Trending
Sastera

Beza penulis, pengarang dan sasterawan

Penyelidik di Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP

Apakah ada perbezaan antara istilah penulis, pengarang dan sasterawan? Dari segi maksud secara umum, pengarang dan sasterawan juga dikelompokkan dalam kategori penulis, cuma yang membezakan adalah jumlah karyanya, tempoh seseorang itu sudah berkarya, sejauh mana karyanya diiktiraf, dan apakah gagasan yang hebat muncul dalam karyanya sehingga memberi kesan kepada masyarakat dan negara?

Secara umum penulis bermaksud orang yang menulis, pengarang pula menghasilkan cerita, buku serta

kumpulan orang yang bertanggungjawab menyelenggarakan karangan untuk diterbitkan, manakala sasterawan merujuk kepada individu yang menghasilkan karya sastera seperti prosa dan puisi, ahli sastera, pengarang, pujangga, pengarang harus memiliki keterampilan dan menguasai teknik penulisan serta peka terhadap hal-hal kemanusiaan.

Namun perbezaan kelompok ini tidak begitu jelas bagi masyarakat umum malah menjadi pertanyaan dalam kalangan mereka yang baru berjinak dalam dunia penulisan.

Walaupun ketiga-tiga istilah ini adalah seakan-akan sama definisi dan peranannya, namun ada kala maksud istilah itu kerap saja dibentang berdasarkan persepsi dan pandangan yang tersendiri.

Penulis seperti yang difahami ialah individu yang bebas menulis apa-apa sahaja tulisan sama ada karya kreatif dan bukan kreatif (esei, kritikan, kertas kajian, tulisan untuk bacaan umum). Mereka adalah kelompok yang baru muncul dalam dunia penulisan dan berkemungkinan sudah dapat menghasilkan beberapa naskhah buku.

Namun begitu, penulis ini dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu penulis baharu dan penulis mapan atau prolifik. Penulis mapan dan prolifik merujuk kepada mereka yang sudah banyak menghasilkan tulisan yang baik, matang, segar dan terlihat sempurna dari aspek penyusunan idea, bahasa serta topik yang bersesuaian pada zamannya atau sasaran pembaca.

Pengarang pula ialah individu yang sudah melepasi fasa pertama sebagai penulis, yang sudah membina identiti tersendiri. Hal ini menjadikan seseorang pengarang itu dilihat adanya aliran yang tersendiri, dan berbeza-beza bentuk kepengarangan berbanding dengan pengarang yang lain.

Selain itu, seseorang yang dikatakan sebagai pengarang tidak semestinya memiliki karya dan hasil buku yang banyak, atau tulisan rencana yang melimpah, tetapi tahap kualiti karya itu yang menjadi ukuran. Misalnya, Abang Patdeli Abang Muhi, Roslan Jomel, Lutfi Ishak, Saifullizan Yahaya, Siti Zaleha . Hashim, Ruhaini Matdarin, Siti Jasmina Ibrahim, Nisah Haron, Salina Ibrahim, Amelia Hashim, Ramlah Abd Rashid, Maskiah Haji Masrom, dan beberapa orang lagi yang boleh dikatakan sudah banyak menghasilkan karya, dan hasil tulisannya banyak diiktiraf melalui sayembara sama ada peringkat negeri atau negara.

Kebanyakan pengarang ini sangat berbeza idealisme yang disuntik dalam karyanya. Barangkali di antara mereka juga dapat dikelompokkan dalam kategori sasterawan, yang pasti mempunyai kekuatan tersendiri melalui hasil tulisannya.

Bagaimana pula dengan sasterawan? Adakah mereka yang dianugerahkan Sasterawan Negara semata-mata? Tidak. Sasterawan Negara semestinya sasterawan dan pujangga negara, iaitu bijak pandai dan cendekiawan serta pemikir zamannya. Siapakah lagi sasterawan? Mereka ialah barisan sarjana dan intelektual dalam disiplin ilmu sastera, yang pasti sudah membina teori-teori dan gagasan penting dalam sastera; individu yang dinobatkan penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Write); tokoh sastera peringkat negeri, serta mereka yang membentuk haluan pemikiran tersendiri sehingga wujudnya pengikut, peminat dan peneliti secara umum melalui karya-karyanya.

Sebelum ini, Zaen Kasturi pernah menyatakan dalam sesi forum sempena Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan: Daripada Pujangga Tidak Bernama kepada Sasterawan Negara Wanita Pertama diadakan pada 29 Julai 2021, sasterawan itu meninggalkan "tanda-tandanya", dan tandanya itu diiktiraf pada peringkat sayembara bagi memperlihatkan kualitinya karya berkenaan.

Tanda yang dihasilkan juga banyak diperkatakan orang sehingga wujudnya polemik dan perbahasan atau perdebatan melalui karyanya, serta menjadi pilihan ramai orang untuk meneliti hasil tulisannya.

Antara barisan sasterawan yang dizahirkan pada masa kini, terutamanya dari tahun 2000 hingga 2019, dan masih aktif menghasilkan karya kreatif atau esei termasuklah Lim Swee Tin, Zakaria Ariffin, Jong Chian Lai, Rahman Shaari, Hatta Azad Khan, Azmah Nordin, Syed Mohd Zakir Syed Othman al-Yahya (SM Zakir) malah Zaen Kasturi sendiri.

Sarjana dan penyelidik tidak terkecuali kerana peranan mereka begitu besar dalam membina sastera tanah air. Tanpa mereka sebagai peneliti sastera atau pengkritik untuk karya sastera pasti kusam dan malaplah kemajuan sastera dalam negara.

Meskipun dalam kalangan sarjana itu tidak semuanya dianugerahkan SEA Write Award, tetapi itu bukanlah kayu ukur yang menjadikan mereka tidak setanding dengan kelompok sasterawan.

Misalnya, Dr Abd Rahman Napiah atau Mana Sikana yang hingga kini aktif menulis dan mengkritik karya sastera, juga berhasil membina sebuah teori dalam sastera, iaitu Teori Taabudiyah. Malah esei dan kritikan sastera beliau ada yang mendapat tempat dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Begitu juga dengan Kamariah Kamaruddin yang banyak menghasilkan esei kritikan, dan tulisannya banyak tersiar dalam media cetak dan elektronik serta ada yang memenangi hadiah dan anugerah.

Berdasarkan penerangan ini, di manakah kedudukan anda sebagai seorang penulis? Adakah sekadar menjadi penulis di lorong-lorong kecil, atau berkeinginan untuk menjadi penulis berjiwa besar dalam membentuk kecerdikan bangsa dan negaranya.

Related Article