." Kata satu suara dari arah belakangku.

Aku menoleh ke arah suara itu. Ternyata seorang perempuan separuh umur iaitu tuan punya kedai itu menegurku. Dia sudah lama berada di situ. Di tangannya ada sebotol air minuman sejuk.

Kemudiannya, perempuan itu menghulurkan botol kepada lelaki itu. Aku kehairanan kerana lelaki itu mengambilnya tanpa segan silu. Beberapa ekor kucing menghampiri lelaki itu meminta air lalu dituangnya ke dalam bekas penutup yang diperbuat daripada plastik.

"Cik, semuanya RM12."

Kata-kata dari pelayan lelaki itu membuatkan aku tersentak dari lamunan yang panjang. Kiranya sudah terlalu lama aku mengelamun tanpa mempedulikan keadaan di sekeliling.

"Kau tahu Anabul itu maksudnya anak-anak bulu. Aku pernah terbaca yang menyatakan bahawa kucing juga mampu berdoa untuk tuannya. Tatkala kau memberi makan dan berbuat baik kepada haiwan, pastilah haiwan-haiwan itu akan berdoa supaya kau juga dilimpahkan rezeki dan dipermudahkan urusan duniamu. Bukankah dalam setiap rezeki kita ada juga rezeki orang lain atau haiwan? Justeru, tidak salah jika berkongsi rezeki dengan mereka." Ujarku seperti memberikan tazkirah kepada rakanku.

"Doa anabul terus ke langit. Tidak ada hijab. Sebagai manusia kita perlu ada rasa kasih dan sayang kepada haiwan dan manusia. Janganlah sesekali kita menganiaya atau memukul mereka sesuka hati. " Kataku lagi.

Selang seminggu, seperti biasa aku dan rakanku akan menjamu selera di restoran yang sama. Tetapi hari itu terlalu asing bagi diriku. Tidak ada kelibat lelaki yang mesra kupanggil 'Bapa Anabul'. Kebiasaannya dia tidak pernah ke mana-mana. Dia ada sahaja di situ. Kucing-kucingnya juga tidak ada. Segala resah dan gelisah tiba-tiba menerpa ke jiwaku.

Barangkali dia sakit atau ...? Aku tidak menghabiskan soalan seterusnya. Otakku tiba-tiba sahaja tepu kerana asyik memikirkan 'Bapa Anabul'.

Kaki terus melangkah laju menuju ke restoran seperti biasa. Aku duduk di hadapan restoran sambil mata asyik memandang ke arah tempat 'Bapa Anabul' tidur dan berbaring. Menunggu dalam dua minit tetapi aku merasa seperti dua tahun lamanya untuk melihat kemunculannya.

Ah, mana pula dia pergi? Sakitkah dia? Pelik, kenapa pula kucing-kucing kesayangannya juga tidak ada? Tanyaku di dalam hati. Segala persoalan itu seperti batu yang menghempap kepalaku.

Dalam keadaan aku masih tertinjau-tinjau itu, aku dihampiri seorang pelayan perempuan. Aku terkejut. Jika selama ini lelaki separuh umur itulah yang tidak jemu mengambil pesanan, kini dia sudah tidak ada lagi. Sekali lagi otakku berputar ligat memikirkan ke mana pelayan lelaki itu pergi. Tidak mungkin dia bersama-sama 'Bapa Anabul' kerana dia tidak menyukai 'Bapa Anabul' dan kucing-kucingnya.

"Cik nak minum apa?" Soal pelayan perempuan itu.

Aku masih terkebil-kebil memerhatikan wajah pelayan perempuan tetapi rakanku menyiku aku membuatkan aku tersentak.

"Ke mana pakcik yang selalu ambil pesanan di sini?" tanyaku teruja.

Dia hanya menggelengkan kepala.

Aku hanya tergumam tatkala dia berbuat begitu. Aku tidak jadi memesan minuman, tiba-tiba sahaja aku melangkahkan kaki menuju ke kaki lima tempat 'Bapa Anabul' sentiasa tidur dan baring. Aku ingin bertanya kepada perempuan separuh umur iaitu tuan punya kedai di situ. Namun, niatku terbantut apabila melihat pintu kedai tertutup rapat.

Dalam kekalutan perasaanku, dari jauh aku melihat kelibat perempuan separuh umur menuju ke arah kedainya dengan wajah yang sedih. Timbul tanda tanya di benak fikiranku pada waktu itu.

"Mana 'Bapa Anabul'? Mana kucing-kucingnya?" soalku bertalu-talu.

Dari wajahnya yang sedih dan muram itu perempuan separuh umur itu mula menangis teresak-esak. Aku mula merasa panik.

"Kenapa? kenapa dengan 'Bapa Anabul'? soalku kuat.

"Dia di hospital. Dia diracun orang." Jelas perempuan separuh umur sambil menangis.

Dan pada waktu itu air mataku mengalir hangat di pipiku. Sungguh aku tidak menyangka ada yang tergamak untuk melakukan pengkhianatan yang terkutuk itu.

"Pelakunya sudah ditangkap", sambil menunjukkan ke arah restoran di seberang jalan tempat aku selalu makan di situ.

"Sebenarnya, dia mahu meracun kucing-kucing tetapi belum sempat lagi makanan dijamah oleh kucing-kucing itu, 'Bapa Anabul' yang memakannya. Mujurlah hanya sedikit sahaja yang dijamahnya, jika tidak..." Kata perempuan itu tanpa menghabiskan ayat seterusnya.

Aku berasa amat geram. Masih ada lagi manusia yang zalim dan sanggup berbuat aniaya terhadap makhluk lain di muka bumi ini. Semoga lelaki separuh umur itu menerima hukuman atas segala perbuatannya.

Lewat senja aku pulang ke rumah sambil memberitahu tentang peristiwa itu kepada tiga ekor kucing kesayanganku agar mendoakan kesembuhan kepada 'Bapa Anabul' kerana aku tahu doa Anabul terus ke langit.

- Md Rasol berasal dari Seberang Perai dan lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia.

Related Article