Trending
Sastera

Keluarga mantan Ahli Parlimen lancar dana penulisan

KUALA LUMPUR: Bagi memperingati semangat kebebasan

penulis, guru juga mantan Ahli Parlimen Kampar dan Menglembu, mendiang Fan Yew Teng keluarganya mewujudkan dana khusus bagi membantu penulis yang ingin menghasilkan karya sastera.

Anak perempuannya, Pauline Fan dalam kenyataan kepada BH, berkata permohonan untuk Dana Fan Yew Teng bernilai RM5,000 dibuka kepada mereka yang berminat sehingga 31 Julai ini

"Bagaimanapun hanya seorang penerima sahaja akan terpilih.

"Dana itu diwujudkan bagi menggalakkan penulis di Malaysia menghasilkan karya sastera sama ada cereka dan bukan cereka bertujuan meraikan semangat kebebasan, daya cipta serta kebebasan berfikir juga bersuara," katanya.

Tegas Fan, individu terpilih akan menerima bantuan kewangan untuk digunakan dalam menjalankan kajian dan menyiapkan penulisan karyanya.

Dana itu juga bertujuan memperingati semangat kebebasan ayahnya yang percaya tulisan mampu memberi suara kepada kemanusiaan, bersikap tegas kepada kuasa dan berbicara mengenai pengalaman manusiawi.

Mereka yang ingin memohon mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas serta pernah menerbitkan karya. Penulis yang sekadar pernah menerbitkan sendiri karyanya adalah tidak layak.

Cadangan penulisan atau karya yang sedang disiapkan mestilah ditulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris dan penulisan dicadangkan mestilah sebuah karya persendirian dan bukannya dikerjakan di bawah institusi, syarikat atau pertubuhan.

"Karya penulisan dicadangkan mestilah bersifat cereka atau bukan cereka yang bukan akademik dan boleh ditulis dalam bentuk esei, kewartawanan, bab buku, memoir, cerpen, novela, atau novel.

"Topik karya yang dicadangkan mestilah menyentuh semangat kebebasan, keadaan manusia dan kebebasan berfikir serta bersuara baik secara langsung ataupun tidak dengan sekurang-kurangnya 10,000 perkataan.

"Proses pemilihan akan bermula pada bulan Ogos hingga Oktober tahun ini dan permohonan yang berjaya akan diumumkan pada November tahun ini. Keputusan jawatankuasa pemilih adalah muktamad," katanya.

Keutamaan akan diberikan kepada karya yang sedang diusahakan dan yang masih belum memiliki bantuan kewangan.

Karya yang dicadangkan tidak semestinya perlu memiliki kontrak penerbitan terlebih dahulu bagaimanapun pemohon digalakkan untuk mengenal pasti penerbit yang bersesuaian.

Permohonan dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu boleh dihantar ke fytwritersgrant@gmail.com

"Permohonan mesti dilampirkan bersama e-mel pengenalan, kertas cadangan atau pernyataan yang menerangkan mengenai karya yang ingin dicadangkan atau karya yang sedang disiapkan.

"Ia termasuk perancangan penerbitan dan perincian mengenai rancangan penulis dalam menggunakan dana yang dimohon," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Dana Fan Yew Teng untuk Penulisan Bebas hubungi fytwritersgrant@gmail.com

Related Article