Trending
Sastera

Adaptasi novel bukan kerja mudah

I: Nilai seni perlu seimbang dengan visual, tuntutan komersial

Oleh Siti Haliza Yusop

Kuala Lumpur: Kerja adaptasi novel menjadi filem atau drama bukanlah tugas mudah. Apatah lagi dalam memastikan ia 'hidup' secara visual, nilai seninya harus dikekalkan dan diseimbangkan dengan kehendak stesen televisyen.

Hal ini dikongsikan penulis skrip, Maizura Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan yang melakukan adaptasi naskhah Ayahanda, novel tulisan pengarang besar tanah air, Azizi Abdullah.

Dalam konteks novel Ayahanda, ia lebih mencabar kerana naskhah tulisan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1988 itu adalah karya sastera yang membawa pemikiran besar.

Bagaimanapun, tegas Maizura meskipun mengakui isu percanggahan dan jurang pemikiran antara generasi muda dan tua dalam novel itu sebagai menarik, tetapi versi adaptasi hanya memfokuskan perihal kekeluargaan serta percintaan sebagai elemen utamanya.

Hal itu katanya adalah langkah paling selamat, terutamanya mengambil kira adaptasi drama bersiri itu disiarkan stesen televisyen dengan penjenamaan pop.

"Untuk adaptasi, ia memfokus kepada elemen kekeluargaan dan percintaan disebabkan penjenamaan stesen penyiar dan sebab itu ada watak bekas kekasih Aziz, iaitu Ayu yang tiada dalam novel tetapi ditambah sebagai elemen komersil.

"Apa yang saya dan Wan Mahani fikirkan ialah adakah stesen dan penonton boleh menerima adaptasi ini?

"Jika usaha ini gagal, mungkin adaptasi sebegini akan dihentikan kerana tiada yang menontonnya. Jadi tanggungjawab penulis skrip sebenarnya berat kerana perlu seimbangkan (semua aspek)," katanya dalam Wacana Sastera "Ayahanda: Dari Novel ke Adaptasi Cereka TV".

Ruang selamat

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, A Wahab Hamzah adakah isu pertentangan yang diangkat Azizi dalam novelnya itu, tidak boleh 'dibawa' dalam adaptasi drama bersiri itu.

Menurut A Wahab, isu kekeluargaan dalam drama tempatan adalah satu 'ruang yang selamat' dan sepatutnya usaha lebih berani diambil pengkarya bagi mengangkat isu agama serta perpecahan dalam masyarakat.

Wacana anjuran DBP, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut menampilkan pengarah, Ahmad Tamimi dan pelakon, Hairi Safwan.

Ayahanda yang disiarkan melalui slot Lestary di TV3 dibintangi pelakon hebat tanah air iaitu Jalil Hamid yang membawakan watak Haji Abdullah serta Fauziah Ahmad Daud (Hajah Noriah)

Ia memaparkan pelbagai konflik didepani suami isteri itu dengan empat anak mereka. Drama bersiri itu mencatatkan 2.4 juta penonton secara purata sejak disiarkan 10 Julai tahun lalu manakala episod terakhir dua minggu kemudian, ditonton 4 juta orang.

Meskipun naskhah itu bukan satu-satunya karya Azizi yang diadaptasi tetapi Ayahanda yang diterbitkan pada 1997 sebelum diterbitkan semula DBP pada 2016, adalah antara karya adaptasi sastera yang mendapat sambutan luar biasa penonton.

Mengulas lanjut, Maizura berkata, beliau dan Wan Mahani berdepan tugas berat menghasilkan skrip adaptasi itu kerana novel Ayahanda mengandungi banyak monolog serta pergolakan emosi dalaman Aku atau Aziz sedangkan drama televisyen memerlukan banyak visual, pergerakan dan aksi.

Novel Ayahanda katanya, bergerak daripada memori Aku justeru selepas perbincangan, keputusan dibuat bagi mengubah struktur cerita serta bagaimana ia bergerak daripada satu peristiwa kepada peristiwa yang lain tetapi terus berpegang kepada premis konflik seorang ayah dan anak.

"Peristiwa ibu (Hajah Noriah) meninggal dunia yang diletakkan di permulaan novel, dibawa ke episod sembilan dalam drama bersiri jadi penonton mempunyai kesempatan mengenali watak itu terlebih dahulu dan bersedih selepas pemergiannya.

"Pemergian isterinya yang sebelum ini menjadi perantara antara Haji Abdullah dan anak-anak, menyebabkan dia berasa lebih pincang dan lumpuh jadi selepas si ibu meninggal, keluarga ini berdepan lebih banyak konflik

"Meskipun penceritaan diubah, tetapi 'roh' asal Ayahanda iaitu konflik antara anak bongsu dengan ayahnya terus kekal dan dijaga sehingga akhir episod," katanya.

Kekangan waktu

Sementara itu, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar sebagai sutradara, berkata naskhah dihasilkan Maizura dan Wan Mahani jauh berbeza daripada versi Ayahanda yang pernah dihasilkan sebelum ini.

"Ini kali pertama saya bekerja dengan mereka dan ada keserasian hinggakan saya beri amaran supaya tiada sesiapa mengubah perkataan yang ditulis mereka.

"Saya pernah tengok Ayahanda dalam versi lain tetapi naskhah dihasilkan mereka, jauh berbeza. Malah ia paling mudah untuk diterjemahkan ke dalam bentuk visual kerana mungkin ada keserasian dalam garapan tulisan serta garapan visual," katanya.

Bagaimanapun Ahmad Tarmimi yang turut membawakan watak Lebai Kassim dalam adaptasi ini mengakui jika diberi lebih banyak waktu untuk membuat persiapan, drama adaptasi Ayahanda yang terpaksa disiapkannya dalam tempoh 39 hari, akan tampil dengan lebih baik.

"Saya minta maaf kepada penulis skrip kerana ada adegan yang tidak dapat diterjemahkan kerana kekangan waktu dan teknikal yang terlalu tinggi," katanya.

Related Article